in ,

Jarang Buat Persembahan di Stesen TV, Ini Alasan Anuar Zain

Ya, memang susah nak tengok kemunculan Anuar Zain di kaca TV. Dalam setahun, boleh kira dengan jari. Mungkin Anuar Zain ada sebab dan alasan beliau sendiri kenapa tak nak muncul di stesen TV kan?

Penyanyi Anuar Zain mengakui, bayaran tidak setimpal sebagai antara sebab dia jarang tampil membuat persembahan untuk program televisyen. Menafikan dirinya sombong atau eksklusif, Anuar, 49, berkata banyak perkara perlu dititikberatkan sebelum dia muncul membuat persembahan.

Anuar Zain

“Memang saya sudah lama tidak menjayakan program televisyen. Kebiasaannya, tawaran diterima pada hujung minggu iaitu ketika jadual saya padat dengan undangan persembahan.

“Selain itu, bayaran diberikan juga tidak setimpal dengan perbelanjaan saya. Untuk persembahan, saya perlu keluarkan wang untuk membayar jurutera muzik, jurusolek, selain menyediakan pakaian dan kos pengangkutan. Harga yang diberikan perlu relevan.

“Ada ketika, bayaran diberikan tidak pulang modal. Saya bercakap bukan hanya untuk diri, sebaliknya semua artis juga mahukan bayaran yang setimpal. Memang ada ketika, penyanyi perlu berkorban, tetapi sampai bila?,”

– Anuar Zain
Anuar Zain

Anuar berkata, sebagai penyanyi, undangan persembahan adalah punca pendapatan mereka, namun ia harus setimpal dengan tenaga dan perbelanjaan yang dikeluarkan.

“Jika harga yang ditawarkan munasabah, saya tidak akan menolak. Contohnya, saya bakal menjayakan persembahan untuk sebuah acara anugerah yang disiarkan menerusi televisyen,”

– Anuar Zain

Bakal meraikan ulang tahun ke-50 pada 15 Februari tahun depan, Anuar berkata, dia merancang untuk keluar dengan album penuh sempena hari kelahirannya.

“Kali terakhir saya menghasilkan album penuh pada 2016. Insya-Allah, menjelang usia 50 tahun depan, saya mahu tampil dengan sebuah lagi album baharu.

“Untuk kali ini, ramai memberikan saranan supaya menghasilkan karya lebih ringan. Sebagai memenuhi permintaan peminat, saya mencari lagu balada yang ringan seperti yang dibawakan penyanyi K-pop,”

– Anuar Zain

Anuar ditemui pada sidang media sempena Malam Amal Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

Bakal berlangsung pada 29 Mac ini, acara itu menyaksikan Anuar bergandingan dengan Datuk Sheila Majid dan dua penyanyi Indonesia, Harvey Malaiholo serta Marcell Siahaan.

“Saya sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan tiga penyanyi yang menjadi idola. Lebih istimewa, ini persembahan pertama, saya dan Harvey beraksi di pentas yang sama,”

– Anuar Zain

Selain sibuk memenuhi undangan nyanyian, Anuar turut menceburi dunia perniagaan dengan memperkenalkan produk serum penjagaan wajah dan tudung bawal.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Seungri Diharamkan Keluar Korea Selatan Gara-gara Jenayah Pelacuran

Sekitar XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) 2019 di Zon Utara