in ,

Minuman Herba Teh Pracampur Sulur Herba Resource

KEHEBATAN herba tradisional dalam merawat masalah kesihatan yang dialami oleh masyarakat membuatkan Noor Baini Masri, 57, memberanikan diri menceburi perniagaan berorientasikan khazanah alam itu.

Baginya, herba tradisional bukan sahaja memiliki khasiat tersendiri sebaliknya penghasilan produk herba turut berpotensi dalam memacu ekonomi.  Justeru, Noor Baini menerusi syarikatnya, Sulur Herba Resource, telah mengeluarkan minuman teh pracampur menggunakan herba tradisional sebagai ramuan utama.

Namun seiring dengan peredaran zaman, produk-produk berasaskan herba itu telah dimodenkan supaya pengaplikasiannya bersesuaian dengan gaya hidup masyarakat hari ini. Justeru, ia lebih mudah untuk disediakan, tidak pahit dan tidak memiliki aroma herba yang kuat, sesuai cita rasa generasi kini.  

Noor Baini Masri
Khasiat herba tradisional menjadi taruhan Noor Baini dalam membina empayar perniagaan.

“Disebabkan itu, saya memilih untuk menghasilkan Pomegranate & Lemongrass Tea secara komersial.Teh ini dihasilkan menggunakan resipi asli keluarga saya. Sejak bertahun-tahun lamanya, ibu saya menyediakan air halia ini sebagai welcome drink buat para pelanggan yang datang berurut dengannya. Ramai sukakan minuman tersebut dan mengakui keberkesanannya.

“Penyediaan asal minuman ini adalah dalam bentuk cecair dan disejukbeku untuk memelihara keaslian rasanya. Cara ini walaupun mampu membuatkannya tahan lebih lama, tapi ia mengambil masa untuk dicairkan sebelum ia dapat dihidangkan kepada pelanggan.  Jadi, saya modenkan penghasilannya dengan mengolahnya kepada bentuk serbuk yang dipeket secara sachet agar lebih mudah untuk disediakan di samping dapat mengekalkan khasiat serta keaslian rasanya.

“Bagi menambah keenakan dan khasiatnya, saya tambahkan delima sebagai ramuan utama.Teh ini bukan sahaja sesuai dijadikan relaxing tea tetapi turut berkhasiat dalam membantu mencantikkan kulit, mencegah penyakit Alzheimer, mewangikan badan dan membantu menyegarkan tubuh.

“Tidak hanya orang perseorangan sahaja yang menggemari minuman ini, ia juga menjadi pilihan para pengusaha spa yang tertarik dengan khasiat dan keenakan rasanya. Disebabkan itu, saya mendapat banyak permintaan daripada pengusaha spa di seluruh negara yang berminat untuk menyajikan teh pracampur ini sebagai  minuman kepada setiap pelanggan yang mendapatkan rawatan di spa mereka,” jelasnya yang menjual teh ini di pasaran dengan harga RM35 sekotak.

Noor Baini Masri
Ginger Plus+ Tea teh pracampuran dengan teh hitam, kunyit hitam dan halia hitam yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Selain Pomegranate & Lemongrass Tea, Sulur Herba Resource, turut memasarkan minuman kesihatan, Ginger Plus+ Tea yang bersifat zero kalori dan kaya antioksidan.

“Ginger Plus+ Tea merupakan teh pracampuran dengan teh hitam, kunyit hitam dan halia hitam yang sesuai untuk semua peringkat umur serta boleh dinikmati oleh golongan wanita dan lelaki. Amalan meminum teh ini secara konsisten dapat membantu menurunkan berat badan, membantu melancarkan peredaran darah, membantu menstabilkan hormon serta meningkatkan tenaga dan stamina badan. Malah teh ini juga efektif dalam merawat demam dan selesema selain membantu mengurangkan simptom artritis ringan.

“Produk-produk ini telah melalui proses R&D selama setahun bagi memastikan ia benar-benar  menepati piawaian dan standard yang ditetapkan. Kami juga perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa dan mematuhi pelbagai prosedur sebelum memasarkannya seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Saya yakin, minuman berasaskan herba ini mempunyai pasaran dan peminatnya yang tersendiri.Ternyata keyakinan itu benar kerana produk minuman kesihatan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan biarpun baru dua bulan berada di pasaran.

