in

Program Menarik Sempena Hari Ibu di TV3

Seluruh rakyat Malaysia akan meraikan sambutan Hari Ibu pada 11 Mei 2014 nanti bagi menghargai pengorbanan dan jasa seorang ibu. Tidak ada harta mahupun wang ringgit dapat menjadi galang ganti kasih sayang seorang ibu, yang sanggup melakukan apa sahaja sedari kita kecil lagi sehinggalah kini. Demi anak-anak, sang Ibu tidak pernah mengeluh menahan lapar atau bersengkang mata, hanya untuk membahagiakan permatanya.

Bagi meraikan saat yang cukup istimewa ini, TV3 menghimpunkan seleksi rancangan menarik seperti ‘Wanita Hari Ini: Mesej Dari Penjara’, ‘Cerekapilihan: Takbur Mama’, ‘Bananana Movie Magic: Mom’s Got A Date with A Vampire’, ‘Panggung Sabtu: English Vinglish’, ‘Cerekarama: Sehangat Dakapan Mama’, ‘Nona’ dan ‘Wayang: Sayang Ibu’ khas untuk tontonan seisi keluarga bermula 8 hingga 11 Mei ini.

Selamat Hari Ibu buat mama, emak, ummi dan bonda!

Wanita Hari Ini: Mesej Dari Penjara (8 Mei 2014, Khamis, 12.00 tengah hari)
Sinopsis: Program bual bicara tempatan khusus untuk wanita, Wanita Hari Ini (WHI) akan meraikan Hari Ibu dengan gayanya tersendiri. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan hos-hos WHI menyambut hari istimewa ini menerusi segmen ‘Mesej Dari Penjara’ dalam menghargai pengorbanan golongan ibu. Menariknya, episod istimewa Hari Ibu kali ini bakal bersiaran dari Penjara Wanita Kajang, Selangor. Terdapat pelbagai perisian menarik akan dipaparkan di episod istimewa ini. Penonton juga dapat menyaksikan detik sayu apabila penghuni Penjara Wanita Kajang berpeluang bersemuka dan mendakap ibu mereka yang sentiasa setia memberi sokongan untuk anak itu meneruskan kehidupan walaupun di penjara. Nantikan tetamu undangan yang bakal muncul dalam episod istimewa WHI Sempena Hari Ibu nanti!
Pengacara: Hasfizza Sabjahan, Azizah Ariffin dan Hazrena Mohamed Kassim.

Cerekapilihan: ‘Takbur Mama’ (9 Mei 2014, Jumaat, 2.00 petang)
Sinopsis: Taqifah dibesarkan di rumah anak yatim sejak kecil lagi selepas ibu dan ayahnya meninggal dunia. Kemudian, dia menjadi guru di rumah anak yatim tersebut. Dia berkenalan dengan Azman dan meraka merancang untuk berkahwin. Azman bertekad membawa Taqifah berjumpa dengan ibunya untuk diperkenalkan sebagai isterinya. Namun, ibunya memberikan reaksi yang kurang menyenangkan kerana latar belakang Taqifah iaitu seorang anak yatim. Walaupun ibunya tidak bersetuju dengan pilihannya, Azman tetap juga dengan pendiriannya menikahi Taqifah. Apakah yang berlaku kemudian?
Pelakon: Lisdawati, Norlia Ghani, Lana Nordin, Fizz Fairuz, Julia Ziegler, Fauzi Nawawi, Qazeem Nor.

Bananana Movie Magic: ‘Mom’s Got A Date With A Vampire’ (10 Mei 2014, Sabtu, 11.30 pagi)
Sinopsis: Anak-anak Hansen berada dalam kebuntuan. Adam dan teman baiknya, Duffy mempunyai tiket ke konsert Headless Horseman manakala kakaknya, Chelsea, mempunyai temujanji dengan lelaki yang diidamnya selama ini. Satu-satunya masalah ialah mereka telah diperintah berkurung di dalam rumah. Adam dan Chelsea akan melakukan apa sahaja supaya ibu mereka, Lynette, keluar dari rumah. Walaupun terpaksa mengatur temujanji dengan seorang lelaki misteri yang kebetulan merupakan pontianak!
Pelakon: Caroline Rhea, Matt O’Leary, Charles Shaughnessy, Robert Carradine.

