in

Program Sepanjang Bulan Merdeka di TV3

Sempena bulan kemerdekaan pada bulan Ogos ini, TV3 akan menyajikan penonton dengan drama-drama melayu yang akan menyuntik semangat kemerdekaan kepada penonton. Kesemua drama tersebut boleh ditonton melalui slot Cereka Pilihan yang menampilkan pelakon-pelakon handalan yang terdiri daripada Sharifah Sofia, Mustafa Kamal, M. Rajoli, Emelda Rosmila, Hani Mohsin, Ogy Ahmah Daud, Fauziah Nawi, Raja Azura, Nasriah Ngasari dan ramai lagi. Selain daripada menyaksikan lakonan mantap pelakon-pelakon tersebut hayati pelbagai mesej dan teladan yang disampaikan sempena bulan kemerdekaan ini.

Selain dari itu, TV3 juga turut menayangkan filem-filem lama lakonan Latifah Omar sebagai tribute kepada lagenda filem melayu lama itu. Lakonannya yang mantap dan berkesan menjadikan semua filem lakonan beliau mendapat sambutan dan tidak jemu ditonton. 5 buah filem lakonan beliau telah dipilih untuk penggemar-penggemar filem melayu klasik. Jadi, jangan lupa untuk memenuhi kalendar anda di waktu petang setiap Ahad sepanjang Ogos ini untuk menikmati lakonannya.

Nikmati kegembiraan, tontoni TV3!

CEREKAPILIHAN, JUMAAT, 1.30 TENGAHARI

Gadis Melayu (1 Ogos 2008)
Selepas peristiwa botnya karam di lubok hitam, Wan Deraman dan Tok Ya berjanji untuk menjodohkan anaknya, Wan Jah dan Din apabila sampai masanya. Setelah 20 tahun, anak mereka sudah dewasa dan hanya menunggu masa untuk disatukan.  Din merupakan lepasan universiti, tetapi masih belum mempunyai pekerjaan. Dia mengambil keputusan membantu ayahnya membuat bot di kampung. Suatu hari Din didatangi sahabatnya James dari luar negara untuk membuat kajian seni membuat bot tradisional. Din memperkenalkan Wan Jah kepada James. Hari berganti hari hubungan James dan Din menjadi rapat, begitu juga dengan Wan Jah. Namun, keakraban Wan Jah dan James telah menimbulkan fitnah orang kampung sehingga menimbulkan rasa sangsi di hati Din.
Pelakon: Pekin Ibrahim, Tengku Sheera, Wan Hanafi Su, Sulaiman Yassin, Mazin Ameen Siraj, Rithopa Tantiana, Thorpe Ali, Sofea Syaheera

Mariam Marina (8 Ogos 2008)
Sebelum Kemerdekaan, Wilson Smith seorang pegawai tinggi British di Tanah Melayu yang sudah berumahtangga, telah berkahwin secara senyap dengan seorang gadis kampung, Siti Mariam selama lima tahun dan dikurniakan 2 orang anak, Zainol dan Maria. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Wilson Smith telang pulang semula ke England tetapi berjanji semula untuk kembali semula ke Malaysia. Namun, tidak lama selepas itu, Mariam telah menerima sepucuk surat dari England, Wilson Smith telah menceraikannya dengan talak satu. 40 tahun telah berlalu, Mariam kini bahagia denagn  kehidupan keluarganya. Zainol telah berkahwin dengan Normala dan dikurniakan anak perempuan, Fadilah. Manakala Maria pula berkahwin dengan Sabri dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ariff. Ariff melanjutkan pelajaran ke London. Semasa cuti semesternya, dia pulang ke Malaysia bersama kekasihnya Marina Smith Johan. Mariam melayani Marina dengan baik tetapi Zainol tidak menyukai Marina kerana darah penjajah yang dibawanya. Suatu malam Zainol berpeluang mengusir Marina setelah dia tertangkap berdua-duan dengan Ariff ketika Zainol dan keluarganya keluar. Sebelum pergi, Marina memeluk Mariam dan menyampaikan sekeping surat kemaafan datuknya kepada Mariam. Marina meminta maaf kepada Zainol atas segala salah faham dan pulang dengan kesedaran tentang jiwa melayu sebenar.
Pelakon: Sharifah Sofia, Aida Radzwill, Mustafa Kamal, Mariani Ahmad, Kuswadinata, Melissa Saila

