in ,

Kuiz Drama Bersiri Milik Siapa Hati Ini Dan Lara Di TV2

Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak pernah gagal untuk menyiarkan rancangan menarik untuk tontonan peminat setia salurannya. Bermula awal Januari 2010 RTM bakal menyiarkan dua drama Melayu bersiri menerusi terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd iaitu Milik Siapa Hati Ini dan Lara.  Menariknya kesetiaan para penonton akan terbalas dengan tawaran hadiah yang lumayan menerusi penganjuran pertandingan kuiz berdasarkan siaran drama tersebut.

Drama bersiri Milik Siapa Hati Ini akan bersiaran mulai 3 Januari 2010, pada setiap Ahad jam 8.30 malam hingga 9.30 malam. Manakala Lara bakal bersiaran mulai 11 Januari 2010 setiap Isnin jam 9.00 malam hingga 9.30 malam menerusi saluran TV2.

Milik Siapa Hati Ini bakal bersiaran selama 26 minggu dan soalan akan disiarkan setiap minggu. Penonton hanya perlu meneka gambar  dan menjawab soalan berbentuk ‘puzzle picture’ dan pilihan jawapan berbentuk A,B, atau C. Setiap jawapan perlu dihantar melalui SMS dengan kata kunci MILIKSIAPA.

Mekanisma kuiz untuk drama bersiri Lara disiarkan secara mingguan setiap soalan selama 26 minggu. Setiap soalan berbentuk isikan tempat kosong. Hanya satu soalan disiarkan di televisyen setiap minggu dan soalannya seperti satu sedutan dialog dari drama akan diambil dan satu bahagian akan disenyapkan. Bahagian yang disenyapkan adalah tempat kosong yang perlu dijawab oleh para penonton menerusi visual di kaca TV. Penonton mempunyai pilihan jawapan A,B atau B untuk menyambung dialog tersebut. Penonton hanya perlu menjawab soalan tersebut dengan menghantar SMS dengan kata kunci  LARA.

Hadiah bakal pemenang kuiz drama bersiri Milik Siapa Hati Ini dan Lara, terbahagi kepada dua iaitu kuiz minggu ke–13 yang dikenali sebagai hadiah Bonus dan minggu ke–26 dikenali sebagai hadiah Mega.

Bagi hadiah yang bakal dimenangi oleh para pemenang untuk kuiz drama bersiri Milik Siapa Hati Ini untuk minggu ke – 13 akan mendapat  5 sijil premium bernilai RM200 setiap satu kepada 5 pemenang , 10 hadiah saguhati berupa cenderahati (T-shirt  ‘MILIK SIAPA HATI INI’) dan hadiah bonus berupa 1 Komputer Netbook.  Manakala untuk hadiah kuiz minggu ke 26 pula, pemenang akan memenagi  5 sijil premium bernilai RM200 setiap satu kepada 5 pemenang, 10 hadiah saguhati berupa cenderahati  (T-shirt  ‘MILIK SIAPA HATI INI’) dan hadiah mega berupa 2 Komputer Netbook.

Bagi hadiah untuk  kuiz minggu ke -13 drama Lara pemenang akan mendapat  5 sijil premium bernilai RM200 setiap satu kepada 5 pemenang,  10 hadiah saguhati berupa cenderahati (T-shirt  ‘LARA’) dan hadiah bonus berupa 1 komputer Netbook.  Manakala untuk kuiz minggu ke – 26 pula, pemenang akan mendapat  5 sijil premium bernilai RM200 setiap satu kepada 5 pemenang, 10 hadiah saguhati berupa cenderahati (T-shirt  ‘LARA’) dan hadiah mega berupa 1 tiket penerbangan ke Kemboja untuk 2 orang.

MILIK SIAPA HATI Ini, arahan pengarah muda, Harris Fadzillah mengisahkan kasih sayang dan pengorbanan seorang kakak terhadap adiknya setelah bapa mereka meninggal dunia. Ibunya adalah ibu tunggal yang terpaksa meneruskan kehidupan dengan hasil wang pesaraan arwah suaminya. Yasmin (Min) seorang wanita yang rajin dan bertanggungjawab terhadap keluarganya. Setelah tamat pengajiannya di Universiti, dia mendapat pekerjaan sebagai eksekutif di sebuah syarikat milik Dato’ Mansur. Demi hasrat untuk membalas jasa dan pengorbanan ibunya Khadijah, dia sanggup membahagikan wang gajinya untuk perbelanjaan hariannya sekeluarga meskipun adiknya Lukman masih menuntut di kolej swasta. Sikap Lukman berbeza dengan kakaknya. Sejak dia di kolej dan berkawan dengan anak orang kaya bernama Jaziman (Just), dia terpengaruh dengan sikap Just yang suka berhibur dan bergaya. Akibat suka berboros Lukman terpaksa menipu kakaknya untuk meminta wang belanja di kolej yang kononnya untuk tujuan pelajaran.

