in , ,

Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid Meninggal Dunia Pada Usia 98 Tahun

TOKOH pendidikan dan ekonomi negara, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia pada usia 98 tahun. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hospital di ibu negara pada pukul 4 petang, Selasa, 15 Disember 2020. Salam takziah dari kami di Budiey Channel.

Tokoh ekonomi dan pendidikan negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court di sini, hari ini. Jurucakap Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) berkata, perkara itu disahkan isterinya yang juga bekas Naib Yang Dipertua ANGKASA, Rahaiah Baheran.

Allahyarham yang berusia 98 tahun meninggal dunia kira-kira jam 4 petang tadi.

Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini dan dijangka dikebumikan pada malam ini.

Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid Meninggal Dunia Pada Usia 98 Tahun

Ungku Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom (UK), pada 28 Januari 1922 adalah seorang tokoh yang paling disegani terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Allahyarham mendapat ijazah dalam bidang ekonomi pada 1951, di Universiti Malaya (UM), Singapura sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sama di Universiti Waseda, Tokyo pada 1964.

Ungku Aziz pernah berkhidmat di Fakulti Ekonomi UM, Kuala Lumpur pada 1961 hingga 1965 dan pernah menjadi Dekan di fakulti itu.

Pada 1968 Allahyarham dilantik sebagai Naib Canselor UM sehingga 1988. Beliau adalah Naib Canselor paling lama berkhidmat di universiti berkenaan.

Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid Meninggal Dunia Pada Usia 98 Tahun

Allahyarham yang juga bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Ekonomi (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978.

Ungku Aziz adalah menjadi tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji (TH), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta dianugerahkan Tokoh Koperasi Negara sempena Hari Koperasi Negara, pada 21 Julai 2002 serta Tokoh Maal Hijrah, pada 1997.

Allahyarham juga dianugerahkan Tokoh Ekonomi Melayu pada 25 Jun 2005 dan menerima Anugerah Akademik Negara pada 2006.

Selain itu, Allahyarham juga antara tokoh ekonomi yang terbabit dalam merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid Meninggal Dunia Pada Usia 98 Tahun

Jenazah Ungku Aziz Selamat Dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara

Jenazah Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, malam ini.

Jenazah Allahyargam tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 9.30 malam sebaik solat jenazah selesai dilaksanakan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat sini.

Kira-kira 40 orang terdiri daripada kalangan ahli keluarga, rakan dan kenalan hadir di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir.

Bacaan doa dan talkin dipimpin lmam Masjid At-Taqwa, Ahmad Saufi Mustaffa selesai pada jam 10 malam.

Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid Meninggal Dunia Pada Usia 98 Tahun

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid At-Taqwa untuk solat jenazah, kira-kira jam 8.50 malam dari Hospital Prince Court.

Jenazah diiringi isteri, Rahaiah Baheran serta anak perempuan Allahyarham yang juga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar.

Orang ramai serta orang kenamaan mula hadir ke masjid sejak jam 7 malam tadi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum itu hadir ke masjid untuk memberi penghormatan terakhir.

Turut kelihatan, bekas Pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaafar dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Allahyarham yang berusia 98 tahun disahkan meninggal dunia kerana sakit tua kira-kira jam 4 petang tadi.

Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid Meninggal Dunia Pada Usia 98 Tahun

Tunku Azizah Ziarah Jenazah Ungku Aziz

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.

Tunku Azizah tiba di perkarangan masjid bersama pengiring kira-kira jam 7.55 malam tadi.

Ungku Abdul Aziz, 98, yang menerima rawatan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur, meninggal dunia kerana sakit tua kira-kira jam 4 petang tadi.

Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa untuk disembahyangkan dan dijangka dikebumikan pada malam ini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Isyak.

Pemergian Ungku Aziz Kehilangan Besar Buat Negara – Agong

Pemergian Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia akibat sakit tua petang tadi, disifatkan kehilangan besar kepada negara.

Perkara itu dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang turut mengakui khidmat bakti Allahyarham amat dihargai baginda berdua.

Melalui kenyataan dimuat naik melalui Facebook rasmi Istana Negara, hari ini Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Malah, baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini, selain mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Allahyarham Ungku Aziz dilahirkan pada 1922 di London, England dan mendapat pendidikan menengah di English College, Johor Bahru, seterusnya memperoleh Diploma in Arts daripada Raffles College, Singapore pada 1947, diikuti Bachelor of Arts (Honours) in Economics dari Univerisity of Malaya, Singapore pada 1951.