 “Kedua-dua produk ini mula memasuki pasaran pada Januari tahun ini. Biarpun negara melaksanakan PKP, saya manfaatkan keadaan tersebut untuk mempromosikan minuman ini kepada masyarakat. Usaha itu tidak sia-sia kerana ia mula menerima permintaan yang menggalakkan daripada orang ramai dari seluruh negara,” ujarnya yang turut memberi peluang kepada individu yang berminat untuk menjana pendapatan dengan menjadi dropship teh pracampur ini.

Noor Baini Masri
Pomegranate& Lemongrass Tea, relaxing tea yang membantu menyegarkan tubuh, mewangikan badan dan mencantikkan kulit.

INSPIRASI DARI IBU

Bercerita lebih lanjut tentang idea yang membawa kepada penghasilan minuman herba keluaran syarikatnya, Noor Baini menjelaskan idea tersebut bermula daripada ibunya, Sharifah Umi Kelesum Syed Mohd Zain, 81, yang merupakan pengamal perubatan tradisional dan pengurut berdaftar.

“Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan khasiat herba-herba tempatan oleh ibu. Sebagai seorang, tukang urut, sudah menjadi rutin harian ibu untuk mengadunkan herba-herba tersebut untuk dijadikan bahan rawatannya. Dia menyediakan sendiri minuman tradisional, jamu, minyak urut, param dan pilis untuk kegunaan wanita selepas bersalin dan individu yang  menghadapi masalah saraf  bagi mendapatkan khidmatnya.

“Ibu memang pakar dalam menghasilkan produk-produk tersebut kerana sedari kecil lagi, dia telah diajar oleh nenek yang telah membesarkannya tentang cara-cara untuk membuat kesemua produk itu. Menginjak ke alam perkahwinan, ibu berguru pula dengan ibu mertuanya yang turut memiliki kepakaran mengurut dan mahir menghasilkan produk rempah ratus untuk kesihatan wanita.

“Gabungan kedua-dua ilmu ini memantapkan lagi kepakaran ibu dalam menghasilkan produk-produk kesihatan wanita berasaskan resipi warisan keluarga yang berusia hampir 100 tahun. Setiap produk yang dihasilkan memang diakui oleh para pelanggan akan keberkesanannya. Malah kepakaran ibu  telah mendapat pengiktirafan sebagai penerima anugerah Tokoh Srikandi Ibu Perbidanan dari Persatuan Pengamal Urut Terapeutik & Penjagaan Melayu Malaysia (PUTRAM) pada tahun 2017.

“Membesar sebagai anak pengamal perubatan tradisional, membuatkan saya sangat dekat dengan herba-herba ini. Malah saya sendiri turut mengamalkan pengambilannya dalam kehidupan seharian. Dari situ, saya tahu akan khasiat yang ada dalam setiap satu daripada herba tersebut.

“Saya fikir, amat rugi jika segala ilmu dan kepakaran yang ibu miliki dibiarkan berkubur begitu sahaja tanpa dikongsi dengan masyarakat. Jadi, tanpa ragu saya membuatkan keputusan untuk mengkomersialkan dan memodenkan minuman yang ibu hasilkan sehingga lahirnya kedua-dua teh pracampur tersebut.

“Usaha ini juga merupakan cara saya menghargai ibu. Saya cukup kagum dengan semangatnya. Biarpun usianya kini telah pun menjangkau lapan dekad, semangatnya tidak pernah luntur. Ibu sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk herba berkualiti dan memberikan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggannya selaku pengurut berdaftar,” katanya yang nekad untuk meneruskan legasi ibunya dalam memartabatkan khasiat herba dalam kalangan masyarakat.

Noor Baini Masri
Sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat menerusi perniagaan yang diusahakan.

ILMU RELEVAN

Wanita berdarah Jawa dan Arab ini memiliki profil kerjaya yang cukup mengagumkan apabila pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Amanah Perdana Malaysia sebelum bersara awal pada tahun 2018. Namun kedudukan dan kejayaan yang diraih, bukanlah alasan buat Noor  Baini untuk tidak lagi menimba ilmu bagi memantapkan perniagaannya.

