in

Isu Kontroversi Siri Dokumentari Enigmatic Malaysia Di Indonesia

KONTROVERSI SIRI DOKUMENTARI “ENIGMATIC MALAYSIA” DI INDONESIA

Siri dokumentari “Enigmatic Malaysia” terbitan KRU Studios dan diberikan hak penyiarannya kepada Discovery Channel di 21 buah negara telah menimbul kontroversi di kalangan media Indonesia baru-baru ini.

Ini adalah kerana salah faham berkaitan “promo” yang disunting oleh pihak Discovery Networks Asia-Pacific untuk mempromosikan siri dokumentari tersebut yang turut menonjolkan gambar tarian Pendet (dari Bali, Indonesia) dan telah disalah-ertikan sebagai iklan mempromosi industri pelancongan Malaysia diperingkat antarabangsa. Gambar tarian Pendet ini telah didapatkan oleh pihak Discovery dari pihak ketiga dan bukan dari pihak KRU Studios.

“Pihak kami telah memaparkan sejenis tarian Jawa (bukan tarian Pendet) didalam salah satu siri dokumentari tersebut yang berjudul “Batik”.  Segmen ini menceritakan asal-usul Batik yang dikatakan berasal dari kalangan keluarga Diraja di Jawa beratus-ratus tahun dahulu sebelum melalui proses evolusi dan berubah menjadi Batik yang beridentitikan Malaysia. Sebagai ilustrasi kreatif, segmen ini telah dilakonkan semula dan turut menyelitkan tarian tersebut. Walaubagaimanapun, visual yang dipaparkan didalam “promo” terbitan Discovery itu bukan dari visual arkib kami. Malah skop penceritaan juga adalah terjurus kepada pembuatan Batik dan bukannya berkenaan sebarang tarian” menurut Norman Abdul Halim selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios.

Adalah difahamkan, pihak Discovery telah menamatkan penyiaran “promo” tersebut dan akan menggantikannya dengan “promo” yang baru sekaligus menggeluarkan gambar penari tarian Pendet yang telah mencetuskan kontroversi ini. Pihak Discovery juga telah menggeluarkan kenyataan akhbar dan kekesalan mereka berkenaan isu ini.

Pihak KRU Studios juga telah membuat penjelasan berhubung perkara ini melalui satu temuramah siaran langsung di TV One, Indonesia pada 24hb Ogos bersama Menteri Kebudayaan dan Pariwisata Indonesia, Bapak Jero Wacik dan kepada Duta Besar Republik Indonesia di Malaysia pada 25hb Ogos.

Pihak KRU Studios berasa kesal kerana niat ikhlas kami untuk menyatakan asal-usul Batik telah disalah-ertikan dan diekploitasikan menjadi isu sensitif didalam hubungan diplomatik diantara Malaysia dan Indonesia.

Secara ironiknya, salah satu episod dokumentari “Enigmatic Malaysia” berjudul “Melakan Portuguese” telah memenangi salah satu anugerah di Bali International Film Festival tahun lalu.

Siri dokumentari “Enigmatic Malaysia” kini disiarkan secara eksklusif di Discovery Channel dan turut memaparkan judul-judul lain termasuk “Keris”, “Bajau Laut”, “Kellie’s Castle”, “Wau” dan “Melakan Portuguese”.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Apa Kata Wanita Bersama Zamzarina Sempena Merdeka

Gambar Carissa Putri Muncul Dalam Filem Date With Danella