in

Maxis Telco Pertama Mengaktifkan 4G LTE Bagi Peranti Apple

[dropcap]K[/dropcap]etahui berapa pantas iPhone 5, iPad mini dan iPad 4 anda boleh berfungsi dengan rangkaian 4G yang terbesar di negara! Maxis Berhad (Maxis), satu-satunya perkhidmatan komunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, hari ini mengumumkan bahawa pelanggan yang menggunakan iPhone 5, serta iPad mini dan iPad 4 kini boleh menikmati internet yang pantas melalui rangkaian 4G LTE Maxis.

maxis iphone5

Ketiga-tiga peranti Apple ini, termasuk Nokia Lumia 920 dan HTC One XL, adalah antara telefon pintar yang pertama diaktifkan pada rangkaian 4G LTE Maxis.

[pullquote align=”right”]Pelanggan baru dan sedia ada Maxis yang menggunakan iPhone 5, iPad mini dan iPad 4 kini boleh menikmati internet yang pantas melalui rangkaian 4G LTE Maxis[/pullquote]

Suren J Amarasekera, Ketua Pegawai Operasi Bersama Maxis, berkata:

“Pada tahun 2009, Maxis meneraju pasaran dengan memperkenalkan iPhone ke Malaysia dan kini Maxis berbangga untuk mengumumkan bahawa pengguna Maxis untuk Apple iPhone 5, iPad generasi keempat dengan paparan Retina dan model iPad mini Wi-Fi + selular akan menjadi yang pertama di Malaysia untuk mengalami perkhidmatan yang unggul pada rangkaian 4G LTE berkelajuan tinggi Maxis. Kami percaya bahawa pelan-pelan kami menawarkan nilai yang menarik kepada pengguna Apple kami dan akan memberi mereka peluang untuk mendapatkan yang terbaik daripada ciri-ciri peranti Apple yang menakjubkan. Kami yakin bahawa pelanggan Apple kami akan teruja dengan pengalaman yang sangat baik dengan rangkaian 4G LTE Maxis.”

Mark Dioguardi, Ketua Pegawai Operasi Bersama Maxis, menambah:

“Sejak pelancaran rangkaian 4G LTE berkelajuan tinggi kami pada 1 Januari 2013, kami telah bekerja keras untuk memperluaskan jejak kami. Pada masa ini, kami telah berjaya memperluaskan liputan 4G LTE kami sebanyak empat kali ganda, membolehkan kira-kira 100,000 pelanggan untuk menikmati internet lebih pantas dari Maxis. Dengan pengumuman hari ini, lebih ramai pelanggan akan dapat menikmati kelajuan internet luar biasa dari Maxis.

“Kami telah mendapat maklum balas yang sangat menggalakkan untuk perkhidmatan 4G LTE kami dan akan memperluaskan liputan 4G LTE ke lebih lagi kawasan di Lembah Klang serta Pulau Pinang dan Johor Bahru menjelang suku ketiga tahun 2013.”

Dengan 4G LTE, pelanggan yang menggunakan iPhone 5, iPad mini dan iPad 4 kini boleh menikmati kelajuan muat turun lima hingga sepuluh kali lebih pantas daripada 3G, membolehkan mereka memuat naik gambar dan video sepuluh kali lebih pantas dan menikmati masa tindak balas yang lebih pantas apabila mereka menggunakan aplikasi kegemaran mereka seperti Facebook dan YouTube.

[pullquote]Maxis memperluaskan jejak 4G LTE sebanyak empat kali ganda, membolehkan lebih 100,000 pelanggan menikmati perkhidmatan internet yang pantas[/pullquote]

Suapan berita (news feeds) Facebook pelanggan juga akan dimuat turun sehingga empat kali lebih pantas, berbanding dengan HSPA+. Penyandaran (backing up) atau memuat naik fail besar – sebagai contoh lebih daripada 50MB – ke Dropbox akan menjadi sehingga tujuh kali lebih pantas.

[pullquote align=”right”]Maxis jangka memperluaskan liputan 4G LTE di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor Bahru menjelang suku ketiga 2013[/pullquote]

Berikutan pengaktifan 4G LTE bagi iPhone 5, pelanggan iPhone 5 yang melanggan pelan iValue Maxis serta pelan data 1 GB ke atas akan menerima SMS yang meminta mereka mengemaskini tetapan pada peranti masing-masing. Apabila pelanggan berbuat demikian, mereka secara automatik akan dapat mengalami kelajuan 4G LTE di kawasan liputan 4G LTE Maxis. Di kawasan-kawasan di mana tidak terdapat perkhidmatan 4G LTE, peranti akan kembali ke rangkaian 3G Maxis secara automatik dan lancar.

Esok, Budiey akan ke Maxis untuk buat liputan tentang laman web Maxis yang akan dibuat perubahan. Bagus jugak tu revamped!

