in , , ,

Karnival Jom Heboh 2015 Lebih Meriah

Seramai lebih 300,000 pengunjung membanjiri lokasi pertama Karnival Jom Heboh 2015 bertempat di Stadium Hang Jebat, Melaka. Penganjurannya buat kali ke-13 ini sejak tahun 2003 membuktikan acara tapak ini sememangnya mendapat tempat di hati rakyat Malaysia untuk terus beriadah bersama stesen no.1 negara, TV3. Hadir dengan logo baru, Jom Heboh 2015 tampil dengan konsep yang lebih meriah dan bertenaga.

IMG-20150331-WA0011

KARNIVAL JOM HEBOH KEMBALI DENGAN LEBIH MERIAH UNTUK TAHUN 2015!
300,000 pengunjung banjiri lokasi pertama

Berlangsung selama dua hari pada 28 & 29 Mac 2015 (Sabtu & Ahad) minggu lalu, para pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik di gerai utama Karnival Jom Heboh iaitu Cerekarama, Selera, Raudhah, Buletin Utama, dan Bananana! Land selain pelbagai gerai jualan dengan promosi hebat.

“Karnival Jom Heboh telah bertapak selama 13 tahun sejak diperkenalkan pada tahun 2003. Ini membuktikan acara ini kekal relevan dan amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Tahun ini kami hadir dengan logo baru dengan rupa gerai yang lebih meriah agar karnival ini terus segar dan memberikan pengalaman bermakna buat para pengunjung. Karnival ini juga merupakan landasan untuk kami memberikan penghargaan kepada penonton setia TV3 selain memberi peluang kepada para pengunjung untuk bertemu barisan personaliti dan artis-artis kesayangan mereka yang membintangi slot-slot drama kami. Kami juga berharap karnival ini menjadi sebuah acara di mana para pengunjung boleh berseronok dan beriadah bersama keluarga atau sahabat handai kerana pelbagai aktiviti menarik telah kami sediakan. “Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan rakan-rakan penaja yang sentiasa bersama dan menyokong kami sepanjang acara Karnival Jom Heboh dianjurkan,” kata Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad.

Pelancaran Karnival Jom Heboh 2015

Lebih menarik ialah lokasi pertama Karnival Jom Heboh bakal menyaksikan pelancaran gemilang pada hari Sabtu, sekitar jam 8.00 malam di pentas utama yang dijadualkan akan dirasmikan oleh YB Datuk Wira Latiff bin Datuk Haji Tamby Chik, Exco Komunikasi dan Koperasi negeri Melaka yang turut disiarkan secara langsung di Buletin Utama yang turut disertai pihak pengurusan Media Prima Berhad.

Pelancaran gimik hebat itu turut disertai pertunjukan bunga api mewarnai langit Melaka sejurus video transisi logo Jom Heboh diperkenalkan. Pelancaran itu kemudiannya diteruskan dengan Konsert ‘Reunion’ Mentor Legend menampilkan Dayang Nurfaizah, Ajai, Mas Idayu serta protege mereka – Azmil (Juara Mentor Legend), Fahmie dan Tuah. Konsert itu dipenuhi lebih 8,000 pengunjung untuk menyaksikan persembahan bertenaga oleh artis kesayangan mereka.

Program Khidmat Masyarakat TV3 Sempena Karnival Jom Heboh, Melaka
Seperti penganjuran Jom Heboh tahun lalu, TV3 tetap komited untuk meneruskan Program Khidmat Masyarakat buat tahun 2015 di setiap lokasi persinggahannya sehari sebelum acara karnival itu berlangsung (27 Mac 2015, Jumaat).

Kali ini TV3 bersama JKKK & Kariah Masjid Ar-Rabbani Tangga Batu Pekan bersama-sama mengadakan sesi gotong-royong di kawasan setempat selain bekerjasama dengan beberapa badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, sesi bersama Persatuan Doktor Gigi Malaysia (MDA), Pusat Darah Negara dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu melalui pameran, demonstrasi, kempen derma darah dan bengkel berkaitan.

Di lokasi ini juga, TV3 meraikan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Sultan Abdul Aziz Al Haj, Pantai Puteri. Mereka diberikan set alat tulis dan diceriakan dengan barisan personaliti dan artis yang menyertai program tersebut.

Gerai Utama Jom Heboh

1. Cerekarama
Gerai cerekarama bakal menjadi tumpuan dengan membawakan barisan pelakon yang membintangi slot drama kegemaran anda di TV3 seperti Syarul Ridzwan, Mia Ahmad, Nazmi Adwa, Hafeez Mikail, Christina Suzanne, Ayda Jebat, dan Tokan (Bintang Mencari Bintang). Antara aktiviti yang bakal dijalankan adalah sesi tayangan drama Akasia: Hati Perempuan, Iris: Suami Sebelah Rumah, Lestary: Ajaibnya Cinta, Zehra: Puteri Bukan Nama Sebenar di mana semua episod eksklusif ini ditayangkan lebih awal daripada siaran di kaca TV. Selain itu terdapat slot khas bersama Tonton, dan penyampai radio Hot FM.

