in ,

Hazamin Inteam Sertai Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria

Di saat dunia sedang berhadapan dengan pandemik yang menyukarkan, namun nasib saudara kita di kem-kem pelarian di Syria tidak sepatutnya dilupakan. Salah seorang anggota kumpulan Inteam iaitu Muhammad Hazamin Bin Harun kini berada di utara Syria bagi menyertai Misi Kemanusiaan Musim Sejuk bersama delegasi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.

Beliau yang telah berangkat ke sana bersama isteri sejak 22 Januari yang lalu melalui Turki, kini berada di daerah A’zaz di utara Syria berhampiran sempadan Turki. 

“Alhamdulillah keadaan kami di sini baik-baik sahaja. Urusan mengagihkan barangan keperluan musim sejuk seperti bahan bakar, bahan makanan asas, alat pemanas dan baju sejuk berjalan dengan lancar. Sebanyak lima lori Kontena berisi muatan tersebut telah pun diagihkan kepada sasaran puluhan ribu penghuni kem-kem pelarian Syria di sini untuk kegunaan musim sejuk ini” ulas Hazamin. 

“Hati saya menjadi sangat sayu dan sebak apabila melihat anak-anak kecil kesejukan di khemah-khemah mereka di sini. Senyuman terukir di wajah mereka apabila kami memakaikan mereka dengan baju sejuk, topi dan kasut yang menghangatkan mereka hasil sumbangan rakyat Malaysia yang sangat prihatin” tambah beliau lagi. 

Hazamin Inteam Sertai Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria

Menurut Hazamin lagi, Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria kelolaan Peduli Insan ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM3 juta bagi memastikan hampir 80,000 pelarian di khemah-khemah di sini mendapat bantuan walaupun sebenarnya terdapat lebih dari 400,000 ribu pelarian yang tinggal di puluhan kawasan perkhemahan di utara Syria ini. 

“Ini kali pertama saya menyertai misi sebegini dan sejujurnya saya menangis melihat keadaan sekolah anak-anak Syria di khemah pelarian ini yang berlantaikan tanah dan lumpur serta berdindingkan khemah sahaja. Anak-anak kita di Malaysia harus bersyukur kerana masih mampu belajar dengan selesa walaupun secara dalam talian” tambah Hazamin lagi. 

Hazamin Inteam Sertai Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria

Menurut beliau, misi dan kutipan dana ini akan diteruskan lagi sehingga 28 Februari ini dan diuruskan oleh para sukarelawan di Syria walaupun delegasi mereka akan pulang ke tanahair pada minggu hadapan. Maklumat lanjut mengenai sumbangan ini boleh didapati dari laman sesawang www.peduliinsan.org.

Hazamin Inteam Sertai Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria
Hazamin Inteam Sertai Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulas Isu Curang Berlaku Dengan Izin Allah, Akhirnya Andika Putera Buat Permohonan Maaf

Amaran Apple MagSafe & iPhone 12 Boleh Menggangu Prestasi Alat Perubatan