in , ,

Meerqeen. Siti Khadijah & Anna Jobling Dalam Drama ‘ASH & AISH’

Genre Fantasi Romantik Jadi Pertaruhan Astro Ria Menerusi ‘ASH & AISH’

Astro Ria ingin membawa imiginasi para peminat dramanya menerusi pertaruhan drama terbaharunya, ‘Ash & Aish’ yang berunsurkan genre fantasi romantik. Genre unik yang jarang menjadi nadi untuk mana-mana drama yang sedia ada pasti akan mengujakan peminat-peminat drama tegarnya terutamanya dengan naratif pencintaan di antara dua alam yang berbeza.

Penceritaan menerusi 28 episod ini berkisarkan Aisha (Aish), seorang gadis kampung yang membawa diri ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baharu selepas dia sering dibuli oleh ibu dan bapa saudaranya yang mahukan harta keluarga selepas Aish  kehilangan kedua ibu bapanya dalam sebuah kemalangan. Hidup sebatang kera di kota raya, Aish bertemu dengan seorang lelaki misteri bernama Ashrafi (Ash) yang sering membantunya ketika dia memerlukan.

Pertemuan demi pertemuan membuatkan Ash mengambil keputusan untuk mengahwini Aish, sungguh pun Aish hanya bergurau apabila dia menawarkan diri untuk menjadi isteri kepada Ash. Sebaik sahaja mereka mendirikan rumah tangga, Ash terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan dia berada dalam keadaan koma.

Ketika melawat Ash di hospital, Aish yang mempunyai kelebihan melihat roh manusia itu terkejut apabila bertemu dengan roh suaminya yang sedang koma dan disitulah mulanya bibit-bibit percintaan mereka berputik apabila mereka mula mengenali hati masing-masing dengan lebih mendalam. Namun adakah Ash akan mengingati kisah cinta mereka setelah dia kembali sedar?

Meerqeen &Amp; Anna Jobling Bertemu Lagi Dalam Drama ‘Ash &Amp; Aish’

Siri percintaan fantasi yang dinanti-nantikan ini menampilkan selebriti-selebriti popular terbitan rancangan realiti pencarian bakat yang sedang hangat diperkatakan seperti Meerqeen, Siti Khadijah Halim, Nadhir Nasar dan Anna Jobling sebagai pemain-pemain utamanya. 

Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini juga diarahkan oleh sutradara terkenal, Helmi Yusof serta didukung oleh barisan pelakon hebat seperti Norreen Iman, Harissa Adlynn, Asha Merican, Idzham Ismail, Nada Syuhada, Arash Mohd serta Zarina Zainuddin dan penampilan istimewa Dato’ Rosyam Noor. 

‘Ash & Aish’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam mulai 10 Ogos 2022 secara eksklusif di slot MegaDrama melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.

“Sebagai peneraju utama kandungan hiburan Melayu, kami seringkali mencabar landskap hiburan dengan membawa pembaharuan kepada penceritaan drama-drama kami sambil mengekalkan keterujaan serta kehangatan genre-genre yang digemari ramai. Astro Ria sekali lagi mengangkat penceritaan romantik yang dramatis dengan mengetengahkan plot-plot fantasi yang bakal menarik minat dan perhatian ramai menerusi drama terbaharu kami, ‘Ash & Aish’.

‘Ash & Aish’ merupakan drama yang paling dinanti-nantikan peminat walaupun masih belum ditayangkan di kaca televisyen. Gandingan baharu Meerqeen dan Siti Khadijah Halim dalam drama ini berjaya meraih reaksi yang positif daripada peminat yang tidak sabar untuk melihat keserasian mereka sebagai sebuah pasangan. Sukses yang dibawa mereka bermula daripada penglibatan masing-masing menyertai program realiti pencarian bakat menyemarakkan lagi penceritaan drama ini. Bukan mereka sahaja, tetapi barisan pelakon ini turut disertai Nadhir Nasar dan Anna Jobling yang mempunyai latar belakang yang sama ketika memulakan kareer mereka. Wajah-wajah pelakon yang mendapat perhatian ramai ini mampu membawa peminat-peminat baharu untuk menikmati sajian terbaik di platform kami. Apakah reaksi peminat terhadap kelainan ini? Para penonton mesti tidak sabar untuk menantikan penyiarannya.

Dari segi naratifnya pula, kami membawa kisah percintaan yang berbeza. Walaupun ia merupakan sebuah fantasi namun kelainan ini mampu menarik minat mereka yang inginkan sesuatu yang baharu. Kami percaya genre sebegini mampu menggerakkan emosi para penonton yang inginkan kelainan dalam pengalaman tontonan mereka. Pastinya drama-drama yang ada di pasaran jarang sekali menggunakan genre seperti ini.

