in ,

Maxis Perkenal Blackberry Playbook di Malaysia

MAXIS MEMPERKENALKAN BLACKBERRY PLAYBOOK KEPADA PELANGGAN DI MALAYSIA
Pelanggan boleh mendapatkan BlackBerry PlayBook digabungkan bersama Pelan Perkhidmatan Internet BlackBerry (BIS) untuk telefon pintar BlackBerry mereka serendah RM990

Para pelanggan Maxis akan berupaya menikmati peranti tablet ultra-mudah alih pertama di Malaysia berikutan pelancaran BlackBerry® PlayBook™. Maxis Berhad (‘Maxis’), peneraju penyedia telekomunikasi bersepadu Malaysia, telah melancarkan tablet tersebut di sebuah majlis eksklusif yang berlatarkan pemandangan Kuala Lumpur di The View di Aras 29, G Tower. Acara eksklusif itu menyaksikan seramai 300 ahli-ahli media dan juga para pelanggan berkumpul bersempena satu malam yang bertemakan peranti-peranti terbaru, makan malam, tarian serta cabutan bertuah. Sebanyak 20 tetamu bertuah turut membawa pulang pelbagai peranti dari BlackBerry.

Photo 1

Jean-Pascal Van Overbeke, Ketua Pegawai Operasi Maxis berkata, “Maxis sentiasa giat dalam membawa masa depan kepada pelanggan kami; dan menghiburkan mereka dengan pelbagai pengalaman komunikasi yang mantap. Kami telah melabur ke arah pembinaan satu ekosistem yang memenuhi keperluan komunikasi mereka – dengan membekalkan mereka dengan peranti-peranti, pelan, liputan rangkaian dan perkhidmatan pelanggan yang terbaik. Kami amat berbangga pada hari ini kerana dapat melancarkan tablet terbaru yang sofistikated ini, iaitu BlackBerry PlayBook, secara julung-julung kalinya, eksklusif buat para pelanggan kami. Selain itu, kami juga memberikan tawaran istimewa bagi Pelan Perkhidmatan Internet BlackBerry (BIS) kepada para pelanggan kami dalam usaha membekalkan suatu pengalaman komunikasi yang bermakna kepada mereka. Pada hari ini, pelanggan Maxis menikmati rangkaian jalur lebar tetap dan tanpa wayar yang terluas di Malaysia. Komponen yang penting dalam perkhidmatan Maxis ini membekalkan para pelanggan dengan kelajuan yang lebih tinggi serta liputan yang lebih meluas; yang semestinya akan membekalkan suatu pengalaman BlackBerry yang optimum, dan membolehkan mereka menikmati penyambungan yang lancar walaupun ketika dalam perjalanan.”

Jean-Pascal menambah, “Maxis secara konsistennya merupakan peneraju telekomunikasi pertama yang menawarkan pelbagai peranti canggih dan yang terbaru kepada pelanggan kami, dan kami juga amat berbangga untuk menjadi peneraju telekomunikasi pertama di Malaysia yang melancarkan pelbagai variasi telefon bimbit, peranti, serta penyelesaian tanpa wayar BlackBerry di Malaysia pada tahun 2004. Sejak itu, kami terus memperkembangkan pilihan peranti BlackBerry kami; sekaligus menawarkan suatu variasi pilihan yang tiada bandingannya bagi para pelanggan kami yang amat mementingkan penggunaan data. Kami juga menawarkan pilihan peranti Android yang terluas di pasaran pada hari ini. Kami amat berbesar hati di atas sokongan lebih 14 juta pelanggan kami di seluruh negara, yang telah membolehkan kami menjadi peneraju utama bidang telekomunikasi negara ini. Acara pada hari ini adalah suatu tanda penghargaan Maxis diatas sokongan mantap yang telah kami terima dari para pelanggan dan juga ahli media selama ini.”

Maxis menawarkan BlackBerry Playbook pada harga yang berpatutan iaitu RM1,599 untuk 16GB, RM1,899 untuk 32GB dan RM2,199 untuk 64GB. Lebih baik, pelanggan Perkhidmatan Internet BlackBerry (BIS) Maxis yang sedia ada boleh mendapatkan tablet PlayBook ini dari serendah RM990 apabila mereka mengambil pelan data PlayBook 3GB bersama telefon pintar BlackBerry mereka.

