in , ,

Pengarah Filem TRAGEDI OKTOBER Yusof Kelana Meninggal Dunia

Industri lakonan Malaysia hari ini dikejutkan dengan satu berita pemergian seorang pengarah terkenal iaitu Yusof Kelana atau nama sebenarnya Omar Saleh sekitar jam 9:30 pagi (15 Ogos 2020) .

Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya ketika isteri dan anak-anak sedang membacakan surah Yassin di kediamannya yang terletak di Taman Melawati, Hulu Klang.

Isteri Allahyarham iaitu Nur Maynah memaklumkan bahawa keadaan kesihatan suaminya itu berada dalam keadaan baik-baik sahaja selain tidak menunjukkan perubahan yang drastik. Tetapi pada hari ini, Allahyarham yang berusia 66 tahun itu kelihatan agak lemah.

Pengarah Filem TRAGEDI OKTOBER Yusof Kelana Meninggal Dunia
Takziah! Pengarah Yusof Kelana meninggal dunia akibat kanser

Arwah berada dalam keadaan sedar, cuma dia diam dan tak bergerak sebelum meninggal dunia. Saya panggil anak-anak untuk membaca Yasin. Saya juga sempat bisik ke telinganya dengan menyebut kalimah Lailahaillallah.

Kelmarin dia okey saja. Arwah tidak menunjukkan perubahan yang ketara, mungkin sudah tiba ajalnya.

– Nur Maynah

Pada 6 Ogos 2020 lalu, beberapa media tempatan melaporkan pemilik syarikat penerbitan M.E. Communications itu berada dalam keadaan kritikal di Institut Kanser Negara, Putrajaya dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Pengarah filem ‘Tragedi Oktober’ pada tahun 1996 yang merekodkan kutipan pecah panggung RM3.2j ini dilaporkan hanya menyedari beliau menghidap kanser pada Jun 2020 lalu apabila mengalami luka pada bahagian tapak kakinya sebesar 50 sen tetapi enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pengarah Filem TRAGEDI OKTOBER Yusof Kelana Meninggal Dunia
Takziah! Pengarah Yusof Kelana meninggal dunia akibat kanser

Selepas mengalami sakit dada dan terjatuh di rumah, baharulah Yusof  dibawa ke hospital biarpun berulang kali diajak anaknya.

Memandangkan Yusof tidak mempunyai sejarah penyakit kencing manis, pihak hospital bertindak melakukan ujian Computed Tomography atau CT Scan dan menemui sel kanser yang sudah berada pada tahap empat.

Menurut laporan daripada anak sulungnya, Nur Yusnani Omar, bapanya baharu sahaja menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi namun disebabkan sel kanser sudah merebak ke bahagian otak sehingga menjejaskan tahap ingatan bapanya.

Dan disebabkan keadaannya terlampau lemah doktor terpaksa menghentikan rawatan dan membenarkannya menjalani rawatan paliatif di rumah sahaja.

Hidap Kanser Kulit Tahap 4

Difahamkan, Allahyarham yang juga merupakan pengarah filem Tragedi Oktober sebelum ini sudah disahkan menghidap penyakit kanser kulit tahap empat pada Julai lalu selepas pihak hospital menjalani ujian Computed Tomography atau CT Scan.

Menceritakan kembali kisah itu, ahli keluarga memaklumkan pada awalnya mereka hanya menyangka luka yang dialami Allahyarham hanyalah kecederaan biasa sehinggalah pada suatu hari Allahyarham sakit dada dan terjatuh sebelum dikejarkan ke hospital.

Selepas mendapatkan rawatan, baru mereka tahu bahawa Allahyarham mengalami kanser kulit.

Arwah dijangka dikebumikan selepas solat Asar hari ini, namun belum dipastikan lokasi pengebumian. Tetapi kalau boleh saya ingin arwah dikebumikan di tanah perkuburan yang berhampiran dengan rumah.

Pengarah Filem TRAGEDI OKTOBER Yusof Kelana Meninggal Dunia
Takziah! Pengarah Yusof Kelana meninggal dunia akibat kanser

Selain itu, Allahyarham juga pernah menerbitkan beberapa filem terkenal di Malaysia antaranya Juara pada tahun 1991, Tragedi Oktober (1996). Allahyarham kemudian meneruskan kerjasama dengan Skop Production dengan menghasilkan filem MX3 dan Pontianak Menjerit.

Sementara itu pula, Allahyarham telah menghasilkan filem Bidong: The Boat People pada tahun 2018 selain pernah menjadi salah seorang pengarah drama terkenal Gerak Khas.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan beliau di kalangan hambaNya yang soleh dan beriman.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Spotify Unveils New Social Distancing Trends

BIG Loyalty Tawarkan Rebat BIG Poin dalam Jualan 816 BIG Deals