Bagi memastikan kelestarian perniagaannya, Noor  Baini, sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan agar ia selari dengan keperluan semasa. Justeru, dia sering memperuntukkan masa untuk mendalami ilmu-ilmu baru dengan menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.

Noor Baini Masri
Noor Baini berharap agar perniagaan yang diusahakan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

 “Kami juga ada memiliki produk-produk lain yang  setiap satu daripadanya memiliki keistimewaan tersendiri. Antaranya, sabun, magic oud lip balm, minyak wangi serta balm ibu dan anak yang diperbuat daripada ekstrak gaharu.  

“Sabun gaharu dihasilkan menggunakan ibu sabun dan berkesan dalam membantu  merawat masalah kulit seperti ekzema. Sabun ini juga dapat melindungi kulit daripada pecah dan kekeringan akibat cuaca panas semasa menunaikan haji dan umrah. Magic oud lip balm pula bersifat long lasting dan ringan serta berupaya  melindungi  bibir daripada mengelupas dan kering.

“Selain itu, kami turut memasarkan beberapa produk lain khusus untuk wanita selepas bersalin seperti param, pilis, batu tungku, tungku bayi, barut bayi dan bengkung ibu memandangkan itu sememangnya forte ibu saya. 

“Perkhidmatan kami tidak terhad kepada itu sahaja.Kami juga menyediakan platform buat individu yang ingin mendapatkan khidmat urutan menerusi home spa, SULUR HERBA BEAUTY SPA & POSTNATAL yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Khidmat urutan ini dikendalikan sendiri oleh ibu saya. Ia tidak terhad kepada wanita selepas bersalin sahaja bahkan sesuai buat mereka mahu membelai tubuh ataupun golongan mempunyai masalah saraf seperti terseliuh ,” jelasnya yang  turut gigih mempelajari kaedah pemasaran produk di media sosial seperti Instagram dan Facebook selain platform e-dagang. 

Noor Baini Masri
Di sisi ibu, Sharifah Umi Kelesom yang menjadi insprirasi buatnya dalam memartabatkan khasiat herba tradisional.

Sebagai wanita berkerjaya, sokongan keluarga amat diperlukan Noor  Baini bagi memastikan kejayaan perniagaan seiring dengan kebahagiaan keluarga.Justeru, wanita ini bertuah kerana suami dan ketiga-tiga anaknya sentiasa memberikan sokongan untuknya melakar kejayaan dalam bidang perniagaan.

Noor Baini Masri
Sokongan suami dan anak-anak menjadi kekuatan Noor Baini untuk berjaya dalam perniagaan.

 “Alhamdulillah, anak-anak saya banyak membantu dalam menjalankan perniagaan ini. Dengan kelulusan dan kemahiran yang mereka dalam bidang sains komputer multimedia, videografi, fotografi, rekaan grafik serta pengurusan pelancongan dan perniagaan, mereka membantu menguruskan perniagaan ini dengan melakukan rekaan  grafik, video, pembinaan website syarikat dan promosi secara dalam talian,” ujarnya pernah berkhidmat di akhbar arus perdana selama 29 tahun dengan jawatan terakhirnya sebagai Penolong Ketua Unit Fotografi pada tahun 2013.

Individu yang ingin menikmati khasiat produk-produk keluaran Sulur Herba Resource bolehlah berbuat demikian melalui pautan Sulur Herba HQ di platform e-dagang Shopee.

Manakala mereka yang ingin mendapatkan khidmat spa dan urutan pula boleh membuat temu janji dengan menghubungi talian 011-3019 2711 atau 019-282 3211.

Noor Baini Masri
Pomegranate& Lemongrass Tea, relaxing tea yang membantu menyegarkan tubuh, mewangikan badan dan mencantikkan kulit.

What do you think?

43 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Ernie Zakri Tak Sangka Dah Bersuami Sebelum Usia 30 Tahun

Sophia Zuhri Bakal Ikut Jejak Langkah Yuna & Zee Avie Di Persada Seni Antarabangsa