in , , , ,

Corat Coret Nota Daripada Team Produksi Filem DIVA

Filem Diva merupakan sebuah filem yang julung kali melakar sejarah sebagai filem yang menggabungkan latar budaya pembikin di antara tiga buah negara.

Para pelakonnya adalah dari Malaysia dan Indonesia manakala pengarah dan krew teknikalnya adalah dari India. Penerbit filem Diva ialah sebuah syarikat produksi bergelar Tarantella Pictures Sdn Bhd bersama dengan Nusantara Films Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada Astro Shaw Sdn Bhd yang mempunyai wawasan untuk pasaran penonton di persada nusantara. Ideanya cukup mudah dan menarik kerana di persada yang luas ini banyak cerita yang dapat digali untuk dijadikan filem supaya dikongsi bersama.

“Ini merupakan satu peluang bagi saya membawa kepakaran dari India dan pelakon dari Indonesia dari tempat saya bekerja dahulu dan bersama rakyat Malaysia kita terbitkan sebuah filem yang dapat menghiburkan semua penonton dipersada ini,” kata Sharad Sharan yang merupakan pemunya dan pengarah di Tarantella Pictures. “Penonton dipersada nusantara ini akan mendapat pendedahan tentang kebolehan pelakon Malaysia dan kecantikan lokasi di negara ini,” tambah beliau. Tarantella Pictures merupakan syarikat produksi yang diusahakan pada 2004 bersama isteri beliau, Renu yang juga merupakan seorang penulis skrip kini sedang tekun untuk menerbitkan sebuah filem yang menghargai zaman kegemilangan filem Melayu terutamanya zaman lagenda P.Ramlee.

Setelah drama siri TV Indonesia beliau seperti Janjiku, Bidadari, Istri Pilihan yang kini disiarkan di Astro Aruna memenangi beberapa anugerah, Sharad merasakan dia mahu melakukan sesuatu yang lebih besar. Tawaran kepada beliau untuk menerbitkan filem di Malaysia seolah-olah datang tepat pada waktunya dan sukar untuk dilepaskan. Bercerita tentang filem Diva, Sharad berkata: “Penonton akan terhibur dengan filem yang sesuai untuk semua generasi. Filem ini juga agak rancak, drama yang hebat dan penuh dengan elemen keremajaan.”

Pada November 2005, filem yang diberi peruntukan sebanyak RM3.5 juta ini terpaksa diberhentikan dipertengahan bulan Disember akibat dari masalah yang tidak dapat dielakkan. Sharad yang memiliki pengalaman selama 10 tahun dalam industri pembikinan drama TV terutamanya di Indonesia masih mencari rentak industri filem di Malaysia. Semasa penangguhan pembikinan filem Diva, Sharad dengan sedaya upaya meneliti kembali cara terbaik untuk menyiapkan kembali produksi filem tersebut. Beliau mengatur kembali tenaga kerja setelah mengambil iktibar dari beberapa situasi yang berlaku. Beliau mula menyusun dan mengatur tenaga kerja yang berkebolehan dan akhirnya meneruskan kembali produksi pada Julai 2006 tanpa sebarang konlfik. Beliau menggunakan kepakaran Koreografer dan penari professional dari India untuk dipadankan dengan runut bunyi filem ini yang telah dikompos oleh pengarah muzik muda yang kian meningkat naik di Bollywood iaitu saudara Mithoon. Mithoon terkenal dengan lagunya Tere Bin yang hit India. Mithoon juga dianugerahkan sebagai Pengarah Muzik Terbaik di Star Screen Awards (2006) dan Stardust Best Debutant Composer pada tahun yang sama untuk filem Bas Ek Pal. Penggabungan para pelakon dari Malaysia dan Indonesia adalah sesuatu yang amat sukar tetapi tidak mustahil. “Saya menambah tahap keyakinan diri mereka untuk terus membuat yang terbaik dengan menunjukkan hasil lakonan mereka setiap hari dan mereka sendiri tidak percaya yang mereka boleh melakukannya,” kata Sharad.

