in , ,

Covid-19: Lagu Sindir Kluster Kayangan, Drama Band Tak Takut Dikecam

Macam-macam cerita yang kita dengar mengenai karenah-karenah pesakit dari kluster tertentu yang membuatkan kita jelik mendengarnya. Susulan dari itu, Aepul Roza telah melancarkan single kumpulan mereka berjudul ‘Kayangan’ bagi menyindir karenah pesakit-pesakit kluster berkenaan.

Selepas Monoloque tampil dengan lagu menyindir kluster kayangan, Drama Band pula melancarkan single berjudul Kayangan buat kelompok itu. Vokalis Drama Band, Aepul Roza memberitahu, single berkenaan diilhamkan daripada maklumat dikongsi petugas kesihatan yang berhadapan cabaran melayan kerenah kluster kayangan yang didakwa tidak beradab ketika melakukan ujian saringan COVID­19.

“Saya fikir mahu menegur dengan cara beradab. Jadi, menerusi lagu ini, saya dapat sampaikan pesanan secara berhemah.

Saya pegang telefon dan gitar… Semua idea keluar hingga terhasil sebuah lagu.

“Saya mahu berpesan bahawa manusia semuanya sama. Tidak kiralah apa status kita.

“Tidak kisahlah kita siapa, berduit atau berpangkat. Ramai yang tidak sedar, mereka ego dengan duit yang banyak.

“Kalau berduit sekalipun, virus tetap menyerang. Virus ini tidak mengenal sesiapa, kita tetap boleh mati,”

– Aepul Roza

Aepul memberitahu, dia hanya mengambil masa 15 minit untuk menyiapkan melodi dan lirik Kayangan.

“Lagu ini disiapkan empat hari lalu… Ia siap dalam tempoh 24 jam. Boleh dikatakan melodi dan lirik siap dalam 15 minit. Kemudian saya serah kepada Daus untuk merakamkannya di studio.

“Pada hari sama, saya masukkan vokal. Segala­galanya berlaku cepat dengan kerjasama semua anggota band,”

– Aepul Roza

Mengakui sudah cukup ‘berlapik’ dalam penulisan liriknya, Aepul berkata, dia tidak sangka lagu Kayangan itu mendapat maklum balas sangat positif.

“Saya ucap terima kasih dengan sokongan diberi pendengar pada lagu ini. Drama Band hanya berkongsi karya muzik kami. Kalau ada yang nak kata karya ini menjurus sindiran, saya hanya buat lagu apa yang sesuai pada masa itu

“Menjadi pendirian saya, untuk Drama Band diterima melalui hasil kerja muzik kami yang mampu memberi impak pada masyarakat. Kami tak ada konsep yang dirancang pun. Asalkan ada cerita nak disampai, orang faham dan boleh fikir, syukurlah,”

– Aepul Roza

Menurut Aepul, menjadi objektif Drama Band untuk semua karya mereka meluahkan cerita realiti yang terjadi dalam masyarakat dan kehidupan.

Selain Aepul dan Daus SRK, Drama Band dianggotai Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib.

Aepul berkata, mereka bukan mahu mengambil kesempatan menjadikan kelompok digelar kluster kayangan sebagai tarikan mempopularkan lagu berkenaan.

Sebaliknya, Aepul menyatakan, mereka mahu menyampaikan mesej berguna menerusi muzik.

“Biarlah orang nak kata apa sekalipun, mereka bercakap berdasarkan pemahaman mereka, jadi terpulanglah.

“Saya hanya mahu menyampaikan pesanan,” katanya yang terbuka jika dikritik netizen.

Video lirik rasmi Kayangan telah dimuat naik di laman YouTube pada 14 April 2020 dan telah mendapat lebih 47,000 tontonan setakat ini.

Antara potongan lirik lagu tersebut adalah seperti dibawah.

“Kau masih terus berangan, kau sangka wang itu kebal.

“Jangan bodoh, jangan bebal, dia tak kenal siapa, dia tak kira kau kaya, selimutlah kau dengan paksaan walaupun kau turun dari kayangan”

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengguna YouTube menyukai lagu tersebut dan bersetuju dengan mesej yang disampaikan oleh kumpulan ini.

Sementara itu, Aepul bersyukur syarikat rakaman, MVM Production bersetuju memasarkan single Kayangan.

“Apabila saya beritahu label, mereka bersetuju melancarkan lagu ini secara rasmi. Selepas ini, lagu Kayangan akan diedarkan ke stesen radio.

“Tetapi untuk stesen radio memainkannya, terpulang kepada mereka. Kalau tak mahu, tidak mengapa,”

Lagu Kayangan mula dilancarkan di YouTube, Selasa lalu.

Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nabila Razali Terharu Lebih 1000 ‘Cover’ Lagu PELUANG KEDUA

Tahniah! Fazura Hamil Empat Bulan, Akui Tidak Alami Alahan