in

Hito Idol Theatre Slot Drama Taiwan Hot Shot

Khas dan buat pertama kalinya di Malaysia, 8TV memperkenalkan satu slot baru bagi mengisi kehendak dan permintaan pencinta drama Taiwan.  

Hito Idol Theatre Slot di perkenalkan bermula 16hb Ogos lalu pada jam 6.30 petang, menampilkan drama bersiri popular dengan barisan pelakon popular Taiwan iaitu Hot Shot.

“Slot baru ini diperkenalkan khas buat peminat-peminat setia drama Taiwan.  Kami telah memberikan banyak drama hit dari Korea dan Jepun sebelum ini, dan sudah tiba masa untuk kami memberikan apa yang terbaik buat peminat setia yang dambakan dram hits dari Taiwan pula,” kata Pengurus Besar Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Cik Lam Swee Kim.

“Untuk memanaskan ruang slot baru ini, kami memberikan yang terbaik dan sudah tentunya Hot Shot yang menampilkan barisan pelakon popular Taiwan masa kini seperti Jerry Wan, Wu Zhun, Show Luo, Zhou Cai Shi, Coco Jiang dan  George Hu sesuai sebagai permulaan.” Tambah Kim lagi.

Mulai 16 hb Ogos, petang Sabtu anda pastinya tidak akan menjadi sama lagi kerana Hot Shot yang dibintangi oleh tiga idola yang paling kacak dan hangat dari Taiwan telah bergabung tenaga untuk menghasilkan produksi yang fantastik ini.

“Sempena bulan Olimpik, kita bercadang untuk menyiarkan drama Taiwan yang memberikan inspirasi dan berciri sukan bersamaan dengan demam Olimpik kini.  Sudah tentunya ia tidak sama dengan drama lain kerana dilaporkan sebanyak $60 juta dolar wang telah dihabiskan untuk manghasilkan produksi yang besar dan hebat ini disamping barisan tiga pelakon paling berbakat Taiwan ini,” ujar Kim.

“Drama ini begitu fenomenal sehingga permintaan terhadap barangan produknya begitu tinggi dan ia habis dibeli oleh peminatnya semenjak ia dikeluarkan. Ini menjadikannya Hot Shot drama Taiwan yang paling laris dalam sejarah idol drama di Taiwan,”

“Saya juga pasti semua peminat bagi ketiga-tiga idola yang hangat ini akan berasa begitu gembira untuk menyaksikan idola kegemaran mereka di Hot Shot. Drama ini pasti akan mencetuskan “demam ” di kalangan peminat dan penonton kegemaran kita,” tambah Kim lagi

Hot Shot merupakan sebuah drama yang berinspirasi yang melibatkan impian dan harapan yang semua orang berharap untuk menunaikannya. Hot Shot ialah sebuah cerita tentang pemain bola keranjang yang bergelut untuk bersaing menjadi pemain yang terbaik dan mendapat penghargaan tertinggi dari kolej bola keranjang. Ia merupakan kombinasi kegagalan dan saat- saat kejayaan yang manis.

Hot Shot dibintangi oleh tiga idola dari Taiwan iaitu Jerry Yan, Wu Zun dan Show Luo yang bukan sahaja mempunyai rupa paras yang kacak tetapi juga berbakat pada masa yang sama. Drama ini berputar di sekeliling persaingan antara dua kumpulan bola keranjang yang popular iaitu Pi Li dan Tian Wu.

Di sebuah sekolah di mana akademik dianggap lebih penting daripada sukan, Li Ying dilakonkan oleh  seorang model dan sekarang bergelar pelakon Coco Jiang (yang pernah membintangi drama Angel Lover, tahun 2007) bergiat untuk membangkitkan kembali kumpulan bola keranjang dengan menghulurkan bantuan secara sukarela untuk menjadi ketua pasukan. Ahli pertamanya ialah Yuan Da Ying, seorang lelaki kampung yang amat menyukai bola keranjang tetapi tiada kemahiran.

Peranan Yuan Da Ying dilakonkan oleh Show Luo juga merupakan pengacara, penyanyi dan pelakon yang amat berbakat. Dia ialah seorang pemain yang mempunyai bakat terpendam dan juga berharap untuk mengalahkan kumpulan saingannya iaitu Tian Wu, dia mencabar pemain bola keranjang terhandal dan berpengaruh Dong Fang Xiang yang dilakonkan oleh Jerry Yan.

Yuan yang bersifat lurus dan positif tiada ragu-ragu untuk menyakinkan Dong yang dikenali sebagai seorang yang sombong untuk memasuki kumpulan Pi Li demi memenangi pertandingan tersebut. Kedua – dua mereka bersama janji untuk mengalahkan setiap pemain saingannya termasuklah pemain terbaik Tian Wu iaitu Wu Ji Zun yang dibintangi oleh jejaka kacak iaitu Wu Zun.

Pada masa yang sama, Yuan dan Dong jatuh cinta pada Zhan Ji Er yang dilakonkan oleh pelakon dan model yang jelita Zhou Cai Shi, mencetuskan lebih banyak perselisihan faham di antara mereka.

Mungkinkah Dong dan Yuan melupakan isu – isu peribadi mereka dan berganding bahu untuk mengalahkan Wu? Atau mungkinkah kumpulan Tian Wu menghapuskan kumpulan Pi Li? Jangan lupa untuk saksikan Hot Shot mulai 16hb Ogos 2008, setiap Sabtu pada 6.30malam hanya di 8TV. Janga ketinggalan! 8TV juga disiarkan di Astro Saluran 708.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rakaman Rumah Terbuka Wanita Hari Ini & Nona

I PROPOSE Ungkap Cinta di Udara 8TV