“Pelakon berjaya menyambung tugasan mereka selepas tertangguh selama empat bulan walaupun pihak produksi menghadapi pelbagai isu. Kami tetap mencari cara terbaik untuk menyiapkan pengambaran tersebut,” ujar Sharad. “Apa yang saya hadapi adalah sesuatu diluar kawalan saya dan apatah lagi saya berasal dari negara lain untuk memahami budaya kerja di sini pada peringkat permulaan,” kata beliau. “Diva merupakan filem yang sukar untuk dibuat tetapi melihat pada hasilnya iainya adalah pengalaman yang berbaloi dan saya rasa semua pihak yang terlibat dalam pembikian Diva setuju dengan pendapat saya,” tambah beliau. Bekas pengacara One In A Million, Awal Ashari yang juga 30 finalis Cleo Eligible Bachelor 2004, berkata, “Setelah apa yang Sharad tempuhi, beliau berjaya sudahkannya dengan tabah.” “Kalau saya merupakan seorang penerbit, saya akan melabur kepada Sharad untuk terbitkan filem seterusnya.” “Sharad memeriahkan lagi industri filem negara cara beliau sendiri dan saya harap ianya boleh menjadi contoh untuk pengarah lain.”

Manakala pelakon veteran yang tidak asing lagi iaitu Fauziah Nawi pula berkata: “Krew produksi filem Diva  tahu apa yang mereka lakukan dan saya fikir, industri filem tempatan dapat meningkatkan taraf pembikinan mereka dengan menonton filem Diva.”

Fauziah melihat Sharad memiliki cara tersendiri dalam penerbitan filem. Sebagai seorang penerbit juga,  beliau rasa kualiti produksi filem tempatan dapat ditingkatkan dengan melihat teknik yang digunakan oleh pengarah yang lebih berpengalaman. “Jika kita merupakan pelakon di India dan Indonesia, lakonan kita tidak mencapai piawaian yang bagus, dengan mudah sahaja kita akan tenggelam dalam industri yang penuh dengan saingan hebat,” tambah beliau. Bagi Adam pula, pengalaman yang paling menarik apabila babak beliau harus mengangkat Jessisca Iskandar di Sunway Lagoon. “Saya perlu lakukan babak tu sebanyak 10 kali,” kata beliau. “Saya tak pernah lihat selama ini di mana pelakon dan krew begitu komited dengan kerja mereka.”

“Sharad akan melakukan apa yang terlintas difikiran untuk filemnya,” kata Awal. “Jika babak yang dibayangkan memerlukan sebuah kereta sport tapi yang disediakan adalah kereta Proton, beliau tak akan meneruskan pengambaran.”

Penyanyi, pelakon dan juga hos, AC Mizal yang menjadi watak kelakar dalam filem Diva berkata: “Sharad telah membuatkan saya yakin boleh melakukan sesuatu yang lain dari apa sering dilakukan di sini sebelum ini.” AC Mizal akan melancarakan filem produksinya tidak lama lagi. Bagi Top 3 Finalis Gadis Metro 2005, Balkisyh yang hilang 5kg berat badannya hasil dari latihan tarian filem Diva berkata Sharad memiliki strategi sendiri untuk mendapatkan sesuatu dari pelakonnya. “Beliau akan membimbing saya untuk bersedia pada babak seterusnya.” “Dalam Diva, Sharad akan membuka mata pengarah dan penerbit lain untuk melihat kebolehannya.”

