in ,

Tahniah! Kumpulan Soda Dinobatkan Juara Sulung Awesome Raja Lawak

Pejam celik, program Awesome Raja Lawak telahpun melabuhkan tirai pada malam Rabu selepas 10 minggu bersiaran.

Kumpulan Soda ternyata bertuah apabila dinobatkan sebagai juara pertama program berkenaan dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000.

Menurut Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, prestasi kumpulan Soda yang konsisten sebelum ini akhirnya membuahkan hasil untuk mereka.

“Kemenangan tersebut pastinya direstui ramai kerana Soda juga merupakan antara nama yang sering disebut sebagai juara dan sering menerima pujian daripada barisan juri pada saban minggu.

“Soda yang dianggotai oleh Danny, 27, atau nama sebenar Danieal Aidid Bin Jamil dan Sofwan Fathi Bin Roosle atau lebih mesra dengan panggilan Wan, 28, berjaya memperolehi markah keseluruhan tertinggi sebanyak 77% sekaligus menewaskan lima finalis lain iaitu Kumpulan Se’eh, Mabo, Manja, Sedare dan Azhar di pusingan finale.

“Soda yang mempertaruhkan sketsa komedi bermoral dengan menyelitkan pengajaran dan teladan yang sarat dengan mesej positif untuk renungan bersama bagi kedua-dua buah tugasan akhir yang bertemakan ‘Bebas’ dan ‘Muzikal’ ternyata berjaya memikat hati juri dan penonton sekaligus menjadikan kemenangan tersebut lebih manis dan bermakna,” katanya.

Hargai Finalis Lain

Dalam pada itu, Ezzan juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada peserta lain yang turut berjaya mara ke pentas akhir.

“Sekalung tahniah juga kami ucapkan kepada Kumpulan Se’eh yang merangkul gelaran naib juara dengan markah keseluruhan sebanyak 74% sekaligus memenangi wang tunai RM25,000 beserta trofi. Kumpulan Mabo yang tersingkir di pusingan separuh akhir tetapi diserap masuk semula secara ‘wild card’ juga tidak mengecewakan apabila bangkit semula dan muncul sebagai pemenang tempat ketiga yang membawa pulang RM10,000 beserta trofi.

“Syabas juga buat Azhar, Sedare dan Manja yang meraih tempat keempat, kelima dan keenam. Walaupun rezeki mungkin tidak berpihak kepada mereka pada kali ini, namun pujian harus diberikan kepada mereka di atas energi luar biasa dan usaha keras dalam memberikan saingan sengit di pusingan akhir. Menang atau kalah adalah adat bertanding. Apa yang penting, mereka sudah buat yang terbaik sepanjang perjuangan di pentas Awesome Raja Lawak,” katanya lagi.

Ezzan juga berkata, jumlah tontonan Awesome Raja Lawak sepanjang bersiaran selama 10 minggu juga memberansangkan.

Tontonan Terkumpul Lebih 20 Juta

“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi tentang kejayaan cemerlang program Awesome Raja Lawak yang bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam yang sudahpun merekodkan jumlah tontonan terkumpul melebihi 20 juta sepanjang sepuluh minggu bersiaran di kesemua platform termasuk digital. Statistik tersebut membuktikan program-program terbitan Awesome TV berjaya membekaskan impak di hati rakyat Malaysia sekaligus menjadikan stesen ini sebagai destinasi utama untuk menikmati program-program hiburan berkualiti di Malaysia.

“Susulan dari kejayaan program ‘Awesome Raja Lawak’ ini, kami turut teruja untuk berkongsi di sini bahawa sebuah lagi program realiti terbaharu terbitan Awesome TV, ‘Mic On Selebriti’ bakal menemui peminat tidak lama lagi. Berkonsepkan pertandingan nyanyian, ‘Mic On Selebriti’ akan menyaksikan penglibatan barisan selebriti seperti pelakon, pelawak mahupun ‘influencer’ mempertaruhkan bakat nyanyian mereka demi merebut hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM250,000.

“Nantikan pengumuman selanjutnya dari kami tidak lama lagi. Teruskan menonton variasi program-program hebat Awesome TV di saluran Astro (123) dan MyTV (112),” katanya menutup bicara.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Najwa Latif Sah Bergelar Isteri Kepada Rakan Duetnya, Akwa Arifin

Sidang Media Separuh Akhir Muzik Muzik 37 Umum 30 Lagu Pilihan Peminat