in , ,

Gandingan Serasi Nadiya Nisaa & Farid Kamil dalam LOVE, SUPERMOON

Meneruskan tradisi menghidangkan filem-filem romantik komedi berkualiti, Grand Brilliance kali ini menampilkan gandingan dua pelakon berbakat tanah air, Nadiya Nisaa dan Farid Kamil dalam sebuah filem bertajuk ‘Love, Supermoon’. Filem romantik yang sarat dengan aksi komedi ini juga membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Rita Rudaini, Zain Saidin, Azhar Sulaiman, Anne Ngasri, Zain Hamid, Razak Ahmad, dan ramai lagi dan akan ditayangkan di pawagam pada 22 Oktober 2015.

Poster Love Supermoon

GRAND BRILLIANCE MENGGAMATKAN PANGGUNG DENGAN FILEM ROMANTIK PALING KELAKAR 2015 – LOVE, SUPERMOON

Selepas berjaya mengarahkan sebuah filem terbitan Grand Brilliance iaitu ‘Penunggu Istana’, Wan Hasliza Wan Zainudin sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem ‘Love, Supermoon’. Selain daripada mengarah filem, beliau terlebih dahulu dikenali sebagai penulis skrip dan telah menghasilkan banyak drama-drama siri popular seperti ‘Keluarga Iskandar’, ‘Jodoh’, ‘Manis’, ‘Keluarga Karaoke’ dan lain-lain. Drama yang ditulis oleh beliau iaitu ‘Geng Surau’ telah memenangi Anugerah Drama Bersiri Terbaik’ di Anugerah Skrin 2011, manakala drama bersiri ‘Keluarga Iskandar’ telah menerima ‘Anugerah Drama Bersiri Terbaik’ pada Anugerah Lawak Warna 2013.

Mengambil masa sebulan untuk difilemkan, Love, Supermoon melakarkan bandaraya Kuala Lumpur sebagai lokasi utamanya. Antara pengalaman istimewa yang dilalui oleh barisan pelakon dan krew filem ini adalah bekerja sambil menjalani ibadah puasa kerana tempoh penggambaran berlangsung ketika bulan Ramadhan.

Filem ‘Love,Supermoon’ mengisahkan tentang perjalanan hidup hero dan heroinnya selama 20 tahun yang penuh dengan kisah suka dan duka. Filem ini memaparkan saat-saat penting dalam kehidupan seperti cinta monyet zaman persekolahan, konvokesyen di universiti, temuduga kerja, alam berumah tangga dan seterusnya. Ini menjadikan filem ini sebuah naskah yang amat mudah diterima dan dekat dengan hati para penonton.

Setiap filem mempunyai cara tersendiri untuk menghubungkaitkan watak hero dan heroin. Bagi ‘Love, Supermoon’, “gosip” dijadikan medium penceritaan latar belakang kisah hero dan heroin menjadi tarikan utama filem ini. Filem romantik yang sangat kelakar ini mengisahkan tentang persahabatan lima orang sahabat yang bermula sejak bangku sekolah dan bagaimana persahabatan mereka berkembang sehingga ke zaman universiti, alam perkerjaan dan bagaimana mereka mula bertemu pasangan hidup dan mendirikan rumah tangga. Razak (Farid Kamil) dan Triz (Nadiya Nisaa) sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi kerana sahabat baik Razak, Sulayman (Azhar Sulaiman) merupakan kekasih kepada Nina (Rita Rudaini) yang berkawan baik dengan Triz. Razak dan Triz hanya mengetahui tentang perihal masing-masing menerusi ‘gossip’ yang disampaikan oleh rakan baik mereka.

