in

PARTI DAYANG NURFAIZAH @ PLANET HOLLYWOOD

Dayang Nurfaizah kembali semula ke Planet Hollywood, dan tak sabar untuk ditemani oleh peminat-peminat berparti dengannya sempena harijadinya tanggal 20 Julai 2008 kelak. Sudah menjadi kelaziman untuk Dayang bersama-sama berparti dengan peminat-peminat pada harijadinya sejak tahun 2003 lagi, dan tahun ini tidak berbeza, malah lebih istimewa.

20 Julai 2008 akan mengukir sejarah kerana Dayang Nurfaizah merekodkan persembahan pada malam itu untuk dijadikan album audio langsung (‘live’). Peminat-peminat akan mendengar dendangan lagu-lagu Dayang dari album pertama ke album keenam di mana setiap lagu yang telah dipilih telahpun diberikan nafas baru yang akan pasti menggamit hati peminat dan juga penonton pada malam itu.

Ini juga akan pasti memberikan wajah baru kepada album yang bakal dilahirkan pada malam 20 Julai nanti. Ini adalah ‘hadiah’ Dayang kepada peminat-peminat, terutama peminat-peminat yang turut menyaksikan persembahan pada malam itu untuk dijadikan tanda terimakasih demi sokongan padu dan taat setia mereka.

Untuk merekodkan sesuatu album ‘live’ amat mencabarkan jika dibandingkan dengan merekodkan album di dalam suasana studio. Ini pasti akan mencabar kekuatan Dayang sebagai seorang artis yang berwibawa oleh kerana Dayang perlu menginterpretasi lagu-lagu yang memang sudah menjadi kebiasaan di dalam suasana yang berlainan dengan nada yang telah disusun baru dan juga turut mendendangkan lagu-lagu lama yang beliau tidak biasa bernyanyi.

Sudah menjadi keinginan Dayang sekian lama untuk merekodkan suatu album secara ‘live’ kerana Dayang merasakan bahawa dalam suasana tersebut, dia bebas untuk mengeksprsikan emosi dan gerakan semasa persembahan sebegini. Impak yang terbesar bagi Dayang adalah apabila album ini bakal direkodkan bersama-sama dengan peminat-peminatnya pada malam itu yang pastinya akan merangsangkan lagi persembahan beliau pada malam itu.

Dayang Nurfaizah akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik tersohor tanahair pada malam 20 Julai kelak – Jenny Chin sebagai Pengarah Muzik dan akan bermain keyboard kedua, Mac Chew bermain keyboard, Aji bermain guitar, Andy Peterson bermain bass dan Lewis Pragasam bermain drums.

Tahun 2008 ini juga merupakan tahun kesembilan Dayang Nurfaizah kekal dalam industri muzik tanahair dan sebagai tanda terimakasih di atas kekalan beliau sebagai penghibur berwibawa, Dayang akan memberi balik kepada peminat-peminat di samping memberi kepada golongan yang memerlukan bantuan ihsan.

Tabung “Dayang Sayang Kamu” akan juga dilancarkan pada malam 20 Julai dan pada kali yang pertama, Dayang akan menjual barang-barang peribadi beliau seperiti, baju, kasut dan perhiasaan untuk mengutip duit bagi tabung beliau yang akan disalurkan mengikut pilihan Dayang sendiri.  

Ini merupakan panggilan kepada peminat-peminat setia Dayang Nurfaizah – sesiapa yang ingin memilki harta peribadi Dayang sekaligus menghulurkan bantuan, malam 20 Julai 2008 adalah malam bersama Dayang. Jualan barangan Dayang akan menjadi kebiasaan di semua persembahan-persembahan ‘live’

Dayang bagi membolehkan peminat-peminat serta penonton-penonton meringankan tangan dan menghulurkan bantuan kepada mereka-mereka yang lebih memerlukan. Syabas, Dayang!  Selain dari barangan peribadi Dayang, album karaoke terbaru Dayang yang baru saja dilancarkan, ‘MTV Karaoke Inginku Miliki’ akan dijual pada malam itu di Planet Hollywood.

“Dayang ingin sekali untuk peminat-peminat Dayang menjadi sebahagian dari usaha Dayang untuk sama-sama kita menghulurkan bantuan. Dayang ingin juga untuk peminat-peminat Dayang menjadi sebahagian dari album istimewa yang akan direkodkan pada malam 20 Julai ini sebagai tanda terimakasih Dayang untuk sokongan setia yang telah diberikan kepada Dayang selama sembilan tahun dayang berada di persada muzik tanahair. Hari ini merupakan juga titik permulaan bahawasanya peminat-peminat Dayang bukan sekadar peminat sahaja, malah telahpun menjadi kawan Dayang kerana mengharungi pahit manis selama sembilan tahun bersama Dayang.” 

Marilah bersama-sama berparti dengan Dayang Nurfaizah di PARTI DAYANG@ PLANET HOLLYWOOD pada 20 Julai 2008. Persembahan bermula pada pukul 10.30 malam. Bayaran masuk untuk menyaksikan persembahan ini ialah RM50, termasuk satu minuman.  Sila telefon Planet Hollywood di talian 03-21446602 untuk keterangan lanjut.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Pelancaran Album Aizat Percubaan Pertama

Video Promo Pelakon Drama Impian