in ,

Gambar Search di Sidang Media Tour Konsert Search Di Awan Biru

Taburkan segala pujian yang tertinggi, namun ia masih belum dapat memberikan gambaran sebenar buat kumpulan rock yang paling berpengaruh bukan sahaja dalam sejarah muzik rock ‘n’ roll di Malaysia, tapi juga dari sosio-budaya – Search. Terlalu banyak sejarah yang telah mereka lakar dan terlalu banyak perkara (pahit dan manis) telah mereka lalui sepanjang karier mereka selama 28 tahun.

Search merupakan band rock pertama di Malaysia yang menjadikan muzik rock satu institusi yang menguntungkan, bukan saja di Malaysia, juga di Singapura dan Indonesia. Mereka juga merupakan artis pertama dari Malaysia yang berjaya menembusi pasaran di Indonesia, juga artis pertama yang berjaya menjual lebih dari satu juta album mereka di sana.

Lagu hit mereka, Isabella, telah dirakam semula dan dialih bahasa oleh artis artis serantau Asia. Lagu Feel the Pain dari album Karisma turut mencatat sejarah apabila ianya menggagih carta lagu popular di Belanda selama 13 minggu.

Sepanjang karier mereka, Search merupakan salah satu contoh terbaik bagaimana sesebuah kumpulan rock patut wujud.

Tidak berkompromi, Search sentiasa meneroka dan mencari elemen-elemen baru untuk muzik mereka dan sentiasa mahukan yang terbaik. Yang paling penting sekali, Search memahami apakah erti sebenar muzik rock ‘n’ roll dan sebab itu ratusan ribu peminat mereka hinga ke hari ini masih lagi memegang kata-kata hikmat Amy – “Rock will never die!”

Ditubuhkan pada tahun 1981, Search pada asalnya dianggotai oleh gitaris Hillary Ang, Memet Narou dan Yazit Ahmad. Diatas cadangan Hillary, seorang anak muda dari Johor Bahru, Suhaimi Abd Rahman atau sepertimana beliau dikenali kini, Amy Search telah dilamar untuk menyanyi dengan Search. Tampil dengan konsep hard rock, Search merupakan kumpulan rock pertama yang berjaya memecah dominasi band-band blues dan reggae pada masa itu. Rahsia mereka – mereka tidak mahu menjadi hanya sekadar kumpulan rock, tetapi kumpulan rock yang terhebat.

Pada masa itu, seorang komposer yang memainkan peranan penting dalam karier mereka, M Nasir, kagum dan telah berkata, ”Mulanya mereka langkah masuk kedalam arena muzik, Search dianggap Stars in the Making.”

Sekarang, Search dianggap sebagai sumber kelahiran kumpulan-kumpulan rock di tanah air.

Dengan reputasi sebagai salah satu kumpulan rock paling gah di Malaysia, Search berjaya merakamkan album sulung mereka: Cinta Buatan Malaysia, album rock pertama di Malaysia. Pada masa yang sama, tercapailah impian peminat-peminat muzik rock masa itu yang berkeinginan album rock tempatan.

Cinta Buatan Malaysia telah membuka satu lembaran baru dalam persada seni tempatan – ia seakan menjadi benih kepada perkembangan muzik rock di Malaysia dimana lagu-lagu seperti Balada Pemuzik Jalanan, Cinta Buatan Malaysia, Isi dan Kulit serta Kejora menjadi siulan kebanyakan mat-mat rockers pada masa itu.

Album kedua mereka Langit dan Bumi dipasarkan pada tahun 1986 menonjolkan kematangan mereka sebagai kumpulan terutama sekali petikan gitar Hillary dan kekuatan vokal Amy yang seakan-akan menjadi trademark kepada sound Search.