Maxis kini menyediakan perkhidmatan 4G LTE untuk kawasan-kawasan berikut:

• Bangsar, Mont Kiara, Desa Park, Damansara Heights
• Cyberjaya
• Damansara Utama
• Kota Damansara, Sunway Damansara
• Puchong (Wawasan Puchong, Bandar Kinrara 1, Bandar Kinrara 3, Bandar Kinrara 4, Bandar Puteri)
• Seapark, Dataran Prima, Tropicana
• Petaling Jaya Section 13, 14, 17, 19, SS2
• Sunway, Kampung Tunku, SS2, SS3
• Taman Desa, Pantai Dalam, Old Klang Road
• Taman Gembira, Desa Petaling
• Taman Kinrara 2, Taman Kinrara 3, Taman Kinrara 4
• Taman Megah (SS23, SS24, SS26), Kelana Jaya
• Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Bandar Utama, Mutiara Damansara
• USJ3, USJ4, USJ5, USJ9, USJ11, USJ12, USJ13.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.maxis.com.my/4GLTE.

1. Evolusi Jangka Panjang (Long Term Evolution – LTE), juga dikenali sebagai 4G LTE, adalah satu standard untuk komunikasi wayarles data kelajuan tinggi. LTE adalah rangkaian generasi akan datang di luar 3G, dengan kapasiti yang lebih tinggi dan kelajuan wayarles untuk memenuhi permintaan untuk sambungan kelajuan tinggi, dan keupayaan untuk memuat naik dan memuat turun fail-fail data yang besar. LTE adalah yang paling cepat, dan lebih penting lagi, satu-satunya standard 4G global yang memastikan bahawa ekosistem yang kaya jalur lebar, mudah alih dan peranti tablet boleh didapati.

2. Perkhidmatan Maxis 4G LTE kini boleh didapati di kawasan-kawasan terpilih di Lembah Klang termasuk Taman Tun Dr Ismail, Damansara Utama, Desa Sri Hartamas, Bandar Puchong Jaya, Bandar Sunway dan Cyberjaya.

3. Perkhidmatan 4G LTE Maxis menawarkan kelajuan muat turun 5-10 kali lebih pantas daripada 3G dan berjalan lancar dengan rangkaian 3G HSPA+ sedia ada. Rangkaian 3G / HSPA+ Maxis sudah menawarkan kelajuan sehingga 21Mbps dan 81% liputan penduduk dari 5,200 tapak, manakala rangkaian pembawa duaan HSPA+ mempunyai 3,500 tapak merentasi bandar-bandar utama di seluruh negara dan menyokong kelajuan sehingga 42Mbps. Ini bermakna para pelanggan boleh terus menikmati peranti 4G LTE mereka walaupun apabila berada di luar kawasan 4G LTE.

Mengenai Maxis Berhad

Maxis Berhad adalah peneraju dalam penyediaan perkhidmatan komunikasi bersepadu di Malaysia dengan jumlah hasil sebanyak RM8.9 bilion pada tahun 2012 dan kira-kira 14 juta pelanggan. Sebagai salah satu daripada jenama tempatan yang paling dikagumi di Malaysia, Maxis telah berkembang dari sebuah syarikat pengendali mudah alih yang terulung kepada sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang memperkayakan kehidupan pelanggannya, sama ada di rumah, di tempat kerja atau ketika bergerak: mudah alih dan suara tetap, mesej, internet mudah alih, jalur lebar berkelajuan tinggi tanpa wayar dan berwayar, dan kandungan dan aplikasi pelbagai skrin – sama ada ianya hiburan, pendidikan, keselamatan atau pengkomputeran awan – melalui rangkaian mudah alih, tetap dan satelit. Maxis merupakan syarikat pertama yang mengkomersilkan perkhidmatan mudah alih 3G di Malaysia dan memiliki rangkaian mudah alih terluas dengan liputan 2G sebanyak 95% dan liputan 3G berkelajuan tinggi sebanyak 81% di seluruh negara.

Usaha Maxis dalam membawa inovasi, memastikan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan memberi nilai kepada pihak berkepentingan telah membolehkan Syarikat memperoleh pelbagai anugerah termasuk tersenarai sebagai syarikat 5 Teratas bagi Anugerah Pengendali Global Terbaik oleh Anugerah Komunikasi Dunia pada tahun 2010 dan Pengurusan Syarikat Terbaik, Majikan Terbaik Asia serta Anugerah ‘Putra Brand of the Year’ pada tahun 2011 dan 20 anugerah untuk kecemerlangan pusat hubungan di Anugerah Kecemerlangan CCAM ke-13. Komited untuk menyumbang kepada masyarakat di mana Syarikat beroperasi, usaha Tanggungjawab Korporat Maxis memfokus kepada menghasilkan ‘Impak Positif’, memanfaatkan teknologi canggih bagi mencipta nilai untuk ekonomi, masyarakat dan alam sekitar. Untuk maklumat lanjut, sila layari: maxis.com.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zon Ceria Suria Fm Gegar Restoran

Sinopsis Telemovie Yassin Terakhir Lakonan Watie Elite