in , , ,

MC Syze Bergabung dengan Joe Flizzow dalam Single Berjudul SELAMBA

Setelah 16 tahun muncul menjadi artis rakaman dalam landskap muzik Malaysia, MC SYZE yang merupakan penyanyi rap, penghibur, produser dan penyumbang suara di radio akhirnya memutuskan untuk memulakan babak baru dalam kariernya.

SYZE turut berhasrat untuk memanfaatkan pengetahuan serta ilmu yang diperoleh sepanjang berada dalam kancah ‘scene urban’ dengan menubuhkan label miliknya sendiri yang dinamakan Trigger Happy Records.

Projek perdana yang muncul dari ‘hiatus industri’ ini merupakan album penuh milik Syze yang diberi judul Syze Does Matter dan mengandungi 13 buah lagu keseluruhannya. 

MC Syze

Single utama dari album rakaman ini merupakan ATCL (A Thing Called Love) yang didebut pada 9 Julai 2020 dan telah mengumpulkan lebih dari 130,000 pendengar di hampir 50 negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Switzerland, Singapura dan tentu saja, Malaysia.

Single yang merupakan lagu di trek ke tujuh album ini , Selamba menampilkan ikon hip-hop tempatan serta presiden DefJam Asia Tenggara – Joe Flizzow. Lagu Selamba telah berjaya memenangi peminat dan pengkritik serta sedang dalam perjalanan untuk menjadi salah satu tonggak budaya dalam Muzik Malaysia. 

Muzik video yang akan ditayangkan secara perdana hari ini telah diarahkan oleh ATG yang sedang membina gelombang di industri tempatan dengan menyalurkan visual dan hasil kerja kreatif untuk artis-artis seperti Zamaera dan Luqman Podolski. Muzik video berdurasi 5 minit 10 saat ini akan ditayangkan pada pukul 10 malam di laman YouTube MC SYZE.  Turut menampilkan Sonaone, Darren Ashley, Orumari dan Azique Beats, semestinya muzik video berkonsep filem pendek ini tidak patut dilepaskan untuk menjadi tontonan masyarakat. 

Single dengan judul SELAMBA merupakan taruhan utama seterusnya  MC SYZE. Selamba dalam konotasi Bahasa Melayu mempunyai pelbagai maksud dan ia bergantung kepada bagaimana seseorang menggunakan perkataan itu dalam konteks masing-masing. Bagi Syze, Selamba bermaksud santai, tenang dan fokus.

Dengan menjadi selamba, Syze berjaya mengatasi halangan dan mencapai kemajuan positif dalam kariernya. Syze juga berhasrat untuk mendorong masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan pola fikir Selamba ini kerana dengan hanya menjadi Selamba, seseorang dapat membuat keputusan yang lebih bijak untuk tahun 2021 dengan lebih progresif kerana 2020 merupakan tahun yang penuh tekanan buat semua.

MC Syze

Menurut Syze, dia berbesar hati memilih Joe untuk menjadi penyanyi undangan istimewa dalam lagu ini kerana perkataan selamba itu sangat menepati karakter Joe Flizzow. 

“Saya membesar dengan mengikuti dan mendengar lagu-lagu Too Phat. Joe merupakan seorang ikon dalam industri malah idola ramai orang termasuk saya. Segalanya tentang Joe merangkumi perkataan selamba dan memang kena betul dengan karakternya. Cara Joe menulis juga tidak terlalu ‘complicated’ atau sukar. Senang untuk pendengar dan masyarakat hadam dan menyanyikan semula. Joe merupakan mentor yang hebat untuk saya dari tahun 2004 hingga sekarang,” ujar Syze mengenai kolaborasi menarik ini.  

Sebagai infomasi, Syze pernah tampil dalam siri cypher Joe Flizzow – 16 Baris.

Pendengar radio arus perdana turut mengingati kejayaannya melalui lagu, Dancin’ yang melonjak dan trek malar segar satu ketika dulu. 

Menurut Joe Flizzow pula lagu Selamba dianggap sebagai sebuah penawar atau remedi untuk tahun 2020 yang dianggap memberi dugaan serta tamparan hebat untuk semua masyarakat.

“Menurut saya, pada akhirnya sesebuah lagu kena sedap, tidak kiralah dengan siapa kita nyanyikan. Kekuatan lagu ini terletak pada melodi dan merupakan sesuatu yang segar untuk industri muzik. Lagu ini mempunyai elemen RnB dan rap. Boleh saya katakan bahawa genre RnB sudah semakin kurang di Malaysia. Dan lagu ini memang sesuatu,” ulas Joe tentang lagu Selamba. 

Tambah mereka berdua berselang seli,”Ini merupakan kombinasi yang sesuai dan lagu ini senang didengar. Sebuah lagu yang ceria untuk mengakhiri tahun 2020 dan menjadi pembuka yang baik untuk 2021. Muzik selalu menjadi penawar untuk banyak perkara. Selamba, kami rasakan satu penawar yang hebat untuk mengakhiri 2020.”

Seorang penghibur yang mantap, Syze turut membina portfolio tersendiri di Malaysia dengan kehadirannya di pentas berprestij. Syze muncul sebagai artis pembuka untuk Kanye West (Amerika Syarikat) di Kuala Lumpur, Missy Elliot (Amerika Syarikat) di Genting Highlands, Nas (Amerika Syarikat) di Bangkok, The Roots (Amerika Syarikat)) di Bukit Kiara dan banyak penghibur Hip-Hop antarabangsa lain sepanjang kariernya selama 16 tahun. Bahkan Syze pernah tampil di penjara keamanan di Jakarta, Indonesia yang disebut Cipinang Penitentiary Institution dalam pertunjukan Hip-Hop anti-dadah pertama yang mempamerkan penghibur dari seluruh Asia Tenggara.

Syze bersama DJ Biggie dan rapper dan $hiv menghasilkan lagu Harimau Malaya (Black and Yellow Remix) untuk pasukan bola sepak Malaysia yang masih mendapat tayangan di radio nasional setiap kali pasukan bola sepak Malaysia muncul sebagai pemenang.

Untuk turut merangkumi daya tarik berbentuk pelbagai budaya melalui Syze Does Matter, album ini juga memaparkan nama besar dalam industri Tamil tempatan – Psychomantra. Lagu yang diberi judul Salasalapu menangani masalah sosial dan memberi fokus terhadap  penyebaran naratif positif dan akan mempunyai video animasi sepenuhnya oleh Kensmen Film Squad yang berpangkalan di Chennai, India.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

WhatsApp untuk Komputer Bakal Ada Fungsi Panggilan & Panggilan Video!

Spesifikasi Penuh Galaxy S21 Ultra Tertiris, Cipset Exynos 2100 Dengan Sokongan S Pen