in

Nisha Dir, Erry Putra dalam Drama Seluhur Hati Ines

KISAH CURANG SEORANG BAPA DALAM DRAMA SELUHUR HATI INES DI TV1

Sejak kecil Ines melihat penderitaan ibunya, Sarina yang terlalu menyintai suami yang tampan tetapi kaki judi dan kaki perempuan. Adnan, tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga malah akan memukul isterinya jika dia tidak berjaya mendapatkan wang seperti diinginkan.

4708400171 79F5Efb29C O | 3

Lantaran kepayahan hidup membuatkan Ines mengambil jalan singkat untuk hidup senang. Dengan pengaruh kawan-kawan, Ines yang jelita saban malam mencari ‘duit senang’ dengan mengikis lelaki-lelaki yang mendambakan cintanya. Ines tidak kenal erti takut walau salah seorang dari kawannya yang bernama Sakinah mati dibunuh oleh seorang lelaki yang tidak puas hati setelah dipermainkan.

Begitu kisah melatari drama Seluhur Hati Ines pada 25 Jun 2010 (Jumaat), jam 10.31 pagi mengisi slot Nurani di TV1 yang bakal memberikan pengajaran berguna buat seorang bapa dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga terutama dalam meraikan sambutan Hari Bapa yang dijayakan wataknya oleh Nisha Dirr, Erry Putra, Ridzuan Hashim, Khaty Azean, Louisa Chong dan Kazaruddin.

Plot kisahnya diteruskan dengan babak setahun berlalu, Ines tidak lagi tinggal dengan keluarganya kerana tidak tahan dengan perangai ayahnya yang asyik meminta wang dan membuat ibu Ines menangis. Kedegilan ibunya yang masih memberi wang pada suami yang kejam itu, membuatkan Ines keluar dari rumah dan tinggal dengan kawannya yang seorang lagi iaitu Agnes. Namun Ines tetap memberi wang pada ibunya untuk perbelanjaan adik-adik Ines yang masih bersekolah.

Ketika itu Ines makin matang didalam selok belok menipu wang ringgit orang lelaki. Saban malam Ines akan keluar temu janji dengan lelaki yang bertukar ganti namun tidak sekali maruahnya tergadai. Ines bijak dan licik untuk melepaskan dirinya dari menjadi teman tidur mana-mana lelaki tetapi wang ringgit tetap berjaya diraihnya dari mereka.

Walau hidup dengan kerja sebegini, Ines menyintai hanya seorang lelaki iaitu Murshid. Murshid yang sebaya Ines berwajah tampan, bergaya tetapi tiada pekerjaan tetap. Murshid amat menyintai Ines dan sedang mengusahakan satu projek dengan seorang kawan. Murshid juga sering putus wang dan mengharapkan bantuan dari Ines.

Agnes mempengaruhi Ines membuat kerja sambilan iaitu menjadi ‘sosial escort’ lelaki-lelaki berduit untuk kemajlis-majlis formal. Bayarannya mewah dan tidak perlu melepak di kelab-kelab untuk mendapatkan wang. Kali pertama Ines membuat kerja tersebut, dia menjadi pasangan Mansoor seorang ahli perniagaan yang berjaya. Kali pertama Mansoor memandang Ines, dia sudah jatuh cinta tetapi Mansoor tidak berani mengorak langkah kerana Ines dianggap terlalu muda untuk dijadikan pasangan hidup. Tambah pula Ines adalah seorang ‘sosial escort’.

Ines gadis muda yang tua sebelum waktunya, mempunyai satu impian iaitu menunaikan amanah arwah Sakinah. Sakinah yang telah tidak diakui anak oleh ibunya Mak Kiah, minta Ines jaga ibunya jika apa-apa berlaku pada dirinya. Pesanan Sakinah sehari sebelum dia mati dibunuh, masih terngiang-ngiang di telinga Ines namun usahanya selama ini untuk membawa Mak Kiah keluar dari rumah kebajikan warga emas, tidak sekali-kali disambut baik oleh Mak Kiah. Akan tetapi Ines tidak pernah berputus asa. Dia sering menjenguk Mak Kiah dengan membawa buah tangan untuk Mak Kiah.

Ines menerima panggilan dari Mansoor yang tidak dapat melupakan Ines sejak pertemuan pertama mereka. Demi wang, Ines keluar dengan Mansoor. Dari makan malam yang pertama, Ines sering keluar dengan Mansoor dan sebuah kehidupan yang lebih mewah dikecapi oleh Ines. Kemewahan ini disalurkan pada keluarga dan juga Murshid yang masih belum menjadi projeknya.

Lalu bagaimanakah kesudahan drama penuh pengajaran buat seisi keluarga ini? Mampukah Ines berdepan dengan ujian hidup yang menyakitkan itu apabila dirinya sekali lagi ditipu Murshid sedangkan pada masa sama dia telah menolak cinta Mansoor yang banyak membantunya?

4709042102 A4B6D5E429 O | 4

4708400401 0845De888F O | 5

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Project Runaway Season 5 di 8TV

Saiful Apek Lari dari Wartawan