in

Program Majalah Fesyen Labuci di TVi

Pereka Fesyen Terkenal Tanah air Muncul Dalam Program Majalah Fesyen, Labuci di TVi (Saluran 180 Astro)

Tidak dinafikan busana seseorang artis itu sama ada pelakon atau penyanyi mampu menonjolkan sisi imej menarik mereka di tengah khalayak ramai terutama kalangan peminat. Bayangkan sahaja jika dalam sesebuah majlis yang berprestij itu, mereka tampil tidak terurus atau menggayakan fesyen yang ketinggalan zaman. Pastinya ia akan menjadi bahan bualan atau dikatakan tidak mengikuti fesyen semasa.

Di sinilah peranan seorang pereka fesyen begitu dekat dengan mereka dalam menyumbang idea ‘segar’ penggayaan yang sesuai. Rekaan pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Anizam Yusoff, Nik Erwan, Ezuwan Ismail, Hazwani dan Hatta Dolmat nyata bukan sahaja diminati kalangan artis sebaliknya turut menarik perhatian orang ramai yang mengikuti perkembangan fesyen semasa.

ALMY NADIA BERSAMA PEREKA FESYEN TERKENAL TANAH AIR

Saksikan sahaja kemunculan pereka fesyen terkenal tanah air ini muncul menerusi program majalah yang di hoskan oleh selebriti Almy Nadia yang telah pun bersiaran 4 Mac lalu bertajuk Labuci, setiap Ahad, jam 10.15 pagi menerusi TVi (Saluran 180 Astro).

Menariknya program ini mengetengahkan elemen fesyen untuk karpet merah dan fesyen secara keseluruhan yang mampu memberikan inspirasi kepada penonton berkongsi fesyen terkini bersesuaian dengan majlis dihadiri.

Segmen-segmen menarik turut diperkenalkan kepada penonton di sebalik rekaan-rekaan hebat yang digayakan oleh selebriti popular antaranya Liyana Jasmay, Ainul Aishah, Bk Nair, Irma Hasmie, Marsha Londoh, Shiera Ayoub, Sara, Wan Sharmila, Lutfya Omar, Putri Mardiana, Atilia, Intan Liana dan Juliana Evans dalam 13 episod siarannya.

Pereka fesyen sememangnya memainkan peranan yang penting. Justeru program ini turut mendekati kreativiti pereka fesyen dalam rekaan yang dihasilkan dengan melibatkan seorang artis dalam setiap episod yang biasa bekerjasama dengan pereka fesyen undangan.

Yang nyata penonton juga akan mempelajari sesuatu yang baru di dalam segmen tip di mana pereka fesyen terlibat akan berkongsi panduan tentang fesyen berguna untuk semua terutama kalangan remaja yang berani mencuba fesyen terkini.

Sesuai untuk tontonan remaja dan seisi keluarga, saksikan program menarik ini hanya di TVi (Saluran 180 Astro).

ALMY NADIA DAN LIYANA JASMAY

ALMY BERSAMA MARSHA

ALMY NADIA DAN HATTA DOLMAT

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Cinta Buat Emelda Lakonan Fizo Omar & Almy Nadia

Impian 12 Kanak-Kanak Di Atas Trek F1