in ,

Penganjuran SUKMA XX Johor 2020 Ditetapkan Pada April 2021

ISKANDAR PUTERI, (19 September): Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA XX Johor 2020) hari ini telah memutuskan bahawa penganjuran temasya tersebut akan dilangsungkan pada Mac untuk Para SUKMA sementara SUKMA XX pada bulan April 2021.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA XX Johor 2020) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertempat di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini.

“Setelah meneliti apa yang dibentangkan oleh pihak Sekretariat SUKMA XX Johor 2020, jawatankuasa sebulat suara bersetuju bahawa Para SUKMA akan dikelolakan terlebih dahulu iaitu pada 8 hingga 13 Mac 2021 dan kemudiannya SUKMA XX Johor 2020 akan dikelolakan pada 2 hingga 10 April 2021.

sukma

“Ini adalah kerana mengambil perkiraan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang akan berlangsung pada 1 hingga 9 Mac dengan 171 atlit akan terlibat dalam peperiksaan berkenaan.

“Saya dan juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam soalan penentuan tarikh penganjuran ini secara muktamad pada bulan Disember,” jelas Reezal.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan Exco-Exco Belia dan Sukan Negeri, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Noor Azman Taib; Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohd Nazifuddin Mohd Najib; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli di samping Pengarah-Pengarah Majlis Sukan Negeri.

sukma

Selain medan pendedahan bakat baharu, SUKMA XX Johor 2020 juga dilihat menjadi pentas penting buat atlit khususnya dalam memburu tempat bagi mewakili kontinjen negara pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Sebanyak RM467.9 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan fasiliti berkelas dunia serta menaik taraf kemudahan sedia ada. Sementara sejumlah RM325.9 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri serta turut menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM142 juta.

Antara gelanggang yang dinaiktaraf merangkumi Stadium Hoki Taman Daya, Pusat Akuatik Arena Larkin, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi sukan Wushu, Akademi Majlis Kriket Johor di Mutiara Rini dan Sireh Park serta Iskandar Puteri bagi sukan berbasikal MTB.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Bagaimana Kemahiran Berfikir Kritis Membantu Anda Dalam Kerja Anda?

Ciri Family Setup Apple Watch Masih Belum Boleh Digunakan Di Malaysia