in ,

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Melantik Ahli Majlis Baru Untuk Penggal 2021-2023

RIM, Kumpulan Kebangsaan Persekutuan Industri Fonografik Antarabangsa (IFPI) yang mewakili lebih 300 syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa di Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada Jumaat, 26 Mac 2021 untuk memilih ahli majlis baharu buat penggal 2021-2023.

RIM, Kumpulan Kebangsaan Persekutuan Industri Fonografik Antarabangsa (IFPI) yang mewakili lebih 300 syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa di Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada Jumaat, 26 Mac 2021 untuk memilih ahli majlis baharu buat penggal 2021-2023.

RIM New Council Members '21-'23 (Hi Res)
Dari kiri: Kim Lim (Ahli majlis), Edwin Tan Siew Hwee (Bendahari), Tan Tiou Chong @ Chongyi
(Ahli majlis), Aziana Ali (Ahli majlis), Rosmin Hashim (Pengerusi), Darren Choy (Timbalan Pengerusi),
Anthony Gan (Ahli majlis), L.Y. (Setiausaha) dan Ng Cheong Hock (Ahli majlis).

Mesyuarat yang diadakan secara maya itu dihadiri oleh 35 ahli berdaftar RIM. Terdiri daripada para profesional industri yang berpengalaman luas, ahli majlis yang baru dilantik melalui sistem undian dalam talian adalah seperti berikut : 

Rosmin Hashim – Pengerusi

Seorang veteran di bidang muzik, beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman industri. Memulakan kerjaya bersama BMG Music, sebuah syarikat rakaman antarabangsa, beliau kini memegang tampuk pimpinan sebagai Pengarah Urusan selain pengasas beberapa syarikat rakaman termasuk Nova Music, Seventeen Eleven Music, Future Music Entertainment serta Najah Music. Selain memegang jawatan sebagai Pengerusi RIM beliau juga merupakan Pengerusi  Public Performance Malaysia (PPM).

Darren Choy – Timbalan Pengerusi

Darren tidak asing lagi dalam industri rakaman tempatan. Bijak mengikuti peredaran zaman dan seorang personaliti muzik penuh dedikasi, beliau kini menggalas jawatan sebagai Pengarah Urusan Warner Music Malaysia. Beliau juga pernah memegang posisi terpenting di beberapa syarikat tersohor seperti Lotus Racing Formula One™, Adidas, EMI Malaysia dan banyak lagi.

L.Y. (Rozman Bin Shafie) – Setiausaha

Tiada yang tidak mengenali nama L.Y. dalam dunia seni muzik Malaysia. Beliau terdiri di antara komposer teragung Malaysia yang pernah menghasilkan banyak lagu-lagu popular buat artis ternama Malaysia dan telah memenangi pelbagai jenis anugerah muzik tempatan dan serantau.

Edwin Tan Siew Hwee – Bendahari

Edwin yang merupakan lulusan bidang perakaunan akhirnya memasuki industri muzik dan rakaman Malaysia. Beliau bertanggungjawab dalam pemasaran artis-artis tersohor Malaysia seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Noraniza Idris, New Boyz dan ramai lagi. Pengalamannya yang lama dan luas menjangkau dua dekad dalam industri muzik juga memberi peluang kepadanya melebarkan sayap ke Indonesia untuk mempromosi artis-artis naungan Suria Records sehingga Dato’ Sri Siti Nurhaliza menjadi salah seorang artis paling dikenali di seberang sana.

Ng Cheong Hock – Ahli Majlis 

Ng Cheong Hock adalah di antara profesional paling berpengalaman dalam industri muzik Malaysia. Kini bertugas sebagai Pengarah Urusan Hup Hup Sdn Bhd (Life Records), syarikat rakamannya yang telah diasaskan sejak tahun 1949 lagi adalah pelopor bagi segala syarikat rakaman di Malaysia. 

Tan Tiou Chong (a.k.a. Chongyi) – Ahli Majlis

Tan Tiou Chong atau lebih dikenali sebagai Chongyi dalah Pengarah Urusan Rock Records (M) Sdn Bhd. Dengan pengalaman lebih 40 tahun sebagai seorang veteran dalam arena muzik beliau telah mencipta kejayaan besar buat ramai artis berbangsa Cina Malaysia yang mengukir nama di persada muzik antarabangsa. Ini termasuklah Fish Leong (梁静茹), Aniu (阿牛), serta Michael (光良) dan Victor (品冠) yang kini tersenarai sebagai antara artis paling popular di negara-negara berbahasa Cina. Selain mengurus syarikat rakaman beliau juga seorang penulis lirik berbakat.