Skrip Diva telah disiapkan dalam masa enam bulan setelah 22 draf. Bagi memperhebatkan lagi skrip tersebut, penglibatan komiti pelajar dari Astro Shaw, pengkritik dan penggemar filem juga membantu dalam menghasilkan bahan yang akan diterima oleh penonton di Malaysia, Indonesia mahupun di persada nusantara. Vikram Sood yang merupakan panel skrip terakhir bersama Sharad Sharan juga akan menulis untuk filem Tarantella Pictures seterusnya iaitu sebuah romantik komedi Tipu Kanan…Tipu Kiri. Vikram memiliki pengalaman selama lima tahun menulis untuk sinetron di Indonesia. Sood bukan sahaja berjaya menghasilkan skrip yang menarik malah menghiburkan, emosional dan dramatis. Diva mengisahkan tentang Kartika yang dilakonkan oleh Ning Baizura, telah menyatukan empat anak muda yang menjadikan sebuah kumpulan bergelar Jiwa. Jeremy Thomas yang merupakan pelakon sinetron yang tersohor di Indonesia memainkan watak Arman yang merupakan anak angkat bapa Kartika yang mencintai Kartika semenjak dari kecil lagi.

Filem ini memiliki tujuh buah lagu runut bunyi yang dikompos oleh Mithoon seorang pengarah muzik muda India yang membuat homework dengan mendengar lebih dari 40 CD penyanyi dari Malaysia dan Indonesia termasuk artis seperti Kris Dayanti, Vina Paduwinata, Siti Nurhaliza dan Ning Baizura. Manakala kesemua lirik ditulis oleh penulis lirik tersohor Malaysia iaitu Loloq. Antara lagu-lagu yang dijangka hit untuk filem Diva ialah Bintang Impianku, Nafas dan Hidup, Kasih dan Padamkan Ragu. Walaubagaimanapun, suara Balkisyh dan Jessisca dinyanyikan oleh Nas Adila dan Manik Purwakrishna kerana mereka tiada latar sebagai seorang penyanyi berbanding Adam dan Awal. Lagu tema untuk filem ini yang berjudul Bintang Impianku dinyanyikan oleh Ning Baizura sendiri. Membandingkan pengalaman dan penglibatan beliau dalam filem Diva, Ning harus bekerja rapat dengan Mithoon dan Naresh Sharma bagi mendapatkan hasil yang diinginkan. “Suara saya berada di tahap yang berbeza dan harus diubah secara kreatif bagi menghasilkan Bintang Impianku,” kata Ning.

Sebagai Kartika, Ning berkata, “Saya begitu gembira kerana Kartika dan saya ada banyak persamaan secara peribadi.” “Saya rasa cukup mencabar untuk melakonkan watak beremosi pada peringkat awalnya, tetapi setelah berbincang dan bekerjasama dengan para pelakon dan Sharad akhirnya segalanya dapat diselesaikan.” “Saya rasa risau dengan harapan penonton tapi saya rasa itu perkara biasa,” tambah beliau. Bagi Ning, Kartika ialah seorang wanita yang tabah dan berhati besar. “Saya pernah terfikir bagaimanakah karakternya jika dia benar-benar wujud dan saya juga mendapat ilham dari filem seperti Gone With The Wind, Breakfast at Tiffany’s, The Bodyguard dan filem-filem Meryl Streep.

“Saya pernah menginginkan Kartika menjadi diri Ning yang jarang dilihat oleh peminat; berperwatakan serius, penyayang, mesra dan ramah termasuk juga kesungguhannya yang juga saya miliki,” ujar Ning. Caesar Gonsalves dari Bosco-Caesar India ialah koreografer untuk filem ini pernah terlibat dalam filem seperti Kuch Naa Kaho, Munnabhai MBBS dan pernah melatih bintang Bollywood seperti Aishwarya Rai and Abhishek Bachchan. Beliau membawa seramai 12 penari bersamanya dan mengambil masa selama lapan hari untuk melatih tarian dalam filem Diva. Lagu dan babak tarian adalah sebahagian dari jalan cerita untuk filem ini dan paling mencabar baginya untuk diselaraskan.

Pada mulanya, shot yang utama harus ambil sebelum aksi seterusnya diambil secara dekat dengan berulang-ulang. Babak ini merupakan sesuatu yang cukup mencabar bagi para pelakon yang kali pertama terlibat untuk pembikinan klip video tarian filem. Untuk babak persembahan nyanyian klimaks, mereka mengambil setiap shot sebanyak hampir 800 kali.