Sentuhan hebat sutradara Helmi Yusof kali ini membantu drama ‘Ash & Aish’ untuk menjadi lebih menarik. Ternyata hasil arahannya itu telah memberi keyakinan kepada para pelakon serta krew untuk memberikan yang terbaik kepada pembikinan drama ini. Menerusi penceritaan yang diilhamkan Helmi, dia menunjukkan dua sisi kisah percintaan antara Ash dan Aish yang berada di dua alam yang berlainan. Kecekapan dan kreativiti yang diperlukan untuk menjayakan watak Ash & Aish ini adalah sangat bermakna dalam memastikan penceritaan mereka ini menjadi. Para penonton pasti meminati kisah percintaan fantasi yang ingin disampaikan ini.

Dengan kombinasi gandingan baharu di antara Meerqeen dan Siti Khadijah, penerapan genre berbeza iaitu fantasi romantik serta penggunaan khidmat pengarah berkaliber tinggi, kami berharap drama ‘Ash & Aish’ boleh menarik minat segmen penonton baharu iaitu golongan muda yang meminati drama-drama seperti K-drama dan Hollywood ke platform kami. Apa yang kami tonjolkan kali ini mempunyai naratif yang digunakan oleh produksi-produksi antarabangsa. 

Kami berharap agar drama ini diterima dengan sepenuhnya oleh para pelanggan dan peminat-peminat drama. Kelainan penceritaan yang menjadi paparan kali ini mampu mencipta fan base di kalangan para pelanggan dalam mengikuti perjalanan watak-watak yang ada sehingga ke akhir episod dengan penuh setia.” Idlan Zahari – Pengurus Saluran Astro Ria

“Pembikinan drama ini merupakan sesuatu karya yang saya sangat suka lakukan. Bagi saya, sesebuah penceritaan yang bergenre love story adalah biasa dan sudah terlalu banyak di luar sana. Walau bagaimanapun, drama ini mempunyai kelainan apabila cinta yang digambarkan berlaku di dalam dua dunia yang berbeza.

‘Ash & Aish’ pada awalnya membawa cinta dalam bentuk jasad manusia yang biasa. Kemudian ia berkembang ketika Ash sudah menjadi roh dan Aish boleh lihat roh tersebut. Heroin di dalam drama ini jatuh cinta dengan heronya yang sudah menjadi roh. 

Antara perkara yang saya amat bangga dengan drama kali ini adalah barisan pelakon-pelakonnya. Walaupun mereka merupakan pelakon yang baharu dan sedang meningkat naik, setiap daripada mereka telah memberikan yang terbaik dan menunjukkan chemistry yang bagus. Ada daripada mereka yang sudah kenal antara satu sama lain seperti Meerqeen dan Nadhir Nasar yang dua-duanya pernah terlibat dalam satu program yang sama. Watak hero dan heroin drama ini mengambil sedikit masa untuk membina keserasian mereka pada awal-awalnya tetapi chemistry mereka menjadi kuat selepas seminggu menghadiri penggambaran bersama. Saya cukup puas hati dengan apa yang mereka telah berikan dalam drama ini. 

Saya turut bersyukur kerana bakat-bakat yang saya dapat dalam projek ini merupakan bakat-bakat yang boleh dididik dan saya pasti mereka akan menjadi wajah yang akan menghiasi televisyen dan panggung wayang pada masa akan datang dengan memeriahkan serta mewarnai industri lakonan. Mereka semua berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. 

Dari segi cabaran, tiada yang terlalu berat namun penggunaan CGI untuk babak-babak roh yang dimainkan oleh Meerqeen sebagai Ash mengambil masa yang lama kerana dia perlu bertukar-tukar menggunakan dua pakaian. Teknik untuk shooting babak-babak CGI ini juga mengambil masa untuk mendapatkan hasil yang cantik. Penggambaran drama ini dilakukan pada waktu PKP di mana sesetengah tempat yang kami inginkan tidak boleh digunakan. Cabaran dari segi penjadualan itu memang ada kerana ketika keadaan Covid-19 ini limitasi perlu dijaga dan setiap krew dan pelakon perlu berdisiplin dengan SOP yang ditetapkan. Perkara yang tidak disangka berlaku adalah apabila Meerqeen dijangkiti wabak ini ketika penggambaran.

Terdapat beberapa pengajaran dan moral yang diketengahkan menerusi drama ini. Antaranya, cinta tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Apabila seseorang lelaki jatuh cinta, dia tidak akan berubah walaupun dengan desakan keluarga ataupun kewangan. It’s true love. Itu yang saya gambarkan daripada watak heronya. Terdapat banyak penyelitan pengajaran moral termasuk hasad dengki dalam hubungan kekeluargaan yang boleh membawa porak-peranda kepada sesebuah keluarga.

