in

Pelancaran Trailer & Muzik Video Lagenda Budak Setan 2 Katerina

Pada jam 2 petang semalam (16 Oktober), Budiey telah hadir di Pelancaran Trailer & Muzik Video Lagenda Budak Setan 2 Katerina yang diadakan di Saloma Bistro. Turut hadir ialah pelakon utama filem ini iaitu Maya Karin, Farid Kamil dan juga penyanyi Ning Baizura yang merupakan cameo serta penyanyi lagu tema filem ini.

Trailer Lagenda Budak Setan 2 Katerina

Lagenda Budak Setan, sebuah judul yang cukup popular di kalangan penggemar novel-novel cinta. Kejayaannya meraih anugerah ‘jualan terlaris’ telah tercatat dalam ‘Malaysian Book of records’. Titik kejayaan novel ini disambung dengan usaha menjadikan ianya sebauh filem cereka dan ianya tidak sia- sia. Filem yang diadaptasikan dari novel tersebut mencatat rekod sebagai filem cinta terlaris dekad ini.

Kejayaan Lagenda Budak Setan yang ditayangkan kepada umum pada Jun 2010, mendorong pihak penerbitnya menyambung kisah cinta trajis watak utamanya, Kasyah. Episod malang Kasyah bersambung dalam novel Katerina, dan sebagai menyambung versi filemnya, penerbit masih mengekalkan judul asalnya dengan menambah judul katerina di belakangnya. Lagenda Budak Setan 2- Katerina, adalah sekuel kepada Lagenda Budak Setan.

Lagenda Budak Setan 2- Katerina akan menemui penonton melalui pawagam di seluruh Negara, mulai 29hb November 2012. Susulan kepada tayangan umumnya pada tarikh tersebut, pihak penerbit merangka beberapa langkah promosi dan pemasarannya. Satu darinya adalah dengan mengetengahkan muzik video filem ini. Selain berperanan mengangkat dan mempertaruhkan lagu filemnya yang menyentuh rasa, ianya juga secara tidak langsung memberi input kepada peminat filem mengenai inti cerita filemnya melalui kapsyen yang dipaparkan.

Lagenda Budak Setan 2 – Katerina mengetengahkan 3 buah lagu yang dicipta khusus untuk filem ini. Seperti mana Lagenda Budak Setan (LBS) dulu, yang membuai perasaan penonton dengan lagu-lagu merdunya, Lagenda Budak Setan 2- Katerina (LBS2-K) juga tidak kurang hebatnya.

Majlis anjuran Tarantella Pictures Sdn Bhd ini bertujuan memperkenalkan 2 buah lagu yang dijangka akan turut membuai perasaan peminat sepertimana LBS dulu. SEJATI merupakan judul lagu nyanyian Ning Baizura yang turut dijadikan muzik video. Selain SEJATI, satu lagi lagu syahdu berjudul HAMPA, nyanyian B’Jah dari kumpulan Hujan.

Rakaman muzik video lagu SEJATI nyanyian Ning Baizura ini telah dijalankan di Pulau Perhentian dan Pulau Langkawi. Memaparkan keindahan alam dan panorama yang memukau, menambahkan ‘mood’ pada elemen ‘membuai rasa’nya. Bagi menguatkan elemen ‘membuai rasa’ ini, Ning Baizura dibawa ke set penggambaran LBS2-K di Pulau perhentian dan Pulau Langkawi. Rakaman muzik video ini juga menggunakan babak lakonan sebenar dua watak utama filem LBS2-K. Satu percubaan yang diharap dapat membangkitkan elemen resah dan ‘membuai rasa’ para peminat.

HAMPA, sebuah lagi lagu yang menyentuh rasa, diketengahkan sebagai lagu yang melatari babak- babak sedih, hampa dan menyayat hati. Lagu berjudul HAMPA ini menjadi tunjang kepada babak- babak yang dimaksudkan. Sesuai sebagai membangkitkan rasa ‘keluh kisah’, lagu HAMPA ini turut dijadikan lagu latar kepada pelbagai variasi treler dan visual promo LBS2-K.

LAGENDA BUDAK SETAN 2 – KATERINA (LBS2-K) menyambung legasi Lagenda Budak Setan yang mengetengahkan aspek cerita, panorama menarik serta lagu- lagu syahdu sebagai tunjang yang mendominasi keseluruhan filem. “Adalah diharapkan nanti, lagu- lagu merdu dan syahdu ini bakal meresap kedalam jiwa peminat dan menjadi siulan ramai, sepertimana yang berlaku ke atas filem terbitan kami terdahulu, OMBAK RINDU”, celah Sharad Sharan selaku pengarah dan penerbit LBS2-K.

Sekadar imbas kembali, Tarantella Pictures telah menerbitkan 5 buah filem adaptasi novel dimana 2 darinya telah mencetuskan fenomena iaitu LAGENDA BUDAK SETAN dan OMBAK RINDU. Selain kedua-dua filem tersebut, filem UNTUK TIGA HARI arahan Afdlin Shauki, LBS2-K dan sambungan bahagian terakhirnya LAGENDA BUDAK SETAN 3 yang kini berada dalam pos produksi.

Projek seterusnya, masih lagi dengan filem adaptasi novel. Sebuah novel karya Ahadiat Akashah berjudul PILOT CAFE akan memulakan penggambarannya tidak lama lagi. Semoga usaha dan langkah ini mendapat sambutan masyarakat. Besarlah harapan Tarantella Pictures sekiranya dapat menyumbang sesuatu yang bermakna ke dalam industri filem tempatan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Shila Amzah Dibayar RM100 Ribu Setiap Persembahan di China?

Gambar Maya Karin di Pelancaran Trailer Lagenda Budak Setan 2