in ,

PENERBIT FILEM GENTAYANGAN DITIPU

PENERBIT GENTAYANGAN DITIPU

 Filem sulung keluaran syarikat produksi, Second Life Sdn Bhd dikatakan ‘terapung’ atau dalam kata lainnya, masih tidak siap walaupun telah selesai menjalani pengambaran beberapa bulan lepas. Menurut sumber dalam industri, filem tersebut tidak dapat disiapkan disebabkan masalah kewangan.

 Dalam satu temuramah eksklusif bersama-sama penerbit, Datuk Zubir, baru-baru ini. Dia akhirnya mengakui masalah tersebut sehingga memberi masalah kepada filem sulung terbitannya itu.

 Tatkala ditanya, apakah sebenar yang berlaku di dalam produksi tersebut, Datuk Zubir berkata, “Terdapat satu masalah berkaitan kewangan dalam produksi. Dalam erti kata lain, ada satu ‘konsortium’ cuba untuk mengeksplotasi kebaikan saya sehingga mereka meminta bayaran tidak setimpal dengan apa dilakukan.”

 “Setelah melakukan audit dalaman, kami menganggarkan sebanyak RM300,000 hinggan RM400,000 telah melebihi kos sepatutnya,” jawab beliau apabila ditanya mengenai jumlah kerugian yang telah dihadapinya.

 Dengan masalah seperti itu, beliau ditanya siapakah mereka terlibat dalam komplot itu, balas Datuk Zubir, “Biarlah saya tidak memberitahu siapa terlibat. Tetapi ianya merupakan sebuah ‘konsortium,’ maksudnya terdiri dari pelbagai individu dari produksi ‘Gentayangan.’ Tetapi ingin ditegaskan di sini, tidak semuanya mempunyai niat buruk, ada yang berkerja dengan cukup profesional.  Lagi pun, industri filem tempatan cukup kecil, walau ke mana pergi pun, sudah pasti berjumpa dengan mereka. Jadi biarlah saya rahsiakan siapa mereka.”

 Selain itu, dengan jumlah penipuan cukup besar sehingga boleh membuat sebuah filem ‘indie,’ beliau ditanya, semenjak bila baru tersedar ‘konsortium’ tersebut mengambil kesempatan ke atasnya, jelas beliau pula, “Saya bersyukur apabila ada mereka mengambil berat tentang hal ini dan mengejutkan dari dalam ‘mimpi.’ Bayangkanlah, sebelum ini pihak krew produksi ingin mengadakan hanya satu babak di Thailand dengan kos sebanyak RM60,000. Itu satu kos tidak munasabah. Peningkatan kos itu terjadi apabila ada perkara tidak dirancang.”

 Itulah merupakan jawapan sebenar mengapa filem bakal mengutip kutipan sebanyak RM 10 juta itu tidak dapat disiapkan. Jika sebelum itu, diawal perbualan, Datuk Zubir  cuba berselindung dengan mengatakan filem tersebut sengaja diperapkan.

 Untuk rekod juga, filem ‘Gentayangan’ juga sudah mendapat tarikh untuk syarat wajib tayang iaitu pada 8 Januari 2009. Namun, disebab ada perkara belum dapat diselesaikan, penerbit, Second Life, cuba untuk mendapatkan satu tarikh baru.

 Dalam temuramah esklusif itu juga, datuk Zubir mengakui membuat filem adalah menyeronokkan. Tetapi tambahnya pula, “Namun, dengan apa telah berlaku kepada saya, rasanya perlu lebih berhati-hati. Diharap mendapat sebuah produksi yang betul-betul jujur juga pandai di dalam bidang pemasaran dan media,” katanya juga “Saya memang terkilan dengan apa telah berlaku.”

 Filem ‘Gentayangan’ dibintangi oleh Nasir Bilal Khan, Rusdi Ramli, Yasmin Hani dan diarah oleh Zulkifli M. Osman. Mengenai pelakon pula, khabar angin mengatakan ada pelakon tidak menerima bayaran seperti dijadualkan.

 Menurut Datuk Zubir pula, katanya, “Mengenai bayaran kepada pelakon, sebenarnya tidak ada masalah. Setakat ini misalnya, Nasir Bilal Khan sudah menerima bayaran sepenuhnya. Cuma ada sesetengah masih belum menerima baki bayaran sekitar 10 hingga 40 peratus. Ini kerana bagi mengambil langkah perlu jika ada ‘dubbing’ dan sebagainya.  Tetapi bayaran tersebut bakal diterima mereka selambat-lambatnya seminggu selepas Aidilfitri nanti. Tiada siapa akan rasa tertipu.”

 Dalam pertemuan itu juga, Datuk Zubir menceritakan perancangan Second Life untuk masa hadapan. Walaupun dengan apa berlaku, beliau masih tidak putus asa untuk menceburkan diri dalam bidang seni perfileman.

 “Dalam perancangan, kami akan menghasilkan dua buah filem terbaru. Satu berunsurkan komedi, bakal dibintangi pelakon filem popular dan sebuah lagi filem berjudul ‘Menerjah Syurga,’ filem berunsur mafia. Menurut perancangan, filem tersebut bakal menjalani pengambaran di luar negara dan dibintangi oleh pelakon hebat Sidi Oraza juga Ahmad Yatim.”

SUMBER: GUA.COM.MY

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MAMMA MIA! The Smash Hit Musical Istana Budaya Launching

THE LEGEND OF BRUCE LEE LAKONAN CHAN KWOK KWAN, MICHELLE LANG, MARK DACASCOS