Pada 1964, Allahyarham memperoleh ijazah Doctor of Economics dari Waseda University di Tokyo.

Allahyarham memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam dengan kerajaan Johor. Pada 1952, beliau mengorak langkah ke alam akademik apabila diterima sebagai pensyarah dalam bidang Ekonomi di Universiti Malaya.

Beliau dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima tahun mulai 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran pada tahun 1965 hingga 1968.

Prof Diraja Ungku Abdul Aziz menempa sejarah apabila dilantik sebagai Naib Canselor, Universiti Malaya selama 20 tahun dari 1968 hingga 1988.

Dalam tempoh itu, beliau turut memegang jawatan Presiden ANGKASA, jawatan yang dipegangnya hingga kini dan berkhidmat sebagai penasihat atau ahli jawatankuasa penasihat kepada beberapa institusi tempatan dan antarabangsa.

Sumbangan beliau pada negara bukan saja dalam bidang Akademik, tetapi juga membawa idea penubuhan Tabung Haji dan menjadi Pengarah Pengasas bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau sepanjang 1971 hingga 2005, sudah dianugerahkan berbilang ijazah kehormat daripada institusi tempatan dan antarabangsa.

Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid Meninggal Dunia Pada Usia 98 Tahun

Ungku Aziz Tokoh Memperkasa Pendidikan, Ekonomi Melayu

Kerajaan menzahirkan penghargaan yang tinggi atas sumbangan besar Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata negara cukup merasa kehilangan atas pemergian Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya, petang tadi.

Beliau berkata, Allahyarham banyak berjasa khususnya dalam memperjuangkan dan memperkasakan bidang pendidikan, ekonomi dan institusi berkaitan orang Melayu dan Islam.

Sehubungan itu, beliau percaya jasa dan pengorbanan Allahyarham yang tiada tolok bandingnya akan sentiasa dikenang di minda serta hati setiap rakyat Malaysia.

“Saya amat berdukacita dengan berita pemergian Allahyarham iaitu seorang tokoh akademik dan ekonomi yang unggul dan amat disegani, petang tadi.

“Saya dan keluarga berkongsi kesedihan seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian orang tersayang. dan berharap mereka semua tabah menghadapi dugaan ini.

“Sama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarham dirahmati Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, ” katanya di Facebook, hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengimbau semula antara sumbangan Allahyarham termasuk kejayaannya menjadi anak watan pertama dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya (UM) selama 20 tahun.

Katanya, di bawah pentadbiran Allahyarham, Pusat Asasi Sains ditubuhkan yang menyaksikan kelahiran ramai doktor, jurutera dan profesional dalam kalangan anak tempatan.

Beliau berkata, jasa besar Allahyarham juga dikenang dalam penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) iaitu dua institusi yang dekat dengan orang Melayu.

“Allahyarham juga seorang pakar ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada pembangunan agama, bangsa dan negara, termasuk dalam menangani isu kemiskinan di luar bandar,” katanya.

Ungku Aziz Gigih Pejuang Isu Kemiskinan Melayu – Syed Husin

Pemergian Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia petang tadi, disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Pengerusi Yayasan Usman Awang, Dr Syed Husin Ali, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh paling disegani dan gigih memperjuangkan isu kemiskinan rakyat dan nasib orang Melayu.

“Sejak saya mengenali arwah di Universiti Malaya, Singapura pada 1956, ketika itu beliau sebagai pensyarah, beliau amat berminat dalam soal masyarakat kampung dan kemiskinan yang mereka hadapi.

“Arwah amat gigih memperjuangkan nasib orang miskin dan membuat kajian mengenainya serta terbabit rapat dengan pekebun kecil di seluruh Semenanjung dan menjadi penasihat terutama di Johor,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, malam ini.

Katanya, beliau mula rapat dengan Ungku Aziz ketika belajar dan bersamanya membuat kajian mengenai kemiskinan dalam kalangan penduduk kampung.

Selain itu katanya, Ungku Aziz seorang yang terkenal memperjuangkan bahasa Melayu sehingga dilantik sebagai Pengerusi Dewan Bahasa Dan Pustaka yang pertama.

“Arwah gigih memperjuangkan soal bahasa sejak berada di Universiti Malaya dan pernah menguruskan kongres bahasa di Singapura dan Johor pada masa itu.

“Sejak sebelum beliau terkenal, arwah memperjuangkan soal bahasa lebih awal daripada kebanyakan orang lain,” katanya.

