in

Muzikal Raya Twist Raya di Aidilfitri TV2

MUZIKAL KHAS ”TWIST RAYA” BAKAL CERIAKAN KANAK-KANAK DI AIDILFITRI  

Syawal ini saluran TV2 pastinya meraikan anak-anak dengan Program Muzikal Khas kanak-Kanak berjudul Twist Raya. Rancangan ini bakal menemui penonton saluran Dunia Ria itu selama 3 episod bermula dari 22 September hingga 24 September 2009 bermula pada jam 10.00 pagi.

Rancangan yang berdurasi selama 30 minit ini akan berkonsepkan sketsa dan muzikal yang pastinya menceriakan kanak-kanak di pagi raya. Seramai lebih dari 10 orang kanak-kanak akan menunjukkan bakat lakonan mereka selain menyanyi dan menari menerusi susunan lagu-lagu raya evergreen yang akan dinyanyikan semula oleh mereka. Justeru itu koleksi lagu-lagu hari raya seperti Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Suasana Hari Raya, Satu Hari di Hari Raya dan banyak lagi susunan lagu-lagu menarik bakal dipersembahkan oleh anak-anak kecil yang sangat berbakat ini. Mereka adalah Dayang Nazillah Awang Astillah, Ahmad Fadzil Masri, Nurul Qudrul Nada, Redzuan Haqiem Rusli dan ramai lagi.

Twist Raya selama 3 episod ini akan mengisahkan tentang Dayang, Nurul dan Fadzil selaku pengacara akan menceritakan tentang nikmat, pengertian dan keseronokan berhari raya selain pengalaman hari raya masing-masing. Dalam pada itu, sketsa hari raya pada episod yang pertama akan membawakan kisah Amir dan Amira bersama keluarga mereka untuk membuat persiapan untuk pulang ke kampung halaman dan membantu datuk dan nenek mereka dalam membuat persiapan hari raya. Kegembiraan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya jelas dilihat pada nyanyian lagu-lagu raya yang disampaikan.

Episod yang kedua pula menampilkan kisah Firdaus bersama ibunya yang menyambut hari raya dalam persiapan serba kekurangan kerana sudah ketiadaan bapa. Namun begitu ibunya menerangkan kepada Firdaus tentang pengertian dan nikmat kemenangan hari raya yang sebenar adalah kepuasan beribadah dan berpuasa di Bulan Ramadhan Al-Mubarak.  

Dalam episod akhir Twist Raya, Amir, Amira dan rakan-rakan mereka telah melawat rumah anak-anak yatim untuk turut sama bermesra dan berkongsi kegembiraan beraya bersama anak-anak yatim di rumah tersebut. Firdaus yang turut serta dalam lawatan itu turut merasa kesedihan yang dialami oleh anak anak yatim ini kerana dia juga sudah kehilangan bapa tersayang. Amir dan Amira menghiburkan mereka  kembali dengan nyanyian lagu-lagu raya disamping membantu dalam persiapan.

Program Muzikal Khas Kanak-Kanak yang disediakan oleh TV2 terbitan NR Network Sdn Bhd sempena Aidilfitri ini diharap dapat meraikan anak-anak kecil setelah mereka penat berpuasa selama sebulan di Bulan Ramadhan. Sudah pasti pagi hari raya mereka akan lebih ceria dengan tontonan episod Twist Raya yang akan menemui penonton raya ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ucapan Salam Aidilfitri Daripada Mie Vokalis CODA

Aidilfitri Dua Negara Di Sinar Lebaran 2009