in , ,

Noraniza Idris Mahu Dedah Status Rumah Fareez

Ratu Lagu Etnik, Noraniza Idris hari ini memohon perintah sementara mahkamah agar meminta pihak bank memberikan informasi tentang pinjaman dan status rumah yang dituntut daripada bekas suaminya, Mohammad Fauzi Ahmad Tajuddin atau Fareez (defendan).

Noraniza (Plaintif) berkata, ini kerana rumah itu adalah 100 peratus atas nama Fareez dan pihak bank tidak dapat memberikan maklumat tersebut kepadanya.

“Untuk semakan status rumah dan pembiayaannya, saya kena minta perintah mahkamah dalam tempoh seminggu ini.

Dia (Fareez) dah jual tapi tak bayar ansuran sejak 2006… jadi saya nak tahu status sama ada telah dilelong atau dijual,”

kata Noraniza ketika ditemui selepas prosiding selesai di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Tuntutan harta sepencarian tersebut melibatkan rumah kediaman di Seksyen 6, sebuah rumah kedai tiga tingkat di Seksyen 1, Wangsa Maju serta barangan salun dan butik yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Namun begitu, Noraniza tidak akan menuntut barangan salun dan butik sekiranya tuntutan rumah itu berjalan lancar. “Jika tidak beres (tuntutan rumah), baru saya tuntutnya (salun dan butik),” katanya.

Mahkamah hari ini sepatutnya merekodkan persetujuan kedua-dua pihak iaitu plaintif dan defendan berhubung dengan tuntutan milik rumah dan bangunan kedai di Wangsa Maju itu.

Bagaimanapun, kes tuntutan harta sepencarian Noraniza terhadap Fareez belum dapat diselesaikan.

Peguambela Noraniza, Zuri Zabidin Budiman memberitahu Hakim Syarie, Mohamad Shakir Abdul Hamid bahawa ini ekoran kedua-dua pihak plaintif dan defendan masih meneliti beberapa butiran seperti cara pembahagian harta dan kaedah pembayaran.

“Pihak kami telah berbincang dengan defendan (Fareez) dan menerusi hasil perbincangan itu, kami mendapati perlu meneliti beberapa perkara.

Dengan itu, saya ingin mohon satu perintah mahkamah mengarahkan pihak bank memberikan informasi kepada plaintif (Noraniza) kerana dia perlu memeriksa pembiayaan (pinjaman) dan status rumah tersebut,”

“Apabila tulis surat kepada bank Maybank cawangan Setapak, tidak ada nama Noraniza (sebagai pemilik rumah tersebut). Oleh itu, pihak bank tidak dapat memberikan maklumat tentang rumah tersebut. Kami tidak ada keputusan hari ini kecuali mendapatkan perintah sementara mahkamah,”

– Zuri Zabidin Budiman

Menurut Zuri, rumah tersebut adalah atas nama pihak defendan Fareez dan hasil perbincangan tersebut antara Fareez dan Noraniza mendapati Fareez telah tidak membayar ansuran rumah tersebut sejak 2006.

Kata Zuri, pihaknya akan menyediakan draf perintah sementara mahkamah itu dalam tempoh masa seminggu ini agar pihak mahkamah dapat mengeluarkan arahan tersebut.

Difahamkan bank tidak boleh mendedahkan maklumat-maklumat pelanggannya kepada pihak ketiga kerana tertakluk dengan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989.

Zuri meminta satu tarikh selepas Hari Raya dan pihak mahkamah telah menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan akhir perekodan persetujuan berhubung tuntutan milik rumah dan kedai tersebut.

Hakim Syarie, Mohamad Shakir berkata, perbicaraan akan disambung semula sekiranya kedua-dua pihak masih gagal mencari jalan penyelesaian pada tarikh tersebut.

Noraniza yang bertudung jingga dan berbaju kurung hitam dengan corak flora hadir seorang diri ke prosiding hari ini. Fareez tidak hadir.

Pada 12 Ogos lalu, Fareez memberitahu mahkamah bahawa dia sanggup memenuhi tuntutan hak milik dua hartanah oleh bekas isterinya itu. Tuntutan sebanyak 50 peratus harta tersebut dibuat ke atas rumah kediaman di Seksyen 6 dan sebuah rumah kedai tingkat di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Dalam perbicaraan itu, secara tiba-tiba Fareez mengumumkan dia sanggup menyerahkan milikan 50 peratus terhadap rumah itu dan 50 peratus lagi terhadap bangunan rumah kedai yang kedua-duanya terletak di Wangsa Maju.

Sehubungan dengan itu, Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid menetapkan 26 Ogos jam 9 pagi di mahkamah yang sama untuk merekodkan persetujuan kedua-dua pihak – plaintif dan defendan – berhubung dengan tuntutan milik rumah dan bangunan kedai di Wangsa Maju itu.

Noraniza berkahwin dengan Fareez, 40, pada 31 Mac 1988 sebelum berpisah pada 7 April 2006 dengan talak satu.

Hasil perkongsian hidup Noraniza dan Fareez yang bernikah pada 31 Mac 1988 mengurniakan Mohammad Aliff Haiqal, 20, dan Mohd. Alfeeq Haiqal, 16. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Video Klip Ku Tak Percaya Cinta Liyana Jasmay

Program Iftar Ramadhan 1430h Anjuran Islamic Outreach ABIM