Setelah menamatkan zaman universiti, Triz bercita-cita untuk menjadi seorang penulis, tetapi malangnya, hasil tulisan Triz sering ditolak oleh syarikat-syarikat penerbitan sehingga menyebabkan teman lelaki Triz, Azman (Azhar Sulaiman) tidak menyokong hasratnya untuk menjadi penulis. Berlainanan pula dengan Razak, beliau berjaya menjadi seorang doktor dan amat dikenali kerana sifat ‘playboy’ dan sering bertukar pasangan. Selepas bertahun-tahun mengharungi pelbagai masalah cinta dan liku – liku kehidupan, Razak dan Triz dipertemukan oleh takdir dalam keadaan di mana kedua-duanya mahu memulakan kehidupan yang baru.

Farid Kamil dan Nadiya Nisaa, adalah dua nama yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air dilihat sebagai gabungan yang amat serasi dan berjaya menghidupkan jalan cerita filem ini. Farid Kamil, pelakon yang juga seorang pengarah, memulakan karier sebagai seorang model pada tahun 1999. Selain berlakon, Farid Kamil juga pernah menyahut cabaran untuk mengarahkan filem ‘V3 Samseng Jalanan’ menjadikan filem tersebut sebagai filem pertama arahan beliau.

Bagi Nadiya Nisaa pula, beliau telah menjadi sebutan ramai dan tajuk utama di dada-dada akhbar dan majalah hiburan baru-baru ini apabila beliau telah berjaya merangkul Anugerah Pelakon Wanita Komedi Terbaik menerusi lakonannya dalam filem ‘Gila Baby’ terbitan Grand Brilliance pada Anugerah Lawak Warna 2015. Baru-baru ini, nama Nadiya Nisaa telah diangkat sekali lagi apabila beliau berjaya merangkul Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem ‘Terbaik Dari Langit’ pada Malam Anugerah Festival Filem Malaysia yang berlangsung pada 5 September 2015 yang lepas.

Filem ‘Love,Supermoon juga membawa kelainan apabila mengabungkan pelakon-pelakon yang lebih ‘senior’ seperti Rita Rudaini, Zain Hamid dan juga Azhar Sulaiman yang selalu kita lihat memegang watak-watak di dalam drama tempatan.

Penyanyi Yuka Kharisma, Alif Satar dan Emy dari AF8 telah dipilih untuk menyanyikan lagu-lagu tema bagi filem ini. Lagu ‘Hati Berbisik’ nyanyian Yuka Kharisma merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer Kuncidemak dan diterbitkan oleh Onyx Garland. Kuncidemak telah banyak menghasilkan lagu-lagu popular seperti ‘Lalai’ nyanyian Stacy, ‘Mesti Ada Cinta’ yang dinyanyikan oleh Akim dan ‘Takkan Terpisah’ nyanyian Black. Sebuah lagi lagu tema filem ini iaitu ‘Dan Lagi Cinta’ nyanyian Alif Satar dan Emy diterbitkan oleh Hikayat Records.

Mengulas tentang filem ‘Love,Supermoon’, Tengku Iesta Tengku Alaudin, pengurus besar Grand Brilliance dan juga penerbit filem ini menyatakan keyakinan beliau yang filem ini akan meneruskan tradisi Grand Brilliance yang pernah menerbitkan filem-filem komedi romantik berkualiti seperti ‘Istanbul Aku Datang’ , ‘Sejoli’ dan ‘Girlfriend Kontrak’ yang bakal ditayangkan pada 24 September 2015 nanti.

Beliau juga menambah, filem ini merupakan filem yang wajib ditonton, kerana hasil penulisan dan arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin yang ‘fresh’ dan juga gandingan pelakon-pelakon yang mantap ini bakal menghiburkan penonton-penonton filem tanah air.

 

Informasi dan gambar-gambar dari filem Love, Supermoon boleh didapati di:

Facebook: https://www.facebook.com/grandbrilliance
Youtube: https://www.youtube.com/gbsbteam
Twitter: https://twitter.com/GrandBrilliance
Instagram @grandbrilliance

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Menangi Kereta Renault Clio RS200 Dalam Great Escape Contest

Trailer & Sinopsis Filem LOVE, SUPERMOON