Merdeka Ajis Merdeka Ajit (15 Ogos 2008)
Hajah Rosnah menyuruh anaknya Ajit ke bandar untuk melihat dan sama-sama meraikan Hari Kemerdekaan. Pada Ajit, hari kemerdekaan tidak membawa apa-apa makna bagi dirinya. Dia lebih suka berfoya-foya dan berlumba haram dengan rakan-rakannya. Semasa berlumba Ajit dan rakannya telah dikejar polis. Dia ditimpa kemalangan dan jatuh pengsan. Setelah sedar dia mendapati dirinya berada di alam lain. Dia yang masih merasa bingung dengan keadaan sekelilingnya tiba-tiba mendapati orang kampung mengejarnya kerana mengendap Gayah anak Pak Itam. Di alam ini juga namanya bertukar menjadi Ajis anak Pak Samad. Pak Samad malu kerana orang kampung menangkap Ajis semasa menghendap anak Pak Itam. Ajis kemudiannya bersubahat dengan Mahmood untuk mengagalkan rancangan orang kampung meraikan hari Merdeka. Mereka diupah Tuan Wilson untuk menghasut masyarakat kampung agar sentiasa tunduk dengan orang Inggeris. Dalam pada itu Ajis yang bertukar menjadi Ajit hairan dengan keadaan di sekelilingnya. Hajah Rosnah dan tunang Ajit Siti cuba mengembalikan ingatan Ajit dengan membawanya bersiar-siar. Siti menerangkan keadaan Malaysia setelah 46 tahun merdeka. Ajis yang bertukar menjadi Ajit kagum dengan pencapaian negaranya setelah merdeka. Perasaan Ajit berubah dan semangatnya untuk merdeka daripada Inggeris semakin membuak-buak. Apakah yang berlaku selanjutnya?
Pelakon: Nasrizal Ngasri, Azizah Mahzan, Abu Bakar Omar, M Rajoli, Emelda Rosmila, Zamarul Hisham

Keluarga Pasca Merdeka (22 Ogos 2008)
Hari Kebangsaan bakal menjelang tiba. Surian bersemangat untuk menyertai pertandingan dokumentari yang dianjurkan oleh sekolahnya bersempana Hari Kebangsaan. Surian berjauh hati apabila ahli keluarganya sibuk dengan hal masing-masing dan tidak mahu membantunya menyertai pertandingan itu. Ibunya, Suraya sibuk membuat persiapan pertandingan kediaman tercantik bersempana Hari Kebangsaan. Dia menjadi johan selama 5 tahun berturut-turut dan menyimpan hasrat untuk mengekalkan gelaran juara itu. Dia cuba sedaya upaya menandingi kediaman jirannya, Ita. Abangnya sibuk berlatih menyanyi untuk menyertai konsert dan kakaknya Sonia sibuk dengan halnya sendiri. Manakala bapanya langsung tidak mengendahkan tentang hari bersejarah kerana sibuk memikirkan hal perniagaannya yang semakin tergugut kerana Johan, rakan kongsinya membuka perniagaan sendiri dan dikatakan tidak mengenang jasanya yang telah banyak membantu Johan. Surian pada mulanya berputus asa untuk menyertai pertandingan dokumentari akhirnya mendapat ilham untuk merakamkan dokumentari mengenai ragam ahli keluarganya menjelang Hari Merdeka.  Pada Hari Kebangsaan keluarga Suraya dan Ita berkumpul bersama dan menonton dokumentari yang dirakamkan oleh Surian. Rakaman itu bagaikan mendedahkan kepincangan ahli keluarga itu tetapi pada penghujung hari, mereka kembali bersatu selepas menyedari di atas bumi yang merdeka ini, jiwa juga haruslah merdeka daripada perasaan iri hati dan hasrat dengki dan haruslah dibajai dengan kasih sayang sesama manusia. Jangan ketinggalan menyaksikan gelagat mereka yang mencuit hati di dalam drama yang menarik ini!
Pelakon: Hani Mohsin, Sheila Rusly, Nasrizal Ngasri, Nasriah Ngasri, Nik Adruce, Aliza Abdullah, Zamarul Hisham, Ifa Raziah

