in

Gossip Artis Tak Kenang Budi

TAK sangka pula SS yang artis ini bersikap agak kurang ajar dengan orang termasuklah dengan pihak media yang banyak memberi publisiti kepadanya sehingga dia menjadi artis yang dikenali ramai sekarang. Walaupun dia belum lagi tersenarai dalam artis gred A, tetapi kalau sebut nama dia, orang kenal siapa orangnya.

Tujuan rakan SS yang bekerja di syarikat akhbar popular ke rumah artis itu adalah untuk mengadakan sesi fotografi dan temu bual dengannya. Maklum saja, semakin jarang ceritanya disiarkan dalam media, jadi mungkin peminatnya nak tahu apa aktiviti artis itu sekarang. Adakah dia sudah bersara ataupun sedang bercuti.

Ada sesetengah artis itu pula senyap seketika bukannya kerana dia tidak dapat tawaran berlakon atau menyanyi, tetapi jadual kerjanya terlalu padat sehingga dia tidak sempat untuk mengaturkan pertemuan dengan wartawan untuk menceritakan perkembangan terbarunya.

Rakan SS ke rumah artis itu pun selepas dia mengaturkan janji temu dengan artis itu, bukan sembrono ke rumahnya, nanti dikatakan tak reti bahasa pula. Lagi pun sebelum mengadakan sesi fotografi perlu dicarikan mekap artis dan baju tajaan sekiranya artis itu tidak memiliki baju sendiri untuk diperagakan.

Apabila tiba tarikh yang dijanjikan, rakan SS bersama jurugambarnya dengan semangat waja dan rasa teruja pergilah ke rumah artis itu. Walaupun rakan lain masih bercuti raya lagi, tetapi rakan SS ini sedikit pun tak kisah kerana yang penting dia dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan ketuanya.

Dipetik loceng rumah berkali-kali, tetapi seorang manusia pun tak keluar. Rakan SS telefon pula, tetapi lama juga panggilan tidak berjawab maka mereka terus menunggu depan pagar rumah itu.

Petang yang indah itu pun dah semakin suram dek kerana lama menunggu kemunculan artis itu.

Selepas hampir 20 minit barulah tersembul wajah artis berkenaan dan bukannya dia nak sambut kedatangan rakan SS dengan senyuman manis, tetapi dimarahnya pula. Katanya kenapa tak masuk terus ke dalam rumah.

Begitu pula jadinya, nanti kalau rakan SS pandai-pandai masuk rumah orang dikatakan tak reti bahasa ataupun dituduh menceroboh pula. Walaupun ilmu agama rakan SS ini bukanlah bertaraf ustaz atau ustazah, tetapi dia tahu jugalah adab ke rumah orang. Rakan SS bagaikan kehilangan kata-kata dan mereka teruskan saja kerja mengambil gambar artis itu.

Kalau terus nak bersoal jawab, semakin panjang pula kisahnya dan langsung tak jadi kerja.

Rakan SS buat tak tahu sajalah, tetapi dalam hatinya terdetik, inilah ‘wajah sebenar’ artis ini dan dia berharap tidak akan ‘dipertemukan’ lagi dengan artis ini di mana-mana acara sekali pun. Bukan serik, tetapi tak kuasa nak menatap wajahnya yang plastik itu. Dipetik dari Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Ceria Xtra Itu Aje Suria FM

Azizah Ariffin Selamat Lahir Anak Lelaki