in

Julia Ziegler, Rozita Che Wan Muka Ketat Baju Ketat & Bola Saka

ISTIMEWA 2 TELEMOVIE KHAS ‘SORAKAN BOLA @ 2’ DI TV2

Tidak sekadar menyiarkan program-program khas sukan, RTM juga sempena sambutan Piala Dunia pertengahan bulan ini turut menghidangkan dua telemovie khas bertemakan bola sepak untuk dikongsi bersama penonton setia salurannya.

Menariknya dua telemovie khas Muka Ketat Baju Ketat yang disiarkan pada 10 Jun 2010 (Khamis) dan Bola Saka pada 17 Jun 2010 (Khamis), jam 10.30 malam di TV2 ini membariskan pelakon terkenal seperti Julia Ziegler, Ako Mustafa selain pelakon cantik Rozita Che Wan sebagai watak utama.

Menampilkan watak lakonan Abdul Munif, Julia Ziegler, Amyza Adnan dan Arifah Damanhuri, drama menarik Muka Ketat Baju Ketat bermula dengan watak Irwan, anak muda yang kacak namun sentiasa bermuka ketat. Segalanya dipandang sukar oleh Irwan, segalanya memeningkan. Satu-satunya keceriaan yang ada adalah ketika dia menonton kemenangan pasukan MU bersama bapa saudaranya, Sham. Itupun Irwan akan selalu merasakan MU tetap akan kalah diakhir perlawanan.

Bertentangan dengan sikap Irwan, Sham, bapa saudara Irwan lebih bersahaja dan ceria sekalipun usianya 20 tahun lebih tua dari Irwan. Sham lebih suka berbaju ketat, sendat, mengikut trend anak-anak muda terkini. Berbeza dengan Irwan yang lebih suka berkemeja atau memakai T-shirt besar, berseluar jeans lusuh. Sham suka bergaya dan menjaga penampilan dengan wajahnya sentiasa mengukir senyuman. Kedua-duanya disatukan dengan bolasepak.

Pergolakan kedua-dua mereka hanya disebabkan Irwan terlalu serius dalam semua perkara manakala Sham lebih bersikap sambil lewa sehinggakan tentang hal nafkah dan tanggungjawab anak-anak juga diambil ringan.

Masalah timbul apabila Aina, teman wanita Irwan jatuh hati kepada Sham. Ditambah dengan kes Aina, Irwan semakin sakit hati dengan Sham yang tidak bertanggungjawab. Di rumah Irwan dan Sham bergaduh besar. Irwan keluar dari rumah Sham dan menumpang di rumah kawannya. Adakah Irwan kembali ke rumah pak ciknya dan apakah yang berlaku seterusnya?

Kemudiannya menerusi slot sama disiarkan Bola Saka lakonan Rozita Che Wan, Ako Mustafa, Shaharuddin Thamby dan Fadilah Mansor mengetengahkan plot kisah lagenda Ghani Mamat, pemain bola sepak tanahair di sekitar tahun 60-an. Namanya meniti di bibir peminat bola sepak negara dan dialah wira yang bertanggungjawab menjaringkan gol kemenangan dan menjulang nama Malaysia sebagai Juara Piala Asia pada tahun 65. Bersara dari arena bola sepak, kegemilangan Ghani Mamat diambil alih pula oleh Ridwan Ghani, anak bongsu Ghani Mamat yang mewarisi bakat dan kebolehan Ghani bermain bola.

Kecemerlangan Ridwan menjadikan keluarga Ghani dianggap sebagai keluarga lagenda bola sepak. Semua mula menganggap keturunan Ghani pasti melahirkan wira-wira kebanggaan. Telahan orang ramai ternyata meleset, selepas Ridwan, tiada seorangpun anak dan cucu Ghani yang menunjukkan minat dalam sukan bola sepak. Ghani memang sedikit kecewa, namun dia sedar yang dia tidak boleh memaksa sesiapa.

Namun bagi Ridwan, dia memang menginginkan anaknya menjadi wira bola sepak, meneruskan legasi bapa dan dirinya. Keinginannnya diletakkan ke bahu Johan, anak lelaki tunggalnya yang baru berusia 10 tahun. Malangnya, Johan langsung tidak berkebolehan bermain bola walaupun sering dipaksa oleh ayahnya. Di sekolah, Johan juga tertekan apabila cikgu yang meletakan harapan besar pada Johan. Cikgu berpendapat nak dan cucu bintang lagenda akan mengharumkan nama sekolah dalam suka sepak sekolah.

Hinggalah berlaku satu kejadian dimana Ghani terpaksa membohongi cucunya itu mengatakan kononnya dia dan ayah Johan pandai bermain bola kerana rahsia saka. Ghani menggambarkkan bola tersebut mempunyai sentuhan ajaib, namun khusus untuk keturunan mereka sahaja. Sesiapa dari keturunan Ghani yang menggunakan bola tersebut pasti akan mendapat kekuatan dan secara otomatik akan pandai bermain bola. Ghani mereka reka cerita tentang kuasa dan keajaiban bola tersebut. Adakah Johan akan cuba meneruskan legasi perjuangan keluarganya sebagai pemain bola sepak negara atau sebaliknya?

Justeru pastikan anda bersorak bersama RTM memeriahkan sambutan Piala Dunia ini dengan menyaksikan drama Muka Ketat Baju Ketat pada 10 Jun 2010 (Khamis) dan Bola Saka pada 17 Jun 2010 (Khamis), jam 10.30 malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis Launches The First White Beauty Blackberry

Jersi 9 Semarakkan Demam Bola Piala Dunia