in , ,

Ippo Hafiz Naik Pelamin Sebelum Berduet Dengan Tulus

Penyanyi Ippo Hafiz, 30, menyifatkan peluang mengembangkan bakat di Indonesia sebagai rezeki sempena hari pernikahannya pada 24 Ogos ini.

Ippo berkata, impiannya ke negara jiran menjadi kenyataan apabila bakal berkolaborasi dengan penerbit yang pernah bekerjasama dengan penyanyi popular Indonesia, Tulus, tahun depan.

Ippo atau nama penuhnya Muhammad Hafiz Yaziz, berkata dia juga tidak sabar menanti maklum balas peminat muzik di sana, selain melihat ia sebagai permulaan langkah untuk mengukir nama dengan lebih kukuh.

“Sudah setahun saya berkomunikasi dengan penerbit Tulus iaitu Ari Renaldi dan Alhamdulillah kami akan berkolaborasi menerusi single pertama bersama, tahun depan.

“Ia permulaan yang sangat mengujakan kerana peluang mengembangkan kerjaya di Indonesia adalah impian sejak dahulu lagi,”

– Ippo Hafiz

Tambah Ippo, melihat perancangan membina kerjaya muzik di Indonesia tersusun baik, dia enggan bertangguh untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Fara Roslan.

Dalam debaran menghitung hari untuk disatukan pada 24 Ogos ini, Ippo percaya, niat baik mereka itu pasti membuka pintu rezeki yang lebih luas.

“Saya fikir, lebih baik mendirikan rumah tangga sebelum mengembangkan kerjaya di Indonesia. Sudah sampai masa untuk saya menjadi suami, meskipun usia perkenalan saya dan bakal isteri masih baru.

“Kami berkenalan pada akhir tahun lalu, tetapi dia cepat faham dengan cara kerja saya. Kami juga pernah melalui pengalaman yang sama dalam perhubungan lalu dan itu membuatkan kami serasi.

“Dia membuatkan hidup saya lengkap dan apabila perasaan itu semakin kuat, saya rasa tidak perlu melambat-lambatkan perkara yang baik,”

– Ippo Hafiz

Tambah Ippo, dia juga bersedia melangkah ke alam rumah tangga memandangkan sudah menjadi bapa kepada anak angkatnya, Cinta Rizky Amanda sejak tiga tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Ippo bakal mengeluarkan tiga single terbaru, termasuk Saat Bahagia yang dihasilkan sempena majlis perkahwinannya sebagai kenangan terindah untuk bakal isteri.

Sumber: Ippo Hafiz

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Penyanyi Hip Hop Aman RA Akui Sudah Berkahwin

Hael Husaini Pujuk Siti Nurhaliza Nyanyi Anta Permana di Separuh Akhir Muzik Muzik