2. Bananana! Land
Bagi si cilik, ruangan gerai ini pastinya akan membuatkan mereka terhibur dengan pelbagai aktiviti menarik. Antaranya ialah aktiviti seni kreatif buatan sendiri. Bagaikan dunia yang penuh dengan keseronokan, terdapat beberapa sudut di gerai ini seperti Wow Bag Corner (tempat membeli cenderahati ekslusif barangan Media Prima Berhad), Bananana! HQ (ruangan membeli tiket), Bananana Squad Campsite (aktiviti seni dan demo masakan), pentas utama, The Awesome Challenge (ruangan mainan), dan B-insta (sudut bergambar). Antara artis kesayangan anda yang bakal berada di gerai ini adalah Falisha Crossley, Muadz (Hip TV), Erynne Erryna dan Tasha serta jangan lepaskan peluang bergambar bersama maskot animasi popular – Canimals, Boboiboy dan Awang Khenit.

3. Selera
Gerai Selera bakal membawakan anda pelbagai resepi istimewa yang akan diajarkan kepada para pengunjung yang singgah ke sini. Pelbagai menu untuk dipelajari dari menyediakan sarapan berkhasiat, set makanan tengahari atau menu minum petang. Antara chef yang bakal bersama anda ialah Chef Fikree (Dapur Panas), Isey Titan (Sarapan), Izu Kepoh dan Dato’ Chef Ismail.

4. Raudhah
Gerai Raudhah pula bakal menjadi wadah pengisian berbentuk ilmiah dan Islamik. Pengunjung juga boleh bersama-sama menyaksikan rakaman Tanyalah Ustaz bersama Ustaz Hanafiah pada hari Sabtu jam 11.00pagi. Dengarkan juga Akustik Raudhah bersama Taleeb Mizad dan bersama-sama dalam sesi perkongsian ilmu dalam santai Raudhah, Bismillah bersama Ustaz Safwan, dan Salam Mualaf bersama Derrick Fernando dan temui Da’i Farhan. Bagi muslimah, anda boleh bersama Faatin Akib untuk sesi tutorial hijab dan DIY bersama SIS – Bella Yunus.

5. Buletin Utama
Bagi mereka yang ingin mencuba ujibakat penyampai berita dan bertemu bersama personaliti TV3, gerai Buletin Utama adalah tempatnya. Antara yang bakal anda temui ialah Mior Abdul Malek Raiyani, Hazlin Hussain dan Nik Munirah.

Konsert Jom Heboh

Penduduk negeri Melaka juga sempat berhibur di konsert ‘Reunion’ Mentor Legend yang diadakan di pentas utama pada jam 8.45 malam pada hari Sabtu dan Ahad. Konsert yang diadakan pada hari Sabtu itu juga disiarkan secara tertunda pada jam 11.00 malam di TV3.

Tarikh & Masa Artis
Sabtu
28 Mac 2015, 8.45 malam (siaran tertunda 11.00 malam di TV3) Azmil, Tuah, Fahmie (Mentor Legend), Ajai, Mas Idayu, Dayang Nurfaizah

Ahad,
29 Mac 2015, 8.45 malam Sarah, Nadeera & Aina (Mentor Legend), One Nation Emcees

Sesi Rakaman/Siaran langsung di Karnival Jom Heboh Melaka
1. Sembang Pagi, Sabtu & Ahad, 9.00 pagi – siaran langsung
2. Tanyalah Ustaz, Sabtu, 11.00 pagi – rakaman
3. Melodi, Ahad, 12.30 tengahari – siaran langsung

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Gunakan #JOMHEBOH untuk sebarang interaksi berkaitan karnival ini di laman sosial. Karnival Jom Heboh dijadualkan akan ke lokasi seterusnya di Putrajaya, Johor Bahru dan Bukit Jalil.

Antara artis dan tetamu yang hadir di pentas utama untuk sesi pelancaran Jom Heboh dan turut berlintas langsung menerusi Buletin Utama

Antara komuniti yang menyertai program Khidmat masyarakat sempena Jom Heboh

Bengkel cara memberus gigi dengan betul turut menjadi sebahagian daripada konsep perkongsian ilmu dalam program khidmat masyarakat

Encik Ahmad Izham, YB Datuk Wira Latiff dan Mr Seelan Paul menyempurnakan gimik pelancaran Karnival Jom Heboh 2015 (2)

Encik Seelan, Tan Sri Johan Jaafar dan Ahli Parlimen Tangga Batu, YB Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah turut menyertai demonstrasi memadam kebakaran di program CSR Jom Heboh - Jumaat

Personaliti Media Prima turut bersama VIP dalam sesi pelancaran Jom Heboh

Program Khidmat masyarakat di adakan di Masjid Ar Rabbani Tangga Batu pekan Melaka

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Persembahan LAWAK KE DER 2015 di Istana Budaya

The Samsung GALAXY Tab3 V