in , ,

Inteam Mendaki Tangga Trending Kini Dengan WANITA

Selepas mendapat kedudukan sohor kini (trending) nombor 1 dan 2 di YouTube bagi single mereka berjudul Dia dan kolaborasi terbaru bersama Khai Bahar berjudul Setanggi Syurga 2020, percubaan Inteam melancarkan karya seterusnya berjudul Wanita kini mula menampakkan hasil selepas mendaki tangga trending ke 15 dengan jumlah tontonan melebihi 80 ribu tontonan dalam masa 24 jam.

Ditanya mengenai perasaan apabila lagu ini dipilih untuk dinyanyikan semula, Hisyam Ahmad yang merupakan penyanyi asal, pencipta lagu dan lirik Wanita menerangkan:

“Lagu ini saya nyanyikan sewaktu saya bersama kumpulan Dehearty suatu masa dulu, saya bersyukur kerana lagu ini dipilih untuk dinyanyikan semula bersama Inteam setelah saya kembali bersama kumpulan ini, ia merupakan suatu penghargaan bagi saya,”

“Alhamdulillah, sejak dilancarkan semalam, karya baru kami dalam bentuk nyanyian semula (cover version) ini nampaknya mendapat sambutan yang sangat baik dari peminat,”

– Syah

Lagu berjudul Wanita pernah dipopularkan kumpulan Dehearty pada tahun 2005 di mana pada masa itu Hisyam merupakan vokalis utama kumpulan tersebut.

“Lagu ini mengandungi mesej yang sangat mendalam terhadap insan bergelar wanita yang menerangkan betapa mulia dan tingginya kedudukan mereka dalam Islam, bahkan lagu ini juga sesuai untuk para lelaki mengambil iktibar supaya menjaga amanah mendidik dan melindungi wanita dari sebarang keburukan,”

– Hazamin

Menurut Inteam lagi, video muzik kali ini menampilkan seorang ikon wanita media sosial yang popular iaitu Aisyah Hijanah yang memegang watak utama dalam penceritaan visual lagu ini.

“Aisyah Hijanah sangat bersesuaian dengan watak yang digambarkan dalam lagu ini dan beliau memberi komitmen yang sangat baik sepanjang rakaman diadakan, bahkan terus menyokong dengan berkongsi pautan lagu ini di media sosial beliau,”

– Rahim

Menurut komen-komen yang diberikan penonton di ruangan komen di rangkaian YouTube Inteam Digital itu, rata-rata mengatakan watak Aisyah Hijanah dalam video muzik tersebut menjadi inspirasi kepada para wanita untuk menjaga peribadi dan akhlak mereka.

Lakonannya di penghujung video muzik tersebut diadaptasi dari kisah benar seorang Muslimah di Amerika Syarikat yang terselamat dari gangguan penjenayah rogol kerana dilihat seperti diiringi penjaga berkat beramal dengan Ayat Kursi serta menjaga maruah sebagai wanita solehah.

Lagu Wanita nyanyian Inteam ini baru sahaja dilancarkan secara rasmi pada hari Jumaat bersamaan 10 Julai 2020 di rangkaian YouTube Inteam Digital dan semua platfom digital rasmi yang lain seperti Spotify, Deezer, Joox, KKbox, Itunes, Apple Music dan lain-lain.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Black Hanifah Muncul dengan Single Terbaharu Berjudul SABAR

Rayhan Kabir Sudah Ditahan, Bakal Diusir dari Malaysia