in , ,

Lokasi Penggambaran Bukan Tempat Menimba Ilmu, Isma Yusoof Nasihat Pelakon Baru

Kecenderungan stesen televisyen (TV) dan penerbit memilih pelakon jelita dan tampan untuk menerajui produk mereka wajar dihentikan, kata pengarah drama kontroversi, Isma Yusoof.

Isma berkata, sikap stesen TV dan penerbit yang terlalu taksub memilih pelakon berkulit putih dan berhidung mancung sebagai hero dan heroin dengan bakat lakonan buruk atau ‘ke laut’, hanya menyusahkan syarikat produksi.

“Ini masalah penerbit di Malaysia yang suka ambil pelakon hanya sebab cantik dan baru menang pertandingan pencarian remaja.

“Stesen TV juga ‘sama naik’ apabila memetik nama entah siapa-siapa yang tidak tahu berlakon kerana mengharapkan rupa.

“Tolonglah jangan cadangkan kepada kami calon-calon yang baru memenangi pertandingan pencarian bakat,”

Isma berkata, pengarah berdepan kesukaran mengajar pelakon baharu mendalami watak di lokasi penggambaran.

“Penerbit dan stesen TV tidak tahu betapa susahnya kami mengajar pelakon baharu ketika di set.

“Saya terpaksa meminta bantuan beberapa rakan turun ke set semata-mata untuk mengajar. 

“Memang kami boleh pejam mata dengan lakonan kayu mereka. Tetapi, kami pula nanti dipersalahkan atas mutu lakonan bakat baharu,” katanya yang turut meluahkan rasa tidak puas hati mengenai isu itu di Instagram (IG).

Isma berkata, pelakon baharu silap apabila menganggap set penggambaran sebagai medan menimba ilmu lakonan. 

“Lokasi penggambaran adalah tempat mereka berkerja dan ‘berperang’. 

Mempelajari ilmu lakonan dan mencari pengalaman adalah dua perkara yang berbeza.

“Bayangkan, bagaimana jika jurukamera tidak tahu mengendalikan kamera? Jurusolek pula tidak tahu menata rias pelakon ketika di lokasi? Bukankah perkara itu akan menyusahkan produksi?

“Untuk pelakon baru, sebelum bersetuju menerima watak besar, tolonglah sertai kelas lakonan yang dianjurkan Fauziah Nawi dan Fatimah Abu Bakar.

“Bayaran yang diterima bakat baharu lebih tinggi berbanding kru produksi, takkan mereka tidak mampu membayar kos untuk kelas lakonan?” katanya.

Isma yang baru selesai menyiapkan penggambaran drama Shah Alam 40K mengaku tidak boleh bekerja dengan sikap pelakon yang suka mengambil mudah.

Tambahnya, mungkin disebabkan artis baharu hidup di zaman media sosial seperti IG dan TikTok, mereka mudah hilang fokus.

Isma yang pernah mengarah beberapa drama seperti Kerana Terpaksa Aku Relakan dan Teman Lelaki Upahan simpati dengan pelakon berbakat biasa tetapi tiada paras rupa menawan.

“Apabila stesen TV dan penerbit hanya mementingkan paras rupa, timbul rasa simpati kepada graduan bidang lakonan dari institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). 

“Mereka berhabis duit untuk membayar kos pengajian dan cukup mencintai seni lakonan serta berbakat, tetapi tidak diberikan peluang disebabkan tiada rupa,” katanya.

*Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Reaksi Sharifah Sakinah Selepas Dinasihat oleh PU Syed Sebab Selalu Tunjuk Aset

Temubual Bersama Art Fazil, Baba Andy & Imuda, Bercakap Tentang Pembikinan Video Muzik JAM!