“BlackBerry PlayBook adalah suatu tablet yang berkuasa tinggi serta kaya dengan pelbagai ciri-ciri yang amat bersesuaian untuk kegunaan bisnes mahu pun peribadi,” kata Dany Bolduc, Naib Presiden, Malaysia di Research In Motion (RIM). “Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Maxis dalam membawa BlackBerry Playbook ke Malaysia,” tambahnya lagi.

Tablet BlackBerry PlayBook, iaitu penerokaan pertama Research In Motion (RIM) ke dalam arena perkomputeran dan peranti tablet, merupakan salah satu peranti yang paling dinanti-nantikan pada tahun 2011 di pasaran Malaysia. Antara ciri-ciri menarik tablet ini termasuk berbilang tugas (multi tasking), pengalaman media terbaik, pelayaran web tanpa batasan dengan sokongan Adobe® Flash®, prestasi kelajuan terbaik di dalam industri, serta akses selamat ke data perniagaan (enterprise). Tablet ini juga merupakan suatu peranti sahabat yang baik bagi para pengguna telefon pintar BlackBerry yang mementingkan nilai yang ekonomikal, kebolehpercayaan serta kaya dengan pelbagai fungsi. Ianya bertindak sebagai suatu pintu yang selamat ke dalam data pengguna telefon pintar BlackBerry yang membolehkan mereka mengakses emel, BBM™ (BlackBerry® Messenger), dan pelbagai data lain di dalam telefon pintar mereka.

Pada awal 2011, Maxis telah menyelesaikan beberapa percubaan untuk teknologi Evolusi Jangka Panjang Generasi Seterusnya (“LTE”), yang meningkatkan kelajuan data serta kapasiti rangkaian sebanyak empat kali ganda. Rangkaian IP Berkelajuan Tinggi Maxis kini telah bersedia untuk menampung lebih banyak lagi perkhidmatan terbaru. Maxis kini bersedia dan komited sepenuhnya untuk mula membuka tirai kepada rangkaian LTE sebaik sahaja Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan pengagihan spektrum LTE. Melangkah ke hadapan, Maxis akan terus memperkenalkan teknologi rangkaian dan kandungan yang akan meningkatkan kebolehan para pelanggan untuk menikmati pelbagai pilihan perkhidmatan Internet mudah alih pada peranti pintar mereka; yang meliputi pelbagai bidang termasuk hiburan, bisnes, kesihatan dan pendidikan – perkhidmatan yang akan memperkayakan kehidupan rakyat Malaysia.

Photo 2

Ciri-ciri prestasi tinggi utama tablet BlackBerry PlayBook termasuklah:

• 7” 1024×600 WSVGA skrin sentuh LCD kapasitif
• Ultra-mudah alih dengan berat kurang satu paun dan ketebalan kurang satu inci setengah: 0.9 lbs (425g) dan 5.1” x 7.6” x 0.4” (130mm x 194mm x 10mm)
• Pemproses 1 GHz dual-core
• Sistem operasi (OS) Tablet BlackBerry® dengan sokongan multi-pemprosesan simetrik
• Pemain semula (playback) audio MP3, AAC dan WMA
• Sokongan untuk pemain semula (playback) video resolusi tinggi (H.264, MPEG4, WMV) output 1080p HDMI
• Kamera-dual HD 1080p untuk persidangan video dan rakaman video (3MP depan dan 5MP belakang)
• Memori 1 GB RAM
• Kapasiti simpanan dalaman sehingga 64 GB (model 16, 32 dan 64 GB)
• GPS, Sensor Orientasi (Accelerometer), Sensor Pergerakan 6-Paksi (Giroskop), Kompas Digital (Magnetometer)
• Pembesar suara dan mikrofon stereo
• Sambungan Wi-Fi® (802.11 a/b/g/n)
• Bluetooth® 2.1+sokongan EDR

Tablet BlackBerry PlayBook boleh didapati di semua cawangan Maxis Center serta cawangan-cawangan Rakan Eksklusif Maxis di seluruh negara mulai 17 Julai 2011. Pelanggan Maxis boleh mendail 123 dari telefon bimbit Maxis mereka atau layari www.maxis.com.my/playbook untuk maklumat lanjut mengenai BlackBerry PlayBook dan pakej-pakej yang berkaitan dari Maxis.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pesta Negeri Terengganu di Menara Kuala Lumpur

Album Imam Muda Memecah Tradisi Kini Di Pasaran