in , ,

ntv7 Lalui Perubahan Secara Berperingkat

Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) sekali lagi sedang mengukuhkan lagi penampilan stesen ntv7, iaitu satu daripada empat stesen televisyen tidak berbayar di bawah rangkaiannya. Perubahan ini adalah hasil daripada maklum balas daripada penonton dan untuk memenuhi cita rasa pelbagai lapisan penonton pada masa kini.

Menurut Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, “Terdahulu ntv7 dikenali sebagai saluran gaya hidup dengan memperkenalkan CJ WOW Shop (kini WOWShop) versi Bahasa Cina dan menyiarkan drama-drama ulangan menarik dalam Bahasa Cina, kini penonton yang meminati rancangan-rancangan berbahasa Cina boleh menontonnya di stesen 8TV yang menampilkan 100% berbahasa Cina. Perubahan ini akan dijalankan secara berperingkat bermula 1 November ini.”  

“Ia dilihat bersesuaian dengan keadaan masa kini yang mana rata-rata penonton berusia antara 15 hingga 28 tahun adalah lebih cenderung untuk mengetahui pelbagai informasi terkini dan isu semasa.

Penonton kini mempunyai pilihan platform dalam talian (online) mengikut cita rasa mereka, namun televisyen masih relevan dan menjadi pilihan ramai, terutamanya bagi mereka yang gemar menonton bersama dengan seisi keluarga dan juga sahabat handai.” 

“Situasi seperti ini menguatkan lagi usaha kami untuk menjadikan ntv7 sebagai saluran yang lebih fokus dan cenderung kepada rancangan-rancangan berbentuk majalah, dokumentari dan faktual.

Malahan ntv7 masih mengekalkan slot sedia ada seperti slot Daebak (program realiti Korea), Edisi 7 (Berita Bahasa Malaysia), 7 Edtion (Berita Bahasa Inggeris) dan WOWShop,”

– Dato’ Khairul.

Setiap stesen di bawah Rangkaian Televisyen Media Prima mempunyai sasaran penontonnya masing-masing. TV3 menyasarkan penonton masyarakat umum secara keseluruhannya, 8TV lebih memfokus kepada penonton berbahasa Cina dan TV9 pula mensasarkan penonton yang cenderung kepada program-program hiburan serta aktiviti membeli-belah secara dalam talian. 

Bermula 1 November ini, perubahan ntv7 ini dapat dilihat menerusi susunan rancangan-rancangan yang disediakan bermula dengan Majalah 3 diikuti dengan Soal Rakyat, Helo Doktor, Wanita Hari Ini, 999, slot Daebak: Runningman, WOWShop dan banyak lagi.

Nantikan pembaharuan ntv7 secara berperingkat dan pastinya anda semua akan teruja menonton rancangan-rancangan menarik berkaitan isu semasa menerusi ntv7 ini!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tawaran Go Shop Sungguh Berbaloi untuk Pelanggan Sempena Ulang Tahun Ke-6

Kakitangan Sunway Lost World of Tambun Disahkan Negatif Covid-19