in ,

Jamal Abdillah Lahirkan Album Baru Tak Hilang Cinta

ALBUM TAK HILANG CINTA MANTAP DENGAN KELAINAN

Jamal Abdillah merupakan Raja Pop muzik Malaysia yang paling unggul dewasa ini. Bermula daripada menjuarai Bintang RTM 1979 (satu-satunya pertandingan nyanyian di Malaysia yang mengutamakan aspek bakat semata-mata hasil penjurian mereka yang bertauliah dan arif mengenai muzik), Jamal terus menorak langkah di bawah bimbingan komposer tersohor, Ahmad Nawab (kini bergelar Dato’ Dr.) yang pernah menggilap nama-nama besar seperti Uji Rashid, Hail Amir, Sarena Hashim, Sharifah Aini dan rakan-rakan selabel Jamal seperti Khadijah Ibrahim dan Azlina Aziz.

Hasilnya, lahirlah album debut yang mendapat sambutan hangat sepanjang 1980, Perpishan Tanpa Relamu, terbitan WEA Records (kini dikenali sebagai Warner Music Malaysia). Sepanjang kariernya, Jamal tidak pernah sunyi daripada menghasilkan satu demi satu hit. Album-albumnya yang menyusul kemudian seperti Derita Cinta, Hatiku Luka Kembali, Layang-Layang, Sendiri, Mati Hidup Semula, Untukmu, Sepi Seorang Perindu, Seniman Menangis, Jamal (album terlaris Jamal yang mencatat jualan hampir 300,000 unit), Penghujung Rindu, Samrah dan Aku Penghiburmu mendapat sambutan luar jangkaan daripada penggemar muzik tanahair, dan sering mencapai taraf Gold, Platinum dan Double Platinum! Secara keseluruhan, jualan album Jamal sepanjang menjadi bintang naungan Warner Music telah mencatat sebanyak hampir 1.2 juta unit!!!

Tatkala pada masa-masa tertentu jualan album di pasaran lembab akibat kemerosotan ekonomi (pada tahun-tahun 1985 dan 1997), album-album Jamal tetap laris mengalahkan saingan terdekatnya. Namanya menjadi sebutan bibir para peminat muzik tanahair, dan sering menggungguli carta lagu-lagu popular suatu masa dahulu, LPMI dan Pujaan 10 Nescafe menerusi siaran Rangkaian Nasional (kini bergelar Klasik Nasional).

Kejayaan ini meletakkan beliau sebaris dengan nama-nama besar mzuik tahun 80an seperti Sudirman, Francisca Peter dan Noor Kumalasari. Kehebatan Jamal bukan sahaja dapat melantunkan vokalnya melalui lagu-lagu balada dan pop sahaja, malah mampu membuatkan para peminatnya menitiskan airmata tatkala beliau melagukan rentak tradisional Melayu.

Selain menyanyi, Jamal juga merupakan seorang pelakon bertaraf box office yang mampu menarik jutaan penonton ke panggung menerusi lakonanya di dalam Azura, Tuah, Kekasih Awal dan Akhir serta Sejati, sekadar menyebut beberapa judul filem hitnya. 

Berita baik buat pemuja dan pengikut Raja Pop unggul ini. 16 April 2009 akan menyaksikan satu lagi sejarah dunia pop bakal dilakar di persada muzik tanahair. Tak Hilang Cinta merupakan album terbaru dari Raja Pop kesayangan ramai ini. Album yang ke-20 bersama Warner Music ini memperlihatkan sisi Jamal yang belum pernah dipamerkan sebelum ini. Buat pertama kalinya, Jamal bekerjasama dengan penerbit baru yang belum pernah menerbitkan mana-mana album Jamal sebelum ini, Shah.

Untuk mengekalkan nuansa melodik seorang raja, Jamal turut bergandingan bersama Eddie Marzuki dan Adnan Abu Hassan bagi melunaskan beberapa buah lagu yang lain. Paling menarik, untuk memperlihatkan bakat sebra bolehnya, jamal turut bekerjasama dengan Daly dari AhliFiqir dalam  sebuah lagu berbentuk medley. Tak Hilang Cinta mempertaruhkan “Apa Lagi” sebagai single pertama; apa yang mengujakan tentang lagu ini ialah rentak funk yang belum pernah diterokai Jamal sebelum ini.