Suara Saleha (29 Ogos 2008)
Saleha tinggal bersama ibunya Mak Intan dan adiknya Radiah dan dia menjual nasi lemak di warungnya setiap hari. Mak Intan yang telah kematian suami selalu bercakap sendirian. Radiah pula bekerja sebagai GRO tanpa pengetahuan Saleha. Selain dari itu, Saleha juga menjaga Lina, anak En. Azman. Dia kecewa apabila En Azman menerima bulat-bulat apabila orang kampung menyatakan ibunya gila dan adiknya bermasalah. En Azman kemudiannya singgah di warung Saleha memohon maaf dan Lina gembira kerana Saleha sudi menjaganya semula. Atan pula kecewa melihat hubungan En Azman dan Saleha. Dalam pada itu rumah Saleha didatangi orang yang tidak dikenali yang mencari Radiah. Saleha mahu Radiah menceritakan apa yang dia sembunyikan darinya, tetapi Radiah enggan memberitahunya. Radiah meluahkan perasaannya yang dia tidak tahan lagi kerana kakaknya membiarkan ibu mereka hidup dalam kepura-puraan. Dia tidak suka Saleha yang masih tidak boleh menerima kenyataan dengan melayan kegilaan ibunya dan membiarkan ibunya hidup dalam dunia khayalan. Saleha kemudiannya meluahkan yang yang telah diamanahkan oleh arwah ayahnya. Apakah pesanan arwah ayahnya? Bagaimanakah kesudahan kemelut dalam keluarga ini? 
Pelakon: Ogy Ahmad Daud, Fauziah Nawi, Raja Azura, Zamarul Hisham, Roy Azman, Syahirah Juani, Shah Hassan, Izi Yahya

PESONA 3, AHAD, 3.00 PETANG

Radin Emas (3 Ogos 2008)
Pengiran Agung berkahwin dengan Mas Ayu, seorang penari namun perkahwinan mereka ditentang oleh Raden Manosekoro dan Raden Mas Ratu kerana perbezaan darjat. Bagi menghapuskan Mas Ayu, Raden Mas Ratu mengutuskan Pengiran Agung pergi memburu kijang. Sekembalinya Pengiran Agung daripada berburu, baginda mendapati istananya terbakar dan Mas Ayu terbunuh. Pengiran Agung mengambil keputusan membawa diri bersama puterinya, Raden Mas yang berjaya diselamatkan. Raden Mas dibesarkan seperti orang biasa tanpa diberitahu asal-usulnya. Suatu hari, Raden Mas terserempak dengan seorang puteri raja bernama Tengku Halijah. Raden Mas dipukul kerana cuba mendekati Tengku Halijah. Apabila mengetahui siapa sebenarnya Raden Mas, Sultan mengahwinkan Pengiran Agung dengan puterinya sebagai menebus kesalahan. Raden Mas yang dahagakan kasih sayang seorang ibu amat gembira dengan perkahwinan itu sebaliknya Tengku Halijah memusuhi Raden Mas. Apakah kesudahan nasib Raden Mas?
Pelakon: Nordin Ahmad, Latifah Omar, M Amin, Siput Sarawak, Mahmud June, Siti Tanjung Perak, Shariff Medan, Umi Kalsum, Mustapha Maarof