Saya berharap drama ini akan menarik perhatian setiap penonton yang gemarkan fantasy love story. Kelainan yang dibawa dalam penceritaannya sangat menarik dan ia merupakan sesuatu yang boleh memberi pelbagai perasaan kepada para penonton. Saya yakin barisan pelakon yang ada dalam drama ini mampu menjadi rebutan setiap penonton dengan kehebatan-kehebatan mereka. Yang pasti, para penonton akan sukakan duo baharu antara Meerqeen dan Siti Khadijah ini kerana gandingan mereka memang menjadi.”Helmi Yusof – Pengarah Drama ‘Ash & Aish’

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘ASH & AISH’

Penggambaran drama ‘Ash & Aish’ mengambil durasi selama 84 hari di sekitar Lembanh Klang dan Melaka. 

Drama ini merangkumi barisan pelakon muda yang sedang menaik termasuk Merqeen, Siti Khadijah Halim, Nadhir Nasar dan Anna Jobling. 

‘Ash & Aish’ merupakan gandingan pertama Merqeen dan Nadhir Nasar selepas menyertai Hero Remaja 2019/2020. 

Gandingan hangat Merqeen dan Anna Jobling sekali lagi akan ditunjukkan menerusi drama ini.

Penggambaran drama ini dilakukan pada tahun 2021 dan ini merupakan drama pertama Merqeen sebagai hero.  

Drama ini disertai penampilan khas oleh Dato’ Rosyam Noor sebagai watak Aziz Irfan. 

Penceritaannya berkaitan seorang gadis yang mempunyai keupayaan istimewa untuk  melihat roh manusia yang sedang koma.

PECAHAN WATAK DRAMA ‘ASH & AISH’

Ashrafi/Ash: Merqeen

Siti Khadijah Halim: Aisha/Aish

Izhan: Nadhir Nasar

Paksu Anwar: Idzham Ismail

Maksu Jiha: Nada Syuhada

Izma: Asha Merican

Dalila: Anna Jobling

Kak Wati: Norreen Iman

Assad : Andy Teh

LOGLINE DRAMA ‘ASH & AISH’

Aisha (Aish) kehilangan keluarganya dalam satu kemalangan dan dia hampir dirogol oleh bapa saudaranya sendiri kerana tamak dengan harta tinggalan keluarga. Aish bertemu dengan Ashrafi (Ash), seorang pemuda misteri yang sering membantunya di Kuala Lumpur. Apabila Ash berada dalam keadaan koma, Aish terkejut kerana dia dapat melihat roh lelaki tersebut.

SINOPSIS DRAMA ‘ASH & AISH’

‘Ash & Aish’ mengisahkan tentang seorang gadis kampung yang tabah bernama Aisha. Aisha atau Aish,  kehilangan keluarganya dalam satu kemalangan. Oleh sebab itu, dia pernah hampir dicabul oleh bapa saudaranya sendiri kerana mahukan harta keluarga. Aish melarikan diri ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baharu. 

Ketika sedang bekerja di sebuah kedai serbaneka, Aish bertemu dengan Ashrafi (Ash), seorang lelaki misteri yang sering membeli lolipop dan makanan kucing di kedai tersebut. Selepas mengetahui tentang Aish yang menghadapi kesempitan hidup untuk menyara diri di kota raya, Ash mempelawa Aish untuk bekerja di kafe miliknya sendiri. Pekerja-pekerja di kafe Ash iaitu Sanctuary Café mempunyai kisah hitam masing-masing. Mereka diberi peluang oleh Ash untuk membina kehidupan yang baharu sebagai pekerja di kafenya. Aish yang turut mempunyai impian yang sama seperti pekerja-pekerja yang lain terus menerima tawaran Ash.

Ash sering membantu Aish untuk menyesuaikan diri di Kuala Lumpur. Pada suatu hari, Aish menawarkan diri untuk menjadi isteri Ash sebagai gurauan supaya dia tidak perlu membantunya lagi untuk mencari tempat tinggal. Namun guaraun itu diambil serius oleh Ash dan mereka akhirnya disatukan menjadi suami isteri. Perkahwinan mereka pada awalnya agak kekok namun bibit-bibit percintaan kian berputik apabila Ash sering mengambil berat tentang Aish. Malangnya Ash ditimpa kemalangan dan berada dalam keadaan koma. 

Sewaktu berada di hospital, Aish terkejut apabila dia boleh melihat Ash bangun dan bercakap seperti biasa. Namun apa yang dilihat ternyata hanyalah roh Ash sahaja. Keupayaan istimewa Aish yang boleh melihat roh manusia kembali setelah beberapa tahun terhenti. Oleh sebab itu, Ash bertekad untuk meminta Aish menolongnya sedar daripada koma. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Syamsul Yusof | 14

Filem MAT KILAU Akan Hadir Secara Rasmi ke Netflix pada Hari Malaysia

Portal Featured 3 | 15

Kongsi Interpretasi Lebih Matang, Here Comes July Tampil Dengan SINARKU