in , , , ,

Malam Gala MISTERI DILAILA Penuh Misteri & Plot Twist

Pada malam ini, 14 Februari 2019 menjadi tarikh bersejarah buat Astro Shaw dan Skop Productions di mana sebuah lagi filem gabungan bersama telah ditayangkan buat tatapan media. Saksikan video LIVE di Youtube Budiey ya.

Filem MISTERI DILAILA ialah sebuah filem seram thriler psikologi Malaysia 2019 arahan Syafiq Yusof terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw. Menampilkan Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Namron, Datuk Rosyam Nor, Sasqia Dahuri dan Mas Khan.

Mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth Tan) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser. Malam pertama disana, Jefri diganggu kejadian aneh. Keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya hilang. Iman Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira memaklumkan Dilaila sudah dijumpai dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz itu bukan isterinya. Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi ini?

Kerjasama antara dua penerbitan filem gergasi ini telah memasuki filem kedua setelah kejayaan filem Abang Long Fadil 2. Menurut Syafiq, idea terhasil untuk menghasilkan filem ini adalah kerana minat mendalam terhadap genre ini. 

Beliau ingin menonjolkan kelainan buat filem tempatan. Menurutnya, keterujaan ini timbul adalah kerana beliau sendiri telah lama tidak buat filem misteri thriller. 

Syafiq mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan skrip filem ni. Untuk idea dan inspirasi sahaja memakan masa hampir dua bulan untuk menulis. Apabila melihat senarai pelakon yang terlibat, dapat dilihat ia adalah gabungan kali pertama mereka di layar perak yang mana setiap pelakon tu ada peminat mereka sendiri. Ini sedikit sebanyak dapat menarik peminat ke pawagam.

Kebanyakan pelakon dipilih oleh pengarah hasil perbincangan antara penerbit iaitu Astro Shaw dan Skop Productions. 

Manakala Zul Ariffin adalah pilihan utama untuk menggalas watak Jefri. Dilabel sebagai King of Plot Twist oleh penggemar filem di Malaysia, Syafiq sebenarnya tak nak dilabel begitu. Dia masih lagi di tahap belajar buat filem dan gemar buat skrip berlainan serta masih menimba ilmu dalam proses penghasilan skrip.

Tidak mengsasarkan sebarang kutipan, Datuk Yusof Haslam selaku penerbit, namun beliau berharap filem misteri ini dapat sambutan menggalakkan dan terus memberi sokongan serta diterima oleh penonton tempatan. 

MISTERI DILAILA dijangka akan ditayangkan di 131 buah pawagam seluruh negara Malaysia, Singapura dan Brunei pada 21 Februari 2019.

Filem ini mendapat sokongan Hotlink selaku rakan strategik. Boleh layari media sosial Hotlink dan Astro Shaw bagi menyaksikan tiga buah video eksklusif filem ini. Peminat juga dapat beramah mesra bersama pengarah filem di FB Live Astro Gempak yang dikuasakan oleh Hotlink. 

Info lebih lanjut boleh didapati di laman FB & Instagram Astro Shaw. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Eksklusif Bersama Hannah Delisha di Pelancaran HUAWEI nova 4

Menangi Wang Sejuta dalam Peraduan Putar & Menang Xpax