Lagu ini merupakan ciptaan Rohunaim, seorang pencipta baru yang meningkat naik. Antara lagu-lagu lain yang dimuatkan di dalam Tak Hilang Cinta termasuklah “ Tak Hilang Cinta Di Dunia”, “Waktu Kerinduan”, “Cinta Dua Darjat”, “Di Mana Akhirnya” (ciptaan solo Jamal), “ Akulah Kekasihmu” ( sebuah ciptaan Jamal dengan lirik nukilan Ad Samad), “Keindahan Mimpi” (ciptaan solo Jamal) dan beberapa buah lagu lagi.     

 

Berikut disertakan senarai lagu-lagu yang terkandung di dalam Tak Hilang Cinta:

  1. Tak Hilang Cinta Di Dunia (lagu/lirik: Rohunaim)
  2. Apa Lagi (lagu/lirik: Rohunaim)
  3. Cinta Dua Darjat (lagu: Adnan Abu Hassan / lirik: Faris)
  4. Di Mana Akhirnya (lagu/lirik: Jamal Abdillah)
  5. Waktu Kerinduan (lagu/lirik: Rohunaim)
  6. Akulah Kekasihmu (lagu: Jamal Abdillah / lirik: Ad Samad)
  7. Terpesona Dusta feat. Daly AhliFiqir
  8. Lagu/lirik Terpesona : Shorty Robin (Clique Fantastique)
  9. Lagu/lirik Dusta  : Hakcipta Terpelihara
  10. Adaptasi Lirik : Jamal / Palot / Daly
  11. Keindahan Mimpi (lagu/lirik: Jamal Abdillah)
  12. Ku Sejiwamu (lagu/lirik: Rohunaim)
  13. Kembara Yang Indah (lagu: Adnan Abu Hassan / lirik : Faris)   

Lagu 1, 2, 5 & 9 – Penerbit: Shah

Lagu 4, 6, 7 & 8  – Penerbit Bersama: Eddie Marzuki & Jamal Abdillah

Lagu 3 & 10 – Penerbit: Adnan Abu Hassan

Mengagumkan, bukan? Tak Hilang Cinta sudah pasti akan membuatkan 2009 lebih hebat dan berdinamik, sama ada untuk pengikut setia Jamal, mahupun bagi pencinta muzik secara am.

Sekiranya Tak Hilang Cinta berjaya mencatat sejarahnya tersendiri di kala kelesuan ekonomi dunia dan pelbagai masalah lain yang merintangi hidup, maka Jamal terus membuktikan keunggulannya sebagai anak seni yang tiada tolok bandingan. Sudah tiba masanya sang raja ini diangkat sebagai Maharaja Pop! Tak Hilang Cinta, hanya ekslusif dan unggul dari Warner Music Malaysia.  

Diskografi Jamal Abdillah bersama Warner Music:

  1. Perpisahan Tanpa Relamu 1980    
  2. Derita Cinta 1981
  3. Hatiku Luka Kembali 1982   
  4. Layang-layang 1983 
  5. Mati Hidup Semula 1986 
  6. Untukmu 1988 
  7. Sepi Seorang Perindu 1989 
  8. Seniman Menangis 1990  
  9. Sendiri 1990   
  10. Jamal 1991   
  11. Penghujung Rindu 1994
  12. Suratan Kasih 1996   
  13. Penawar Kasih 1997   
  14. Samrah Mentari 1998   
  15. Segala Cinta 2002   
  16. Raja Pop(kompilasi) 2003 
  17. Aku Penghibur 2005 
  18. Raja Cinta (kompilasi) 2006 
  19. Live @ Istana Budaya 2007 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dayang Nurfaizah Back With New Single LATELY

Sanchi Plus Penawar Ajaib Pelbagai Penyakit