Min pula seorang yang lemah lembut dan penyabar. Di pejabatnya, dia amat diminati dan disenangi oleh rakan-rakan sepejabatnya. Tetapi, Min tidak pernah ambil kesempatan atas kelebihan pada dirinya, Baginya hati Min sudah dicuri oleh seorang eksekutif bernama Roslan. Mereka saling mencintai namun, sikap Roslan yang kuat cemburu membuatkan Min kurang senang. Akibatnya, Min mula tidak senang hati tambahan pula sikap adiknya mula menjadi-jadi yang suka berbelanja. Dugaan datang bertimpa-timpa yang dilalui oleh Min.  Namun, sikap sabar dan tenangnya membuka jalan yang baik buatnya apabila dia ditemukan dengan seorang lelaki yang amat memahami masalahnya. Drama ini menampilkan pelakon hebat Intan Azura, Syed Ali, Dian P.Ramlee, Dato’ Jalaluddin Hassan, Nazim Othman, Tony Eusoff, Roy Azman,  Zarynn Min, Ozlyn Wati dan Khaty Azean. 

LARA pula yang diarahkan oleh Haizul Anafer Ali kisah nasib yang menimpa Arina dan anaknya Tasnim selepas kematian suaminya Amir. Marissa Yasmin membawa watak sebagai Arina dan barisan bintang hebat iaitu Eizlan Yusoff sebagai Fariq dan Azhar Sulaiman sebagai Amir. Fariq yang merupakan ejen insuran Amir sangat mengambil berat terhadap Arina setelah ketiadaan Amir. Sejak kehadiran Fariq dalam hidup Arina yang dalam kesedihan dia dan anaknya merasa terhibur apabila Fariq memberi perhatian padanya. Namun, sangkakan Arina terhadap cinta Fariq padanya adalah palsu belaka setelah dia mengahwini Fariq dan mengetahui sikap buruk Fariq yang mempunyai kepentingan peribadi.  Dalam masa yang sama Arina khuatir atas tindakannya mengahwini Fariq dan dia masih berharap Fariq adalah suami yang baik. Tetapi semua itu adalah harapan semata-mata. Kerana masalah kewangan yang dihadapinya, Fariq memutuskan untuk melarikan diri ke Kemboja. Kehidupan Arina dan Fariq di Phnom Penh dilalui seperti biasa walaupun terpaksa meninggalkan anaknya Tasnim. Di sana Fariq bernasib baik mempunyai rakan niaga bernama Yusuf yang komited dalam perniagaannya. Setelah sekian lama di Phnom Penh, Fariq kembali kepada perangai lamanya yang suka berpoya-poya dan berhutang. Tabiatnya yang suka berhutang membuatkan keadaan hidup Arina bertambah susah akibat duitnya dikikis oleh Fariq. Mujur semua wang insurans Amir disimpan untuk pembiayaan pendidikan Tasnim.

Kehilangan Arina sejak pergaduhan besar dengan Fariq menjadi misteri. Selepas 15 tahun Fariq akhirnya kembali ke Malaysia setelah berjaya mengaut kekayaan di Phnom Penh.  Tasnim pula sedang meningkat dewasa dan menjadi seorang gadis yang cantik. Dia mendapat pekerjaan di sebuah syarikat perumahan milik seorang Datuk. Memang terpendam dihati Tasnim untuk mencari ibunya suatu hari nanti.  Adakah Fariq akan terlepas selepas dia menganiaya Arina? Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri Lara ialah Khadijah Tan, Mubarak Majid, Badrul Muhayat, Ayu Raudhah dan Ku Faridah.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Movie Day Out Sensasi Selebriti Ninja Assasin: Part 2

Sertai Pertandingan Kostum Terbaik Pasangan Kembar