“Di India, mereka mengfilemkan adegan nyanyian dan tarian dahulu tetapi pelakon-pelakon Malaysia dan Indonesia tidak biasa dengan keadaan ini,” terang Sharan. “Bagi pelakon-pelakon di sini, selepas mereka melakonkan watak-watak mereka baru mudah untuk mereka memfilemkan adegan nyanyian dan tarian kerana ini memudahkan mereka memahami watak masing-masing dan bukannya dengan cara yang sebaliknya.”

Adam dan Awal memang berdedikasi dalam mempelajari langkah-langkah tarian. Semasa waktu rehat mereka, mereka akan duduk dan memerhatikan penari-penari berlatih. “Mereka memang bekerja keras dalam persembahan dan juga adegan tarian mereka, termasuk dalam memastikan bahawa fesyen rambut berkekalan dari awal sampai akhir dan mereka juga sentiasa menepati masa,” kata Sharad yang percaya bahawa mereka boleh berjaya dalam karier masing-masing. Malah, Sharad percaya Ning berjaya memberikan persembahan yang terbaik setelah beliau faham akan wataknya. Sharad juga yakin watak Kartika adalah watak yang terbaik sepanjang penglibatan beliau dalam filemnya.

Renu sebagai pereka produksi pula telah memberikan gambaran untuk setiap aktor dalam mendapatkan look dan feel yang menarik. Untuk watak Jessisca dan Balkisyh, pertukaran watak dari gadis kampung kepada gadis bandar memerlukan kepakaran Renu dalam memberi hasil yang tepat. Malahan pemilihan warna pakaian juga sentiasa diambil kira. Bagi watak Ning pula, belia mendapat rekaan yang terperinci dalam mendapatkan gambaran watak yang mewah serta glamour. Ning dikehendaki berfikir dan berlagak sebagai seorang Diva bagi mendapatkan gambaran yang diinginkan Renu manakala AC Mizal pula mengenakan pakaian yang ceria dan menarik yang sesuai dengan wataknya. Renu juga harus memastikan segala kelengkapan dan peralatan perhiasan untuk setiap babak bagi menepati citarasa tempat tinggal seorang yang bergelar Diva. Filem yang akan mencipta sejarahnya tersendiri, Diva akan menemui penonton serentak di lima buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapore, Brunei dan India pada penghujung Jun 2007.

Sharad yang telah dianugerahkan oleh Astro Shwa untuk menerbitkan enam filem dalam masa dua tahun bercita-cita untuk membawa industri filem Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. “Kami akan meningkatkan industri tempatan dan membuka peluang untuk mereka bekerja dengan kami,” kata Sharad. “Filem melepasi jurang semua bahasa… jika dilihat filem Gandhi, ianya diarah dan dilakonkan oleh mereka yang bukan dari berbangsa India iaitu Richard Attenborough dan Ben Kingsley.” “Begitulah juga dalam situasi ini, Malaysia harus membuka minda untuk menerima bukan sahaja pengarah tetapi pelakon dan krew luar yang berminat menerbitkan filem di Malaysia.”

“Dalam industri hiburan, kita menjual impian dan bukan reality,” kata Sharad. Beliau berharap industri filem Malaysia perlu maju dan meningkat dalam penghasilan bakat baru, krew produksi, teater, pengedar dan pemasaran. Di India, mereka boleh mendapat pinjaman penuh dari bank manakala penerbit yang terkemuka seperti Subhash Ghai dan Amitabh Bachchan, syarikat mereka tersenarai dalam Bombay Stock Exchange. Dengan sokongan dari Astro Shaw untuk memberi kesedaran kepada industri filem di Malaysia tentang menerbitkan filem untuk persada nusantara dan antarabangsa, Sharad yakin bahawasanya setiap filem dan genre yang berbeza akan tetap diminati kerana di mana dan siapa sahaja akan meminatinya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Diva The Movie, Sebalik Cerita & Plot Filem

Biodata & Profile Pelakon Yang Membintangi Filem DIVA