in

Promosi Dekoder TV Digital MYTV Dilanjutkan dengan Harga RM199

Berikutan sambutan menggalakkan terhadap dekoder TV digitalnya, MYTV Broadcasting Sdn Bhd akan melanjutkan tempoh promosi untuk harga RM199 sehingga 31 Disember 2017.

Harga promosi tersebut sepatutnya berakhir esok, 16 September 2017. Harga asal sebelum promosi ialah RM317.

Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Michael Chan berkata: “Kami menerima sambutan yang amat memberangsangkan untuk dekoder kami sejak Siaran Digital myFreeview dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak pada Jun lalu. Apabila harganya diturunkan ke RM199 selepas pelancaran tersebut, penerimaan orang ramai juga semakin menggalakkan. Malahan rangkaian pengedar kami juga turut bertambah kepada lebih 220 setakat ini.”

MYTV Decoder 1a

“Dengan pelanjutan tempoh promosi ini sehingga 31 Disember, MYTV berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat memiliki dekoder TV digital untuk menonton siaran myFreeview yang memberikan kualiti audio dan video terbaik dengan harga yang sangat berpatutan. Ini selaras dengan penukaran sistem penyiaran negara dari analog ke digital yang dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan. Apa yang paling menarik ialah pengguna hanya perlu membeli dekoder dan menyediakan antena UHF sahaja tanpa perlu risau mengenai komitmen bulanan kerana siaran myFreeview tidak dikenakan sebarang yuran langganan,” tambah beliau.

Dekoder MYTV sesuai digunakan dengan TV baru mahupun yang lama termasuklah jenis CRT. Pengguna hanya perlu menyambungkan dekoder kepada TV dan juga antena UHF. Kedua-dua antena jenis dalaman dan luaran boleh digunakan. Walaubagaimanapun pengguna dinasihatkan untuk memilih antena UHF luaran kerana ianya lebih stabil.

Dekoder MYTV boleh dibeli secara dalam talian di https://shop.mytvbroadcasting.my atau dari lebih 220 kedai elektrik di seluruh negara. Senarai pengedar berdaftar boleh disemak di laman web www.mytvbroadcasting.my.

Mascot Sang Siara a

Untuk tempoh terhad, MYTV juga sedang menjalankan promosi “Beli 10 Dapat 1 Percuma” khsusus untuk pemasang berdaftar, persatuan penduduk serta badan-badan perniagaan seperti hotel bajet, hospital swasta mahupun kolej-kolej dan asrama. Mereka yang berminat boleh menghubungi [email protected].

Dekoder MYTV membolehkan penonton menikmati Siaran Digital myFreeview yang buat masa ini menawarkan sembilan saluran TV percuma serta empat stesen radio. Saluran-saluran TV berkenaan adalah TV1, TV2, TV3, TV AlHijrah, ntv7, 8TV, TV9, TVi dan Bernama News Channel (BNC), manakala siaran radio yang boleh diikuti ialah Nasional FM, Traxx FM, Minnal FM dan Ai FM. Lebih banyak saluran TV dan radio akan ditambah dari semasa ke semasa.

MYTV telah dilantik oleh Kerajaan untuk menukarkan sistem penyiaran negara dari analog ke digital di bawah Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional. Setakat ini MYTV telah memasang 29 pemancar TV digital yang memancarkan siaran myFreeview meliputi lebih 90 peratus penduduk Malaysia. Apabila siap sepenuhnya tahun hadapan, MYTV akan memasang sejumlah 60 pemancar utama dan disokong dengan pemancar-pemancar berkuasa rendah yang dikenali sebagai “gap fillers” di kawasan-kawasan yang dikenalpasti, bagi membolehkan sehingga 98 peratus rakyat Malaysia menikmati Siaran Digital myFreeview.

MYTV merupakan pembekal eksklusif dekoder TV digital di Malaysia. Dekoder MYTV telah melalui pelbagai peringkat kajian dan pembangunan untuk menepati standard-standard antarabangsa bagi TV digital. Ianya telah diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan SIRIM untuk dipasarkan di Malaysia. Penonton juga boleh mengakses Siaran Digital myFreeview menerusi set TV model baharu yang mempunyai tuner digital dalaman serta label pengguna DTT oleh SIRIM.

MYTV Decoder 2a

Sehubungan itu Chan menyeru orang ramai supaya tidak membeli dekoder-dekoder tiruan yang terdapat di pasaran termasuk yang dijual melalui kedai-kedai online serta platform media sosial kerana ianya tidak dapat menerima saluran-saluran baru yang akan ditambah kelak. “Dekoder-dekoder ini tidak mendapat kelulusan dan boleh menyebabkan kebakaran di rumah,” kata beliau.

Selain untuk dijual, sebanyak 4.2 juta dekoder percuma juga telah diperuntukkan untuk isi rumah dengan pendapatan terendah dalam senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Pengedaran dekoder percuma sedang dijalankan secara berperingkat dan dijangka selesai tahun hadapan.

Mengenai MYTV Broadcasting Sdn Bhd
MYTV telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia di bawah Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional untuk membina dan menguruskan infrastruktur dan kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan Televisyen Terestrial Digital (DTT) di Malaysia, bagi merealisasikan penghijrahan penyiaran negara dari sistem analog ke digital menjelang 2018. MYTV bertanggungjawab membangunkan infrastruktur DTT dan kemudahan rangkaian, termasuklah hab multimedia digital dan pemancar TV digital berkuasa tinggi, sederhana dan rendah. Projek ini adalah di bawah kelolaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Untuk maklumat lanjut tentang MYTV, sila layari www.mytvbroadcasting.my.

Mengenai Siaran Digital myFreeview
myFreeview ialah jenama bagi perkhidmatan DTT di Malaysia yang terdiri daripada gabungan penyiar-penyiar saluran TV percuma iaitu RTM, Media Prima, TV AlHijrah dan Bernama News Channel. Lebih banyak badan penyiar dijangka menyertai myFreeview pada masa hadapan. Untuk maklumat lanjut sila layari www.myfreeview.tv

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Elfira Loy Beli Kereta Mercedes-Benz A-Class A200

Kumpulan El Coro Ensemble Malaysia Menang Pingat Perak di Dumai National Choir Festival, Indonesia