in ,

Hisham Ahmad Tajudin, Shahrul Kamal dalam Drama Qasidah Mufarid

SLOT CITRA KHAS SEPANJANG SYAWAL : 4 DRAMA ISTIMEWA BERTEMAKAN AIDILFITRI

Ketibaan Aidilfitri 1430 Hijrah ini, menyaksikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghiaskan slot Citra Khas Hari Raya dengan empat buah drama menarik sarat dengan pengajaran melalui pelbagai genre, Qasidah Mufarid (Jumaat, 18 September 2009, 11.30 malam), Satu Yang Kekal (Sabtu, 19 September 2009, 9.20 malam), Secebis Doa Di Pagi Syawal (Ahad, 20 September 2009, 12.30 tengahari), Bebayang Fitri (Jumaat, 25 September 2009, 8.30 malam). Kesemua drama yang berdurasikan hampir 2 jam setiap tayangannya ini bakal menemui penonton DI saluran Dunia Ria TV2. 

Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, yang berjudul Qasidah Mufarid adalah antara drama yang akan mengisi Slot Citra Khas Hari Raya pada 18 September 2009 bermula jam 11.30 mlm. Drama berunsur kekeluargaan ini mengisahkan tentang empat beradik bernama Sarah, Reen, Daniel, dan Ana yang terpaksa melalui kehidupan tanpa ibu bapa mereka iaitu Hamdan dan Rokiah yang meninggalkan mereka tanpa sebarang berita sejak beberapa bulan akibat perceraian.

Demi menyara hidup sarah sebagai anak sulung bekerja sambilan sementara adiknya Daniel walaupun masih bersekolah, bekerja sebagai pelakon untuk menyara kehidupan mereka berempat. Daniel sering ponteng sekolah untuk memenuhi jadual lakonannya. Hal itu menimbulkan kesangsian pihak sekolah terutamanya Cikgu Zul sebagai guru kelasnya. Cikgu Zul sentiasa mengambil berat tentang Daniel sehingga pada hari raya Cikgu Zul dan isterinya meraikan hari raya bersama mereka berempat. Drama ini dilakonkan oleh Nasriah Ngasri, Shahrul Kamal, dan Hisham Ahmad Tajudin sebagai teraju utama.

Sempena Syawal ini juga, slot Citra turut dilengkapi dengan satu lagi drama berjudul Satu Yang Kekal yang mengisahkan tentang perpecahan institusi kekeluargaan. Kisah bermula apabila Anisah, ibu kepada Amran yang kematian suami bertemu jodoh dengan lelaki bernama Shafie. Kehadiran Atiqah, anak perempuan hasil dari perkahwinan mereka menyebabkan Amran salah faham dan cemburu.

Ketegasan Shafie dalam menentukan arah hidup anak tirinya menghalang cita-cita Amran untuk belajar muzik, sehingga beliau mengambil keputusan untuk melangkah keluar dari rumahnya dan bekerja sebagai kelasi kapal. Setelah 9 tahun selepas itu, Anisah menerima kad raya dari anak kesayangannya Amran yang menyatakan beliau ingin pulang berhari raya bersama dan terlalu rindu pada ibunya itu. Anisah sangat gembira membuat persiapan raya kerana anak lelakinya akan pulang ke rumah setelah sekian lama menyepi.

Dalam persiapan Amran membeli-belah untuk ibunya di kota, beliau terlibat dalam tragedi ragut yang telah mengakibatkan kematiannya. Pagi Aidilfitri Anisah menjadi pilu dengan pulangnya jenazah Amran ke rumah yang dibawa oleh teman baik Amran bernama Ichuk. Drama syahdu ini akan diterajui oleh Aida Radwill, Wan Ilyas, Almy Nadia dan Arash Mohamad yang bakal menemui penonton pada 19 September 2009 bermula jam 9.20 mlm.

Slot Citra sempena aidilfitri ini pasti lebih bermakna dengan tontonan drama berjudul Secebis Doa di Pagi Syawal lakonan Fahrin Ahmad, Marisa Yasmin dan Sari Yanti yang akan bersiaran pada 20 September 2009 pada jam 12.30 tgh. Drama ini mengisahkan tentang kehidupan Shahril yang merajuk hati dengan ibunya Mak Lijah dan kakaknya Safiah kerana menghalang perkahwinannya. Ibunya menghalang perkahwinan itu kerana mahu Shahril menumpukan perhatian pada pengajiannya namun beliau tetap berkahwin dengan Lorna. Shahril mengambil keputusan untuk tidak pulang ke tanah air setelah tamat pengajian di Amerika.

Setelah kembalinya ke tanahair, dia langsung tidak pulang menjenguk ibu dan kakaknya di kampung disamping turut mengenepikan keluarga dan agama. Shahril tidak mempedulikan ibadah puasa di bulan Ramadhan malah turut menghalang Lorna dari berpuasa dengan alasan bimbang akan menjejaskan kandungannya. Lorna kecewa dengan sikap Shahril kerana beliau teringin untuk menjalani ibadah itu. Perubahan sikap Shahril turut disedari oleh rakan sekampungnya Zul yang banyak memberi nasihat namun tidak diendahkannya. Menjelang Aidilfitri, Setelah Lorna melahirkan anak mereka, beliau sedar akan kesilapannya lalu kembali kepangkuan keluarga. Saksikan drama terbitan Gama Taktik Sdn Bhd ini yang akan muncul di TV2. 

Drama berjudul Bebayang Fitri akan menyusul pada 25 September 2009 jam 8.30 mlm berkisarkan tentang kekecewaan Fitri terhadap ayahnya Manaf sehingga beliau tidak pulang ke kampung setelah 7 tahun lamanya meskipun untuk berhari raya. Ibunya Safiah amat merindui Fitri dan sentiasa berharap anak lelakinya itu akan pulang. Kenakalan Fitri sejak kecil sering menimbulkan kemarahan ayahnya sehingga dia merasa dirinya tidak berguna lagi pada keluarga dan bertekad untuk meninggalkan kampung serta merantau jauh dari keluarga.

Saban tahun Fitri meninggalkan keluarga, Safiah merasa amat merindui anaknya tambahan lagi, kemeriahan raya tahun ini pasti bermakna dengan kepulangan abangnya Imran bersama isterinya yang merupakan saudara baru. Manaf sedar akan hal itu dan turut merindui anaknya dan turut mengharap dia pulang beraya bersama namun keegoan seorang ayah mengatasi segalanya. Kerinduan mereka terhadap Fitri bertambah membara dengan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. Adakah Fitri akan pulang berhari raya? Adakah Manaf akan menerima semula Fitri sebagai anaknya? Bersama menonton drama terbitan Gong Klasik Sdn Bhd lakonan Faizal Yusof, Kartina Aziz dan Abu Bakar Omar serta ramai lagi pelakon hebat yang penuh dengan airmata.

Saksikan empat drama-drama istimewa melalui slot Citra Khas sempena Hari Raya Aidilfitri ini yang pastinya akan menemui penonton-penonton setia saluran Dunia Ria hanya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Cover Album Tahajjud Cinta Siti Nurhaliza

Shamshul Ghau Ghau dan Nik Sayyidah Konsert Raya Pop Yeh Yeh