in ,

Lebih Setengah Juta Tonton Baitul Rahmat Di TV1

Lebih Setengah Juta Tonton Baitul Rahmat Di TV1

Keredaan Allah bergantung pada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah bergantung pada kemurkaan kedua-dua ibu bapa”. (riwayat al-Hakim)

Babak Engku Fridah Ku Shafie menghayati watak Mak Munah yang menangis kesedihan bila anak bongsunya, Husna lakonan Azza Elite meninggalkannya di rumah orang-orang tua Baitul Rahmat pastinya meninggalkan kesan yang bukan sedikit dan benar-benar menyentuh hati penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1.

Bertitik-tolak daripada babak menyedihkan itu telah mengangkat drama 26 episod bertajuk Baitul Rahmat terbitan JS Pictures Sdn Bhd ini mengutip jumlah 541.105 penonton yang mula di tayangkan awal Ramadan lalu, setiap hari, jam 7.30 malam. Namun kepada yang tidak berkesempatan menyaksikan tayangannya boleh mengikuti ulangan siri ini setiap Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 5.00 pagi.

barisan pelakon Baitul Rahmat

Kisah sedih sarat pengajaran Baitul Rahmat menyaksikan lakonan berkesan Yatt Hamzah, Engku Fridah Ku Shafie, Azza Elite, Kismah Johar dan Nor Albaniah ini kini mula melewati kemuncak konflik bila Mak Munah berkali-kali ditipu anaknya Husna yang berjanji mahu mengambilnya pulang.

Sementara itu, anak-anak Mak Munah termasuklah Hashim, Hanim dan Husna mula bergaduh besar untuk menentukan siapa yang patut mengambil dan menjaga ibu mereka. Hashim menyalahkan Husna kerana tidak mahu menjaga ibu mereka. Manakala Husna pula bertegas menuding jari menyalahkan Hashim yang sepatutnya lebih bertanggungjawab kerana dia anak lelaki sulong dalam keluarga.

Dalam pada itu Mak Munah bertambah sedih dengan berita kematian anaknya, Hanim. Lebih memilukan apabila menantunya menyalahkan Mak Munah sebagai punca kematian Hanim yang selalu bersedih mengenangkan ibunya. Kemuncaknya bila Mak Munah tidak dibenarkan langsung menemui cucunya, anak arwah Hanim oleh menantunya.

Masa berlalu tidak pernah sekali pun Husna atau anak-anaknya yang lain datang melawat Maimunah. Walaupun sedih dia mula membiasakan diri tinggal bersama teman-teman senasib dengannya termasuklah Khalijah, Rahmah, Mak Cik Adibah, Hasnah dan juga Wan. Apatahlagi penyelia di situ menjaga kebajikan mereka dengan baik sekali.

Kegembiraan mereka di situ dikongsi bersama. Pelbagai telatah lucu berlaku apabila salah seorang penghuni di situ diminati penghuni yang lain yang mencetuskan tanda tanya. Di situ Maimunah juga berkongsi kisah Hamidun yang ditinggalkan anak-anak di tepi jalan sebelum diterima tinggal di Baitul Rahmat. Nasib Hamidun lebih malang kerana hanya beberapa hari tinggal di situ, Hamidun meninggal dunia. Namun tiada seorang pun anaknya yang hadir menuntut mayatnya malah jenazah Hamidun dikebumikan di tanah perkuburan tanpa waris terletak berhampiran Baitul Rahmat.

Ramadan semakin berakhir. Ketika itu Maimunah mula jatuh sakit. Begitu pun tidak seorang daripada anak-anak yang datang melawat selain Husna yang memaksanya menukarkan nama terhadap harta yang dimilikinya. Malah Husna membohongnya untuk membawa dia pulang ke rumah.

Maimunah merana dengan tindakan anak-anaknya. Lalu bagaimanakah penyudah jalan hidupnya? Adakah dia senasib dengan Hamidun yang tidak dituntut mayatnya di Baitul Rahmat? Saksikan kesudahannya penghujung Ramadan ini di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zul Ariffin Tak Suka Abby Abadi Burukkan Kerajaan

Impian Emas Negara Kasi Habuan Aiskrim Baskin-Robbins Untuk Rakyat Malaysia