Panggung Sabtu: ‘English Vinglish’ (10 Mei 2014, Sabtu, 2.00 petang)
Sinopsis: Sashi Godbole merupakan seorang suri rumah yang membuat dan menjual Laddu sebagai perniagaan dari rumah. Suaminya, Satish dan anak perempuannya, Sapna mengambil mudah tentangnya, mereka seringkali mempersendakan Bahasa Inggeris Sashi yang lemah dan melayannya tanpa rasa hormat, menjadikan Sashi berasa negatif dan tidak selamat. Bagaimanapun, anak lelaki Sashi, Sagar menyayangi beliau seadanya dan ibu mertuanya, yang tidak henti memberi kata-kata semangat serta menjadi pendengar setia. Kakak Sashi, Manu, yang menetap di New York, menjemput keluarga Sashi ke majlis perkahwinan anak perempuannya, Meera. Namun, atas sebab-sebab tertentu hanya Sashi dapat pergi ke New York lebih awal manakala Satish, Sapna dan Sagar akan menyertainya pada hari majlis tersebut berlangsung. Ketika dalam perjalanan ke negara barat itu, Sashi telah mendapat kata-kata inspirasi dari seorang penumpang pesawat yang sama. Apakah yang berlaku selanjutnya?
Pelakon: Sridevi, Adil Hussain, Mehdi Nebbou, Navika Kotia, Shivansh Kotia.

Cerekarama: ‘Sehangat Dakapan Mama’ (10 Mei 2014, Sabtu, 10.00 malam)
Sinopsis: Azim, berusia 12 tahun, kurang mendapat perhatian dari ibubapanya iaitu Nora dan Musa. Ayahnya lebih memberi perhatian kepada abangnya, Amar, 15 tahun, manakala ibunya pula memberi perhatian kepada adik perempuannya, Tini, 4 tahun. Pelbagai cara dilakukan oleh Azim untuk menarik perhatian ibubapanya. Tragedi yang meragut nyawa Tini atas kecuaian Azim menyebabkan keluarga mereka berpecah-belah dan Azim dipersalahkan. Nora mengalami kemurungan sehingga diberhentikan kerja. Sejak itu, Azim sering menjadi mangsa kemarahan setiap ahli keluarga. Akhirnya, Nora dan Musa bercerai. Amar membuat persetujuan untuk tinggal bersama Musa. Nora pula bersama Azim walaupun dia juga mahukan Amar. Apakah yang bakal berlaku kemudian?
Pelakon: Sherie Merlis, Izzy Reef, Zamarul Hisyam, Wan Maimunah, Rashidi Ishak.

NONA (11 Mei 2014, Ahad, 2.00 petang)
Sinopsis: Istimewa sempena Hari Ibu ini, Nona bakal memaparkan pengorbanan para ibu demi anak-anaknya. Kisah pertama menyingkap tentang seorang ibu yang begitu cekal menjaga anaknya yang terlantar kerana lumpuh. Kisah seterusnya, mengenai seorang ibu yang menghidap kanser tahap dua tetapi masih positif untuk anak-anak. Kisah ketiga dan terakhir, ibu yang telah pulang rahmahtullah tetapi sepanjang hayatnya, hanya untuk anak-anak. Dalam segmen ‘Sembang-sembang’, Nona akan bersama tetamu khas iaitu Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohamad Ali dan anaknya, Marina binti Mahathir manakala di segmen ‘Air Tangan’ menampilkan pasangan anak-beranak, Ruminah Sidek dan Adlin Aman Ramlie.
Pengacara: Neelofa & Fara Fauzana.

Wayang: ‘Sayang Ibu’ (11 Mei 2014, Ahad, 3.00 petang)
Sinopsis: Mengisahkan seorang anak nelayan, Tiara yang ke ibu negara untuk mencari tapak sebagai penyanyi. Kerana kesibukannya, dia telah meminta rakannya, Muda menjenguk ibunya di kampung, apatah lagi setelah bapanya meninggal dunia. Muda tidak menjalankan amanah itu, sebaliknya menggunakan wang pemberian Tiara untuk berfoya-foya.
Pelakon: Noraniza Idris, Tamam Idris, Rubiah Suparman, Isma Aliff, Nancie Foo, adik Syaireen Hashim.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Menangi Tiket An Evening with Brian McKnight

The Jespers Pertaruh Lagu BANGKIT