in , ,

Maulidul Rasul 1442H Tiba Lagi, Ini Program Menarik di TV AlHijrah

12 Rabiulawal 1442H bersamaan 29 Oktober 2020 bakal bertandang kurang dari seminggu lagi. Tarikh istimewa ini sudah semestinya amat bermakna buat seluruh umat Islam kerana pada detik keramat ini telah lahirnya kekasih Allah, Muhammad Al-Amin.

Lahirnya Baginda SAW bersama sinar Islam yang menyuluh seluruh alam dengan cahaya yang membezakan di antara hak dan batil. Bagi mengingati kekasih Allah SWT ini, TV AlHijrah sekali lagi menjadi perintis utama di dalam sambutan Maulidul Rasul di kaca televisyen. Stesen berkonsepkan gaya hidup Islam ini akan melancarkan kempen memperingati Baginda SAW bermula 23 Oktober 2020 hingga 6 November 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata,

“Sambutan Maulidur Rasul ini bertujuan untuk mengingatkan penonton TV AlHijrah tentang nilai murni dan pengajaran serta dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sepanjang kerasulan Baginda”.

– Namanzee Harris

“Ummah Rabbani Negara Harmoni adalah tema pilihan bagi sambutan Maulidur Rasul di kaca televisyen kami. Tema ini jelas membawa maksud mencintai Rasul SAW menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi pencetus idea dalam konteks dakwah, dan ia juga merupakan silibus dalam pentadbiran dan garis panduan kehidupan,”

“Kami sajikan barisan rancangan istimewa sepanjang Rabiulawal 1442H ini. Antara yang wajib ditonton adalah rancangan E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat, rancangan Sentuhan Kalbu Bersama Habib Ali, rancangan MY #QuranTime Istimewa, Dokumentari Jambatan Tim Sarok, Filem Istimewa Latitude 6, rancangan Kasih Kenyalang dan program siaran langsung Hijrah Berselawat.

– Namanzee Harris

Menurut Namanzee kesemua program segar ini memberi terjemahan yang sangat jelas kepada penonton bahawa agama Islam yang disampaikan oleh Rasulullah adalah Addin atau cara hidup yang menyuluh kegelapan manusia dengan mentauhidkan diri kepada Allah.

“Apa yang penting, kami mahu semaikan semangat dan fahaman yang meletakkan Rasulullah sebagai idola teratas dan terulung. Kehidupan Rasullullah samada dari segi sosial, ekonomi dan kekeluargaan dijadikan panduan sepanjang zaman,”

– Namanzee Harris

Selain daripada hidangan rancangan-rancangan istimewa tersebut, TV AlHijrah turut melancarkan pertandingan Resepi Juadah Anda bagi memenuhi masa lapang penonton yang bekerja di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Pertandingan ini memberi peluang kepada penonton untuk menghantar video masakan dan hidangan istimewa mereka untuk diadili juri dalaman TV AlHijrah. 13 video masakan terbaik, menarik dan kreatif akan disiarkan di dalam rancangan Assalamualaikum serta berpeluang memenangi sejumlah wang tunai.

SINOPSIS RANCANGAN-RANCANGAN MAULIDUR RASUL TV ALHIJRAH

  1. E-KAUNTER NETIZEN BERSAMA SYAMSUL DEBAT 

25 Oktober 2020– Ahad, 7.30 malam

Program E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat adalah sebuah program yang menampilkan Syamsul Debat dalam menjawab persoalan masyarakat tentang agama. Istimewa sempena Maulidur Rasul 1442H, Syamsul debat akan ditemani Ustaz Roslan Mohammed dalam berkongsi pendapat dan ilmu tentang keperibadian Rasulullah SAW serta perkongsian tentang Sunnah Bgainda Rasulullah SAW.

