in ,

Maraton Filem James Bond di ntv7

MARATON FILEM JAMES BOND di ntv7

Saluran Ceria Anda, ntv7 memulakan bulan Oktobernya dengan tawaran hebat iaitu rangkaian filem James Bond buat penonton setianya bagi meraikan ulangtahun ke 50 filem kesukaan ramai itu. Pelbagai filem James Bond akan disiarkan melalui slot hari Ahad, “Sunday Movies” selama lima minggu berturut-turut bermula 7 Oktober sehingga 4 November sebagai detik kiraan sempena tayangan perdana filem terbaru Bond, berjudul “Skyfall” pada 1 November ini.

Bagi mereka yang meminati lakonan Pierce Brosnan, ntv7 bakal menyiarkan empat judul filem yang dibintangi beliau sebagai James Bond di mana ia akan disiarkan setiap hari Ahad bermula jam 11.00 malam sehingga pukul 1.00 pagi. Peminat Daniel Craig juga bakal tidak ketinggalan melalui filem pertama aktor tampan ini sebagai watak James Bond yang terbaru.

Casino Royale Poster

Maraton filem ini dimulakan dengan “Golden Eye” pada 7 Oktober dengan filem James Bond keluaran tahun 1995 yang berjaya mengutip US$350 juta dari seluruh negara dan menjadikan filem ini sebagai filem yang paling berjaya selepas “Moonraker”. Filem ini mengisahkan Bond yang dalam misi menyelamatkan London daripada sindiket bersenjata berbahaya yang ingin memusnahkan kota itu menngunakan senjata satelit yang dinamakan Golden Eye bagi meruntuhkan ekonomi kewangan dunia.

Sementara itu, maraton ini akan diteruskan pada minggu seterusnya melalui filem “Tomorrow Never Dies” yang akan menemui anda pada 14 Oktober dengan gandingan mantap pelakon kebangggaan Malaysia, Datuk Seri Michelle Yeoh. Digambarkan sebagai pelakon wanita yang hebat dan merupakan versi James Bond wanita oleh Brosnan, pelakon yang berasal dari Ipoh itu mempamerkan pelbagai babak perlawanan menerusi filem itu pada 1997. Michelle Yeoh membawakan watak Wai Lin, pakar perisik dari China dan sebagai sekutu Bond. Filem ini mengisahkan James Bond yang terpaksa berhadapan dengan penjahat berprofil tinggi dari syarikat media ternama yang cuba mewujudkan perang baru di antara negara China dan Britain bagi mendapatkan liputan eksklusif secara global.

Penonton pastinya bakal terus melekat di kaca TV pada 21 Oktober menerusi filem Bond ke-3 oleh Brosnan – “The World Is Not Enough” lakonan bersama Sophie Marceau, Robert Carlyle dan Denise Richards. Filem pada tahun 1999 itu mengambil penggambaran dari pelbagai lokasi antaranya, Sepanyol, Paris, Turki dan United Kingdom. Misi kali ini pula adalah James diarahkan untuk melindungi pewaris syarikat minyak terkemuka dari bekas penculiknya. Tugasan kali ini juga meminta Bond untuk menyelesaikan isu senjata nuklear yang bakal digunakan untuk menaikkkan harga minyak dunia dengan menyerang perairan Istanbul.

28 Oktober pula menyaksikan “Die Another Day” menghiburkan malam Ahad anda. Lebih menarik, filem ini dibintangi pelakon yang telah memenangi pelbagai anugerah atas mutu lakonannya – Halle Berry yang memainkan watak Giacinta ‘Jinx’ Johnson seorang agen Agensi Keselamatan Kebangsaan. Filem yang ditayangkan pada 2002 ini mengikuti kisah James Bond yang menyiasat hubungan pengganas Korea Utara dan saudagar berlian yang membiayai pembinaan senjata angkasa antarabangsa. “Die Another Day” juga merupakan filem terakhir lakonan Pierce Brosnan sebagai James Bond.

“Casino Royale” yang bersiaran 4 November nanti di ntv7 merupakan filem ke 21 dalam keseluruhan siri James Bond dan yang pertama menampilkan Daniel Craig sebagai agen M16 James Bond. Misi pertamanya adalah untuk menghentikan Le Chiffre daripada memenangi pertaruhan besar di Casino Royale, Montenegro.

“ntv7 amat teruja untuk mengira kiraan detik bersama seluruh Malaysia sehingga filem Bond baru yang ditunggu-tunggu, “Skyfall” ditayangkan dengan membawakan maraton filem pada bulan Oktober ini dengan lima judul filem James Bond pada setiap malam Ahad secara PERCUMA. Tidak kira walaupun anda tidak menggemari filem aksi, filem James Bond pastinya mampu mengubah anda untuk menggemarinya,” kata Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV.

Selain tawaran rangkaian filem-filem hebat ini, ntv7 juga akan menganjurkan sebuah malam gala – “Skyfall Movie Gala Premiere” pada 30 Oktober di Cathay Cineplex e@Curve. Bagi mereka yang ingin memenangi tiket untuk menghadiri acara eksklusif itu, mereka hendaklah menyertai peraduan di laman ruang sosial ntv7 dan melalui beberapa media yang akan digunakan. Maklumat lanjut akan diberitahu kelak.

Jangan lupa menyaksikan rangkaian filem James Bond yang telah disediakan bermula 7 Oktober sehingga 4 November, Setiap Ahad jam 11.00 malam hanya di Saluran Ceria Anda, ntv7.

Maklumat lanjut mengenai filem James Bond yang bakal ditayangkan sepanjang bulan Oktober boleh didapati di www.ntv7.com.my dan www.tonton.com.my atau ikuti perkembangan ntv7 di Facebook dan Twitter.

ntv7 dimiliki sepenuhnya oleh Media Prima Berhad, syarikat integrasi media terbesar di Malaysia yang juga memiliki TV3 (stesen swasta percuma pertama di Malaysia), 8TV (stesen pertama yang disasarkan untuk penonton yang lebih muda), TV9, Primeworks Studios Sdn Bhd (produksi dan pengedaran filem), New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (salah satu syarikat penerbitan kumpulan terbesar di Malaysia), tiga stesen radio, Fly FM, One FM dan Hot FM serta empat syarikat media luar – Big Tree Outdoor Sdn. Bhd., UPD Sdn. Bhd., The Right Channel Sdn. Bhd. dan Kurnia Outdoor Sdn. Bhd. Anak syarikat Media Prima yang berlandaskan komunikasi digital dan penyiaran, Alt Media, turut menawarkan tayangan online yang canggih dan berkualiti definisi tinggi (HD) khas untuk tatapan penonton keempat-empat stesen TV melalui portal TonTon (www.TonTon.com.my).

Tomorrow Never Dies

Die Another Day

The World Is Not Enough Poster

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Episod Akhir Drama Sirrun TV9

Aliff Aziz Mengalami Sesak Dada Bukan Sakit Jantung