in ,

INCEIF & Medkad Edarkan Kit Ujian Kendiri Covid-19 Salixium Kepada Penuntut

Sejajar dengan inisiatif menyediakan suasana yang selamat kepada para penuntut dan pekerja, dan memastikan langkah kawalan dan pencegahan pandemik COVID-19 yang ditetapkan oleh universiti berjalan lancar, INCEIF berkolaborasi dengan MeDKAD untuk mengedarkan kit ujian kendiri SALIXIUM kepada para penuntut dan pekerja pada bulan pembukaan semula

The Global University of Islamic Finance atau INCEIF membuka semula kampusnya pada bulan Oktober 2021 dengan langkah kawalan dan pencegahan pandemik COVID-19 yang ketat, serta prosedur operasi standard yang wajib dipatuhi semua warga universiti. Demi memastikan keselamatan para penuntut dan pekerja yang mula kembali, pihak pengurusan INCEIF melalui Jawatankuasa Tindakan COVID-19 yang ditubuhkan telah menambah satu lagi langkah berjaga-jaga sebelum mereka dibenarkan masuk ke kawasan rasmi kampus. 

Sejajar dengan misi ini, INCEIF telah berkolaborasi bersama MeDKAD untuk memperkenalkan inisiatif ujian kendiri dengan mengedarkan sehingga 250 pek kit ujian kendiri COVID-19 SALIXIUM yang membenarkan 2 pusingan ujian, setiap dua minggu kepada para penuntut dan pekerja (dipilih berdasarkan asas layan dahulu atau ‘first come first serve’) pada bulan pembukaan semula ini. Kolaborasi ini juga menyaksikan INCEIF dan MeDKAD membincangkan cara untuk terus menyumbang kit ujian kendiri pada bulan-bulan November dan Disember 2021 sebagai salah satu di antara usaha universiti untuk memastikan kampus INCEIF bebas daripada jangkitan COVID-19.

Jawatankuasa Tindakan COVID-19 INCEIF

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Prof Dato’ Dr Azmi Omar, “INCEIF amat berbangga untuk bekerjasama dengan MeDKAD untuk mengedarkan produk mereka, kit ujian kendiri COVID-19 SALIXIUM – produk pertama seumpamanya yang dibuat di Malaysia, kepada para penuntut dan pekerja INCEIF yang mula pulang ke kampus sepanjang bulan Oktober ini. Aspek perlindungan dan keselamatan para penuntut dan pekerja kami adalah amat penting bagi pihak pengurusan. Langkah berjaga-jaga sangat perlu untuk mengelakkan potensi penyebaran virus COVID-19 di kampus universiti. Adalah amat penting untuk kesemua warga universiti mengetahui bahawa virus COVID-19 tidak membezakan di antara sempadan, etnik, status keupayaan, umur atau jantina. Suasana pembelajaran harus sentiasa dipastikan agar ianya bersifat inklusif, terhormat, selesa dan menggalakkan. 

Penuntut dan pekerja menerima kit ujian

Langkah-langkah yang ditetapkan oleh institusi boleh mengelakkan permulaan atau penyebaran virus COVID-19 oleh para penuntut dan pekerja yang mungkin telah terdedah kepadanya, justeru mengurangkan gangguan dan melindungi warga universiti dari sebarang diskriminasi. Bersama-sama dengan sokongan MeDKAD, kami bukan sahaja berharap untuk menyediakan suasana yang selamat buat semua, tetapi menyediakan satu preseden untuk institusi pembelajaran yang lain dan memberi inspirasi bagi mereka untuk melancarkan inisiatif yang serupa. Sesungguhnya ini merupakan tanda sokongan kita kepada usaha kolektif untuk memerangi penyebaran virus COVID-19 di negara ini”.

Pembahagian kit ujian di lorong istimewa

Ezuan Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD pula berkata, “Ujian kendiri sangat penting sebagai respon pertama bagi sebarang kemungkinan jangkitan virus COVID-19 dan produk kami, SALIXIUM, adalah alat yang amat efektif untuk mengesan kehadiran virus tersebut di tempat penjagaan. Sebagai pemain industri tempatan, ianya merupakan misi kami untuk memastikan agar kit ujian kendiri ini dapat digunakan oleh semua rakyat Malaysia dan mereka yang menetap di negara ini, dan memastikan agar kita semua dapat mematahkan serangan pandemik yang berlarutan serta krisis kesihatan lain di masa hadapan. 

Bagi pihak MeDKAD, kami juga berbangga dapat berkolaborasi dengan INCEIF dalam inisiatif yang dinamik dan penuh bermakna ini. Kami akan sentiasa berusaha dengan lebih baik untuk mengeluarkan serta menyumbang kit ujian kendiri COVID-19 berkualiti justeru menyumbang kepada situasi sosioekonomi negara”.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

tony fernandes airasia-2020

Hanya Tetamu Yang Divaksin Sepenuhnya Akan Diterima Dalam Penerbangan AirAsia

Google Kini Menjadikan Log Masuk Lebih Selamat & Mudah