SETUHAN KALBU
  • SENTUHAN KALBU BERSAMA HABIB ALI

26 Oktober 2020 – Isnin, 7.30 malam

Program Sentuhan Kalbu Bersama Habib Ali menampilkan ulama yang cukup dikenali dunia iaitu Habib Ali Zaenal Abidin yang akan membawa penonton menelusuri sirah Rasullullah SAW serta menghayati keagungan dan keperibadian Baginda. Hati penonton akan disentuh dan diajak untuk mengingati Allah SWT, membaca Al-Quran, memperbanyak zikir, meningkatkan iman, memperbaiki akhlak, menjauhi hal-hal buruk, berpegang teguh pada Rukun Islam dan syariat Islam sehingga memperolehi kejayaan dunia dan akhirat.

  • KASIH KENYALANG

26 Oktober 2020- Isnin, 9.00 malam

Kasih Kenyalang adalah program terbitan TV AlHijrah dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak. Program ini membawa penonton menelusuri realiti kehidupan golongan asnaf di bumi kenyalang serta limpahan solusi yang diberikan pihak Tabung Baitulmal Srawak dalam memastikan golongan asnaf ini berdaya saing.

  • HIJRAH BERSELAWAT

28 Oktober 2020 – Rabu, 9.00 malam

Program Hijrah Berselawat adalah sebuah program yang memaparkan persembahan Qasidah kerohanian serta tawsiyah yang menggabungkan artis dan pendakwah seperti Lah Ahmad,Naim Daniel, Pot Amir,Azad Addin, Ustaz Don Daniyal, Kumpulan Nurul Musthofa, Kumpulan Ar-Rayyan dan ramai lagi. Rancangan ini disiarkan secara langsung selama 90 minit dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kuala Lumpur.

Hijrah Berselawat mengangkat tema sambutan Maulidur Rasul dengan menggabungkan selawat, qasidah, zikir munajat dalam menzahirkan rasa kecintaan tidak berbelah bahagi kepada Nabi Muhammad SAW serta menyampaikan mesej Islam adalah agama keamanan dan penyatuan.

MYQT
  • MY #QURANTIME ISTIMEWA

29 Oktober 2020 – Khamis, 12 tengah hari

Rancangan MY #QuranTime Istimewa Maulidur Rasul akan mengangkat tiga surah pilihan berkisar sekitar Rasulullah SAW iaitu Surah At-Taubah, Surah Al-Kauthar dan Surah Al-Fath. Qari tetap iaitu Ustaz Tarmizi Abdul Rahman dan Ustaz Tirmizi Haji Ali serta Ustaz Fazrul Ismail selaku pentadabbur akan turut menyentuh keperibadian serta kelebihan para sahabat Baginda Rasulullah.

  • DOKUMENTARI JAMBATAN TIM SAROK

28 Oktober 2020 – Rabu, 10.30 malam

Program Jambatan Tim Sarok adalah sebuah dokumentari menarik yang membawa penonton meninjau kehidupan masyarakat Orang Asli di perkampungan Kg. Sungai Sarok, Gerik, Perak.

Jambatan Tim Sarok turut memaparkan gerak kerja serta usaha organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam menjaga kebajikan serta membajai aspek spiritual mereka agar kekal mencinta Allah dan Rasulnya.

File Latitude
  • FILEM LATITUDE 6

31 Oktober 2020 – Sabtu, 9.00 malam

Pelakon: Chinaradi Anupongphichart, Peter Corp Dyrendal, Prissana Kumpusiri, Virapond

Dilakonkan oleh James Thanadol Nualsuth, film ini menceritakan tentang seorang pemuda beragama Buddha yang ditugaskan ke Pattani oleh majikannya untuk memasang sistem komputer untuk sebuah institusi perbankan Islam. 

Ditakdirkan Ilahi, dia bertemu dengan seorang guru Muslim bernama Fa dan jatuh cinta. Saksikan bagaimana kedua-dua mereka menghayati perbezaan agama dan anutan dalam keadaan harmoni, beradab dan saling menghormati.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kasih Junjungan dan Forum Perdana Ehwal Islam, Program Khas Maulidur Rasul di TV1

Haqiem Rusli Bakal Hasilkan Lagu Tema Untuk Drama BIDADARI SALJU