Naga Tasik Cini (10 Ogos 2008)
Mayang seorang gadis kampung yang dipelihara makciknya, Mak Tijah selepas dia menjadi yatim piatu. Mayang selalu didera dan dipaksa bekerja untuk kesenangan Mak Tijah. Tanpa pengetahuan Mayang, Dia sering mendapat pertolongan dari makhluk halus. Mayang dipaksa berkahwin degan Orang Kaya Daud tanpa kerelaanya. Semasa pergelutan antara Mayang dan Mak Tijah mereka terjatuh ke dalam sungai. Mak Tijah telah mati lemas dan Mayang pula diselamatkan oleh makhluk halus tersebut. Atas kejujuran dan kesabaran Mayang makhluk tersebut meminta bantuan daripada Mayang untuk memulihkan kerajaan Seri Cempaka Tasek Chini yang telah disumpah oleh Sri Maharaja Nilam Gelora Sakti yang terbenam ke dasar tasek Chini dan kerana jodoh mereka, kerajaan Seri Chempaka Tasek Chini dapat dipulihkan. Berita ini telah diketahui oleh Sri Maharaja Puteri Nilam Gelora Sakti maka mereka melancarkan serangan. Oleh yang demikian Sultan Jaya Putera dan Pemaisuri Mayang Sari serta pembesar-pembesar istana ditawan. Dengan bantuan Datuk Pengawal, Mayang dan Belitong dapat melarikan diri dan mencari geliga sakti untuk memulihkan keadaan. Kisah ini berakhir dengan Mayang telah melanggar pantang geliga sakti dan dirinya telah bertukar menjadi Naga.
Pelakon: Latifah Omar, Mustafa Maarof, Siput Sarawak, Malek Selamat

Rumahku Duniaku (17 Ogos 2008)
Cerita ini mengisahkan penderitaan Lina (Latiffah Omar) anak seorang tukang gaji yang baru kematian ibunya. Dia sering dicaci dan dipandang hina oleh Mak Pah (Siti Tanjong Perak) isteri majikannya malah dituduh membuat hubungan dengan Rahim (A Rahim) suami kepada Zainab. Dia juga dituduh sebagai punca kekacauan di dalam rumah tersebut setelah kematian majikannya, barulah dia mengetahui bahawa Lina juga anak kepada majikannya. Ini membuatkan Mak Pah lebih membencinya dan begitu juga yang lain. Hanya Mohsin (S Roomai Noor) dan Husni (Tony Kassim) yang mengambil berat tentangnya keluarga tersebut kucar-kacir kerana Mak Pah terlalu tamakkan harta dan ini membuatkan anak-anaknya bosan dan meninggalkan rumah. Hidup Mak Pah kesunyian dan ini telah menyedarkannya tentang kesilapannya selama ini.
Pelakon: S Roomai Noor, Latifah Omar, Malek Selamat, A Rahim

Kalong Kenangan (24 Ogos 2008)
Tengku Mawar melahirkan anak yang tidak diketahui bapanya. Demi menyimpan rahsia itu, anaknya dihanyutkan ke sungai. Anak itu dijumpai dan dibesarkan sepasang suami isteri yang menamakannya Rabu. Malangnya, ibu angkat Rabu tidak menyenangi kehadiran Rabu lantas menghalaunya pergi. Rabu mengembara dan akhirnya sampai ke sebuah negeri. Di situ bermulalah kisah Rabu dilantik menjadi Panglima dan Tengku Mawar yang tidak mengenali anaknya jatuh cinta kepadanya. Datuk Bendahara yang tidak menyenanginya merancang membunuh Rabu…
Pelakon: Ghazali Sumantri, Latifah Omar, Haji Arshad, Umi Kalthom

Wan Perkasa (31 Ogos 2008)
Penghulu Muda Linggi dilantik menggantikan Wan Perkasa yang dititah sultan mengetuai angkatan tentera menentang musuh. Ini memberi peluang kepada Lingga memadu kasih dengan isteri Wan Perkasa. Cintanya berbalas kerana isteri Wan Perkasa selalu kesunyian dan dahagakan kasih sayang lelaki. Suatu hari, berita tersebar menyatakan Wan Perkasa dibunuh. Lingga mengisytiharkan dirinya sebagai pengganti dan melantik Kumbang sebagai penghulu muda.
Pelakon: M Amin, Latifah Omar, Malik Selamat, Siput Sarawak, Tony Kassim, Dollah Sarawak

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Ku Milikmu Lakonan Adzriefaiz dan Eira Syazira

Erra Fazira Keguguran Sebab Urut Kaki