in

Kumpulan Al-Manna Berkorban Demi SELAWAT KITA SEMUA

Nasyid adalah satu cabang hiburan ke arah nilai murni kepada semua peringkat masyarakat. Atas kesedaran itu, maka Al-Manna muncul untuk mewarnai persada muzik tanah air.

Seiring dengan maksud Al-Manna iaitu manisan, tujuan utama penubuhan kumpulan nasyid ini adalah untuk mendekati dan memenuhi selera generasi baharu seangkatan mereka agar menggemari muzik berunsur ketuhanan dan kerohanian selain bertekad untuk mengembalikan zaman irama nasyid yang kini semakin kekurangan pelapis.

Al-Manna di Cameron Highland

Kumpulan nasyid ini dianggotai empat vokalis muda iaitu Muhammad Firdaus Arshad (Firdaus), Fahimi Indra Pramanta Didi Indra (Fahimi), Mohd Shahnizam Mohd Sa’ad (Shah) dan Mior Muhammad Ariff Mior Mokhtar (Mior).

Menyedari pembabitan kumpulan ini dalam industri nasyid masih terlalu baharu, Al-Manna akhirnya menjalin kerjasama dengan komposer dan penyanyi berbakat besar, Bazli Hazwan daripada kumpulan UNIC sebagai persediaan awal untuk memasuki industri seni hiburan tanah air.

Hasil daripada perkongsian itu, maka lahirlah album sulung mereka, Selawat Kita Semua.

Kata Firdaus, berbekalkan pengalaman di bangku sekolah, Al-Manna yakin langkah pertama itu akan diterima baik oleh penggemar muzik tempatan dalam menyalurkan dakwah serta nasihat menerusi lagu-lagu nyanyian mereka.

“Album ini menggunakan khidmat Bazli selaku penerbit, penggubah lagu dan penulis lirik. Bahkan, untuk album ini, kami mengetengahkan zikir dan selawat sebagai taruhan melodi utama.

“Ini adalah resipi utama Al-Manna dalam menarik tumpuan pendengar masa kini,” katanya pada Zass ketika ditemui pada pelancaran album berkenaan, baru-baru ini.

Jelasnya, selain single Selawat Kita Semua, terdapat beberapa lagu yang mudah di hadam serta memberi pengertian bermakna kepada seseorang seperti Cinta ALLAH, Sahabat, Zikir Pagi Hari, Cinta ALLAH Sayang ALLAH dan Qasidah Subhanallah (duet Bazli UNIC).

Kali ini, Al-MAnna yakin akan pertaruhan single pertama mereka, Selawat Kita Semua yang dihasilkan Bazli UNIC akan mendapat perhatian daripada pendengar tempatan.

“Lagu itu pastinya menjadi karya yang mampu menaikkan nama Al-Manna di persada seni tanah air. Melodinya mengajak pendengar untuk sama-sama berselawat ke atas Rasulullah SAW pastinya memberikan 1,000 ganjaran pahala kepada setiap individu yang mengalunkannya,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap lagu dalam album ini adalah ringkas tetapi sedap didengar agar dapat menyuntik idea segar dalam mendidik golongan kanak-kanak sehingga dewasa untuk menerima genre nasyid yang semakin hilang popularitinya.

Pada masa sama, Al-Manna kini sedang dalam perancangan mengumpul bahan untuk merakam album kedua yang dijangka akan dilancarkan pada 2016.

Bukan artis UNIC Records

Menyingkap kembali penubuhan Al-Manna, Firdaus memberitahu kumpulan pelapis ini telah mula bergerak sejak 1997 lagi.

“Kumpulan ini telah ditubuhkan kira-kira 17 tahun lalu.

“Ketika itu, kami masih lagi menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat,” katanya.

Atas dasar ingin menjenamakan semula Al-Manna, kumpulan ini akhirnya nekad untuk berkecimpung secara serius dalam industri nasyid negara.

Demi merealisasikan matlamat tersebut, mereka akhirnya menubuhkan syarikat sendiri, Al-Manna Solution pada 2012.

“Al-Manna Solution ditubuhkan dengan teras perniagaan terbahagi kepada tiga iaitu kumpulan nasyid, motivasi dan perundingan serta jualan busana Muslim.

“Setiap keuntungan daripada hasil perniagaan ini akan dilabur untuk meluaskan tapak Al-Manna dalam industri muzik tempatan, selain memperbanyakkan lagi jumlah lagu sedia ada,” katanya.

Tambahnya, pengenalan singkat Al-Manna dengan vokalis UNIC di studio rakaman mereka suatu ketika dahulu dianggap sebagai petunjuk daripada ALLAH SWT apabila kerjasama itu menjadikan nama Al-MAnna semakin diterima ramai.

“Kami menerima respons yang sangat positif apabila kami menyanyikan lagu single pertama itu di mana-mana undangan program atau majlis sejak ia berada di pasaran.

“Kami bersyukur kerana Bazli UNIC sudi memberi kepercayaan dan menolong kami sehingga terhasilnya single pertama,” tambahnya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Complimentary Spa Session at The Holiday Beach Danang Hotel & Resort Vietnam

Senarai Pemenang Pertandingan Akhir Juara Bertemu Juara Bintang KLASIK