Jelas Syed Husin, Ungku Aziz seorang yang prihatin dengan isu politik negara dan mengikuti rapat perkembangan politik negara.

“Politik adalah perkara yang berkait rapat dengan soal kemiskinan rakyat dan juga bahasa, justeru beliau amat berminat dalam politik tetapi tidak terbabit dengan mana-mana parti politik,” katanya.

Ungku Aziz Antara Pencorak Pembangunan Negara

Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid adalah tokoh cendekiawan ulung yang idea, jasa dan sumbangan akademiknya boleh dikatakan mencorakkan sebahagian besar bidang pendidikan, agama dan ekonomi negara.

Dilahirkan pada tahun 1922 di London, England, beliau mendapat pendidikan menengah di English College, Johor Bahru.

Beliau memperoleh Diploma Sastera di Raffles College, Singapura pada tahun 1947 dan Bacelor Sastera (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1951.

Pada tahun 1952 beliau mengorak langkah ke alam akademik apabila diterima sebagai pensyarah dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya (UM).

Beliau dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima tahun mulai tahun 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran pada tahun 1965 hingga 1968.

Pada tahun 1964 beliau memperoleh ijazah Kedoktoran (PhD) Ekonomi dari Universiti Waseda,Tokyo, Jepun.

Ungku Aziz menempa sejarah apabila dilantik sebagai Naib Canselor, UM selama 20 tahun dari tahun 1968 hingga 1988.

Allahyarham juga pencetus kepada idea penubuhan Pusat Asasi Sains di UM untuk membantu orang Melayu dalam kalangan golongan miskin.

Ungku Aziz dikenali menerusi idea penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika menulis kertas kerja bertajuk ‘Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji’ kepada kerajaan pada 30 September 1959 sebelum lahirnya konsep TH hari ini.

TH kemudian ditubuhkan pada 30 September 1963 sebelum konsep diperkenalkan Allahyarham itu diperbaharui pada tahun 1969 apabila digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji.

Ungku Aziz adalah salah seorang yang terbabit dalam merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 1971.

Allahyarham turut melakar kejayaan sebagai pencetus idea penubuhan sekali gus menjadi Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pada Mac 1971.

Ungku Aziz turut berkhidmat sebagai penasihat atau ahli jawatan kuasa penasihat kepada beberapa institusi tempatan dan antarabangsa.

Sepanjang tahun 1971 hingga 2005, beliau dianugerahkan pelbagai ijazah kehormat daripada institusi tempatan dan antarabangsa.

*Sumber: BH Online

Belasungkawa: Prof Ungku Aziz Tokoh Tersohor, Ikon Negara

PROFESOR Diraja Ungku Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Pak Ungku, ialah sebenar-benarnya tokoh tersohor ikon negara.

Beliau ahli akademik tersohor di peringkat antarabangsa dalam bidang ekonomi. Pernah menjadi konsultan kepada beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Suruhanjaya Ekonomi Asia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di negara ini, beliau mula bertugas sebagai pegawai pentadbir di Johor. Berikutnya sebagai pensyarah di Universiti Malaya (Singapura) dari 1952-1961.

Antara 1956-1957, beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dilantik pula ke jawatan profesor dan seterusnya Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (Kuala Lumpur) dari 1962-1965.

Belasungkawa: Prof Ungku Aziz Tokoh Tersohor, Ikon Negara

Sejak 1968 ke 1988, beliau ialah anak watan pertama diangkat dan bertugas menjadi Naib Canselor, Universiti Malaya (UM). Selama 20 tahun beliau menjawat jawatan itu.

Dalam bidang ekonomi, minat beliau adalah terhadap ekonomi luar bandar. Prof Ungku Aziz terkenal dengan teori ‘Sarong Index’ yang digunakannya untuk mengukur kaya-miskin seseorang berdasarkan bilangan sarung yang dimiliki. 

Berpunca kajian ekonomi mengenai kemiskinan luar bandar, minatnya terhadap kemiskinan dalam kalangan Bumiputera meningkat.

Sumbangannya bersifat advokasi awam memanfaatkan jutaan rakyat di semua lapisan dari dahulu hingga sekarang tidak dapat dinafikan, malah setakat ini tiada mampu menandingi.

Dapatan daripada kajian ilmiah beliau memberi motivasi kepadanya untuk berfikir dan mencetuskan idea, berasaskan kepakarannya dalam ilmu ekonomi, mendirikan beberapa institusi inovatif untuk mengangkat kedudukan Bumiputera luar bandar yang ketinggalan khasnya dan Bumiputera terkebelakang dari segi ekonomi di seluruh negara amnya.

Terasasnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada 1969 adalah cetusan idea besar beliau, menyumbang sekali gus kepada Bumiputera yang ingin menabung untuk naik haji di Makkah. 

Ia juga bibit pertama ekonomi Islam dan penubuhan institusi kewangan Islam yang kini berkembang pesat di seluruh dunia dengan Malaysia menjadi hub utama. 

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang ditubuh dan diwartakan pada Mei 1971, pun adalah cetusan idea Prof Ungku Aziz yang menjadi Yang Dipertua ANGKASA lebih 40 tahun.

Belasungkawa: Prof Ungku Aziz Tokoh Tersohor, Ikon Negara

Pertubuhan ini dianggap sebagai koperasi puncak memayungi semua koperasi di negara ini. Jutaan penjawat awam di Malaysia menganggotainya membantu mengurus hal ehwal kewangan mereka.

Dari sudut pendidikan, yang diutamakan beliau adalah pendidikan anak-anak Bumiputera miskin di luar bandar guna menjadi wahana kepada mobiliti sosial mereka dan keluarga, mengangkat mereka daripada kemiskinan ke kehidupan senang dan mampu bersaing di pasaran kerjaya malah dalam bidang sains dan teknologi serta syarikat korporat.

Prof Ungku Aziz mementingkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Pada 1977, beliau mengasaskan satu-satunya Pusat Asasi Sains di Malaysia bertempat di UM yang membuka peluang kepada pelajar Bumiputera luar bandar yang miskin untuk akhirnya mampu menceburi bidang sains dan teknologi. 

Setakat ini pusat berkenaan melahirkan kira-kira 2,000 doktor perubatan; 800 doktor pergigian dan 2600 jurutera. Kesemuanya memperoleh ijazah daripada UM. Ini satu pencapaian sungguh luar biasa dan cukup membanggakan.

Dalam bidang pembangunan negara, beliau mempunyai kefahamannya tersendiri dan sangat berbeza dengan pandang ahli Ekonomi Barat atau ahli ekonomi Malaysia lulusan Barat. Mungkin kerana beliau memperoleh pendidikan awal dan menyelesaikan ijazah doktor falsafah (PhD) pada 1968 di Waseda University, Jepun, kelainan ini terjelma jelas.

Aspek materialisme pembangunan ekonomi menjadi perbincangan dan kritik beliau dalam tulisan di akhbar, dalam bahasa Melayu dan Inggeris serta dalam wawancara di radio dan televisyen sepanjang 1980-an.

Beliau berulang kali mengajukan pandangan pembangunan materialisme tanpa pembangunan spiritual dan nilai tidak lengkap jadinya pembangunan ekonomi itu. 

Seterusnya dalam 1980-an juga beliau membincangkan perlunya orang Melayu mengkaji dan mendalami mengenai warisan kesusasteraan dan intelektual silam yang banyak mengandungi mutiara idea dan pemikiran budaya tinggi dalam tulisannya dengan panjang lebar.

Penjajahan Barat memutuskan hubungan antara warisan ini dengan masyarakat Melayu moden.

Kajiannya mengenai pantun dalam tahun 1990-an memberi beliau bahan untuk menyatakan bahawa usaha perdagangan kaum Melayu telah lama terasas dan terjalin dalam kalangan pelbagai suku kaum di Alam Melayu.

Pada pendapatnya, “Manusia Timur telah lama berperadaban dan berjaya berdagang sesama sendiri di Alam Melayu sebelum kedatangan Eropah,” yang ternukil dalam tulisannya berjudul Space and Time in the Malay Mind (New Straits Times 1992).

Beliau sebenar-benarnya seorang public intellectual atau ahli intelektual rakyat, yang jasanya bersemadi dalam kehidupan semua lapisan rakyat Malaysia.

Tak terbilang jumlah anugerah antarabangsa dan dalam negara yang telah diterimanya. Lebih besar lagi ialah penghargaan berbentuk pelestarian segala idea dan sumbangan beliau dalam minda rakyat Malaysia.

Semoga rohnya ditempatkan dengan golongan soleh.

*Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Anugerah Juara Lagu Satu Pertandingan Untuk Lagu, Bukan Nyanyian

Xiaomi Lancar Mi Watch Lite Untuk Malaysia, Harga Hanya RM249