in ,

Lan Pet Pet & Pak Ya Kini Bermaafan

Kita semua pun pernah buat silap kan? Harapnya takde lagi cerita2 buruk pasal Pak Ya dan Lan Pet Pet.

Pergeseran antara pelawak, Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet dengan pengawal keselamatan, Yahya Manap, berakhir apabila mereka bersemuka di sebuah premis di Nilai, Negeri Sembilan.

Berita ini disiarkan secara eksklusif di Berita Harian. Dalam pertemuan hampir dua jam yang dihadiri keluarga dan sahabat baik kedua-dua pihak, permohonan maaf Mazlan, 50, disambut Yahya, 68, dengan hati terbuka.

Lan Pet Pet

“Saya maafkan Lan (Mazlan)… Ini bukan kerana wang tetapi keinsafan dirinya membuka hati saya memaafkannya.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lagipun, Ramadan al-Mubarak akan tiba, tidak lama lagi. Lebih elok kami berbaik daripada memanjangkan sengketa pada bulan mulia.

“Saya bukannya pendendam… Segala perbuatan dan kekhilafan Lan terlerai sebaik kami bersemuka,”

– Yahya

Yahya atau mesra disapa Pak Ya memberitahu, dia kasihan kepada Mazlan terutama dalam aspek karier dan reputasinya selepas insiden hitam itu.

Lan Pet Pet

“Kerjaya dan reputasi Lan tercalar dengan insiden itu,”

– Yahya

Yahya menghormati tindakan Lan yang sanggup bersemuka untuk memohon maaf dengan hati yang ikhlas.

“Asalkan Lan insaf dengan perbuatannya, itu sudah cukup. Saya akan berbincang dengan peguam untuk menarik balik permohonan rayuan supaya hukuman terhadap Lan disemak semula.

“Saya tidak akan meneruskan tindakan saman itu,”

– Yahya

Sementara itu, Mazlan yang juga anggota kumpulan Senario, bersyukur Yahya yang disapanya Pak Ya dan keluarga, memaafkan dirinya dan melayan dengan baik pada pertemuan itu.

“Berminggu-minggu fikiran saya runsing dan tidak senang hati selagi tidak bersemuka dengan Pak Ya dan keluarga.

“Saya mengambil sedikit masa untuk mengatur pertemuan ini. Saya perlu mencari nombor telefon dan memastikan Pak Ya bersetuju untuk bersemuka.

“Saya berterima kasih pada Pak Ya dan keluarga yang menerima pelawaan untuk bertemu.

“Pada awalnya, saya tahu Pak Ya marah. Tetapi apabila melihat saya dengan rendah diri, zahir dan batin memohon maaf, dia akhirnya tersenyum,”

– Lan Pet Pet

Mazlan berkata, dia akan ingat pesanan Pak Ya supaya tidak mengulangi kesilapan.

“Walaupun pada pertemuan ini, air mata tidak menitis, tetapi hati saya menangis tiada siapa tahu.

“Saya sedih dan insaf. Saya berjanji akan menjaga Pak Ya dan keluarga seperti famili sendiri. Saya merancang membawa Pak Ya dan isteri menunaikan umrah di Makkah, insya-Allah,”

– Lan Pet Pet

Pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, di sini.

Mazlan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof.

Mazlan mengaku melakukan kesalahan itu di Acacia Park Desa Jati pada 6 April lalu. Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu membayar denda diputuskan mahkamah.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Tayangan Filem BRIGHTBURN

Hael Husaini & Misha Omar Berdepan Masalah Teknikal di AME 2019