in , ,

Hasilkan Filem REMP-IT 2, Zul Huzaimy Minta Restu Ahmad Idham

Pengarah dan pelakon terkenal, Zul Huzaimy menyatakan dia telah meminta restu daripada pengarah Remp-It iaitu Ahmad Idham bagi menghasilkan kesinambungan filem berkenaan.

Zul berkata, dia sendiri datang berjumpa dengan Ahmad Idham untuk memberitahu niatnya menghasilkan Remp-It 2 dan ternyata ia mendapat sokongan sepenuhnya daripada pengarah tersebut.

“Sebelum ini saya memamg ada berjumpa dengan beliau bagi menyatakan hasrat saya itu. Saya rasa perlu meminta restu sendiri daripadanya memandangkan dia adalah pengarah asal.

“Ternyata beliau telah memberikan sepenuh sokongan kepada saya untuk menghasilkan filem ini. Dia juga berharap agar filem tersebut akan sukses di pawagam nanti,”

– Zul Huzaimy

Zul yang turut menulis skrip dan berlakon dalam filem berkenaan berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran filem Remp-It 2 terbitan Brighstar Pictures Sdn. Bhd yang berlangsung baru-baru ini.

Menurutnya lagi, setakat ini semuanya berjalan lancar menjelang penggambaran yang akan bermula pada bulan Julai ini. Malah, pihak penerbit juga sudah berurusan dengan Metrowealth Pictures memandangkan mereka adalah penerbit bagi filem yang pertama.

Rempit 2

Remp-It 2 yang diarahkan sendiri oleh Zul berkisarkan tentang kehidupan Spark selepas 12 tahun setelah dibebaskan daripada penjara.

Ketika ditanya apa yang membuatkan dia berhasrat untuk menghasilkan Remp-It 2, Zul memberitahu ia adalah berdasarkan kepada permintaan peminat.

“Apabila membincangkan tentang filem permotoran ini bersama peminat, perkara yang paling dibangkitkan mereka adalah mengenai rempit.

“Kemudian saya terfikir kenapa tidak dibuat sahaja kesinambungan kepada filem rempit yang dahulu. Jadi, tercetuslah idea untuk menghasilkan Remp-It 2 ini,”

– Zul Huzaimy

Dalam pada itu, antara barisan pelakon yang bakal membintangi Remp-It 2 seperti Dayana Roza, Cat Farish, Achey, Mamat Sepah, Kazar Saisi, Jaa Sazuran, Arin RL, Azlan Komeng dan Amai Kamaruddin serta penampilan istimewa iaitu Aiman Tino dan Black Hanifah.

“Buat masa ini, pihak kami sedang mencari pelakon yang memegang watak sebagai adik kepada Madi. Mungkin untuk watak tersebut akan ditawarkan kepada Shaheizy Sam, cuma perbincangan masih lagi dilakukan,”

– Zul Huzaimy

Bakal menjalani penggambaran awal Julai ini di lokasi seperti Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor, Zul menyasarkan filem berkenaan akan menemui peminat di pawagam pada Mac 2020.

Sumber: KopiPlanet.com

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Datuk Chef Wan Bertembung Chef Martin Yan, Pasukan Mana Yang Layak Digelar RAJA SAWIT

TV3 Grand Bazar Ramadan Raya 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil Dapat Sambutan