Anthony Gan – Ahli Majlis

Anthony Gan merupakan Pengurus Besar syarikat rakaman New Southern Records (NSR). Lulusan bidang  perdagangan dari Deakin University di Melbourne, Australia ini telah bertanggungjawab mempromosikan  ramai artis ternama di bawah naungan NSR seperti Dayang Nurfaizah, Flop Poppy, dan ramai lagi. NSR telah melahirkan ramai bakat tempatan berbangsa Cina yang telah meraih kemenangan dalam pertandingan Astro Classic Melodies. NSR juga memiliki banyak katalog terbaik artis Melayu tahun 80 dan 90-an seperti Wings, Dinamik, Olan dan kumpulan UKs.

Aziana Ali – Ahli Majlis

Aziana adalah Pengurus Besar Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd. yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam industri muzik tempatan dan serantau. Selain dari bekerjasama dengan Sony Music Entertainment Indonesia untuk mengetuai pasukan pemasaran digital strategik dan seterusnya,  mengurus Sony Music Entertainment Indonesia dari 2017 hingga 2019, beliau juga bertanggungjawab untuk memasarkan ramai artis popular seperti Celine Dion, Kelly Clarkson, One Direction, Padi, Sheila On7, Misha Omar, Alif Satar dan ramai lagi.

Kim Lim – Ahli Majlis

Kim Lim baru sahaja dilantik sebagai Pengarah Urusan Universal Music Malaysia. Pernah bertugas sebagai Pengarah Kanan Perniagaan Baru di syarikat yang sama, beliau menjaga segala urusan berkaitan perjalanan kerjaya artis naungan Universal Music Malaysia.

RIM mewakili sejumlah 366 syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia. Antaranya termasuk syarikat rakaman antarabangsa besar seperti Universal Music, Warner Music, Sony Music Entertainment dan Rock Records; serta syarikat rakaman tempatan persendirian seperti Hup Hup (Life Records), New Southern Records (NSR), Suria Records (SRC), Nova Music dan Kelarai Sakti. Sebagai badan yang mewakili industri rakaman Malaysia sejak tahun 1978, RIM telah melaksanakan pelbagai aktiviti demi pembangunan industri muzik tempatan termasuk melalui penerbitan Carta RIM, carta

mingguan yang menyenaraikan 10 lagu tempatan dan antarabangsa dengan penstriman tertinggi di Malaysia. RIM juga telah mengelola forum muzik, seminar muzik di institusi pendidikan tinggi dan menyelaras lawatan ke persidangan muzik antarabangsa (seperti  MIDEM, ALL THAT MATTERS) untuk manfaat ahlinya. RIM juga adalah penganjur Anugerah Industri Muzik (AIM), iaitu anugerah yang sangat berprestij di Malaysia.    

Persatuan ini juga mempunyai banyak sasaran dan objektif yang lain. Ini termasuklah mengekal dan menjalinkan etika perniagaan yang adil di kalangan ahli. Ini akan membantu mewujudkan dan mempromosi hak pemilik rakaman bunyi dan video melalui kes-kes undang-undang statut atau kontrak dan melalui perjanjian serta konvensyen yang membantu mempertahan, memelihara dan memajukan kesemua aspek tersebut.

Persatuan ini juga bertanggungjawab menjana minat terhadap penerbitan produk rakaman audio serta video dengan membuat perwakilan dalam rundingan bersama kerajaan tempatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan badan-badan lain yang berkepentingan di Malaysia.

Ia juga berperanan memajukan dan melindungi masa depan kebajikan ahli melalui usaha anti-cetak rompak oleh badan berkuasa dengan cara yang ditetapkan selain menjaga kebajikan ahli dengan sebarang cara yang sah untuk memfailkan sebarang aduan dan kes dengan mana-mana agensi kerajaan dan mahkamah serta mengambil semua tindakan yang wajar yang diluluskan oleh ahli majlis untuk melindungi hak serta kepentingan ahli. Ia juga berperanan memohon dan menerima geran, derma, sumbangan atau sumber kewangan untuk tujuan memajukan serta mencapai objektif persatuan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Abubakarxli Bergabung dengan Shalma Eliana dalam Single NAIK

The Conjuring 3 Selongkar Kisah Sebenar Di Sebalik Kes Arne Cheyenne Johnson