Pada tahun 1987, Search berjaya memikat lagi budaya rock tempatan setelah mengeluarkan album ketiga mereka. Dengan lagu yang lebih bertenaga, muzik yang lebih kemas dan imej yang lebih terkini selaras dengan perkembangan muzik rock antarabangsa, Mentari Merah Di Ufuk Timur menjual lebih banyak dari album-album mereka sebelumnya. Lagu-lagu seperti Fantasia Bulan Madu, Pelesit Kota, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Gadisku, Gelora Cinta Ku dan Mat Rock menaikkan lagi nama Search di arena muzik tempatan.

Tahun berikutnya, Search telah mengeluarkan album keempat mereka Di Pintu Sepi tetapi pada masa yang sama mereka telah terperangkap dengan perbalahan dengan label mereka Polygram sehingga terpaksa diselesaikan di mahkamah.

Edaran album kelima mereka, Fenomena, bukan saja ianya menjadi album mereka yang paling berjaya dari segi komersil, ianya juga melonjakkan nama Search ke peringkat antarabangsa (Indonesia terutamanya) dan menyaksikan muzik Search merentasi pelbagai kaum.

Diantara sejarah yang Search lakar bersama album Fenomena adalah jualan paling tinggi bagi artis Malaysia (ianya terjual lebih dari 220,000 unit di Malaysia dan lebih dari 600,000 unit di Indonesia).

Lagu Isabella telah dirakam semula oleh ramai artis daripada pelbagai negara dan telah dijadikan sebagai inspirasi untuk sebuah filem usahasama Malaysia-Indonesia atas tajuk yang serupa.

Search membuka tirai dekad 90an dengan album keenam mereka Karisma. Album tersebut terjual lebih dari 150,000 unit di Malaysia dan 200,000 ribu unit di Indonesia. Mereka juga telah diberi penghormatan untuk membuat persembahan di New Music Seminar yang telah berlangsung di New York, Amerika Syarikat.

Pada tahun itu juga Search telah mengeluarkan album kompilasi Sepuluh Tahun Search.

Rampage, album ketujuh mereka muncul pada tahun 1992. Namun sebelum sebarang aktiviti promosi dapat dijalankan, Search bersama-sama kebanyakan kumpulan rock lain telah digam daripada muncul di televisyen dan radio kerana isu rambut panjang.

Diwaktu kebanyakan kumpulan rock tunduk dan akur, Search tetap dengan pendirian mereka walaupun terpaksa membatalkan banyak konsert dan aktiviti seni mereka demi mempertahankan maruah muzik rock. Disebalik canaran yang dihadapi sepanjang tahun tersebut, Search masih mampu melakar sejarah bila Feel the Pain menjuarai carta lagu di Belanda selama 13 minggu berturut-turut.

Tahun berikutnya Search telah bergabung tenaga dengan Wings di dalam album Double Trouble.

Album kelapan mereka Gema di Timur Jauh hanya muncul pada tahun 1995 dangan lagu yang terbaik pernah mereka hasilkan, Laila Namamu Teratas.

Sementara itu album unplugged pertama mereka, Gema di Timur Jauh – Unplugged mendapat sambutan yang menggalakkan dimana ianya telah terjual lebih dari 100,000 unit.

Menyedari yang peminat mereka rindukan sound Search yang lama, Search kembali dengan album kesembilan mereka Rock ‘n’ Roll Pie pada tahun 1996

Tahun 1997, menyaksikan Search mengeluarkan album live kedua mereka Rock N’ Roll Pie Live N’ Loud yang dirakamkan sewaktu konsert aniversari mereka yang ke 15 di Stadium Merdeka pada tahun sebelumnya.

Selepas lama menghilang, Search mengumumkan yang mereka akan masuk ke studio untuk merakamkan Empire Garden EP. Pada bulan January 2006 Search telah mengumumkan yang single pertama dari EP tersebut, Ying Dan Yang boleh dimuat turun secara percuma di laman web rasmi mereka – satu lagi sejarah dimana Search menjadi artis pertama dari Malaysia yang berbuat demikian.

Malangnya, mereka terpaksa mengumumkan yang projek EP Empire Garden dikuburkan oleh kerana masaalah teknikal.

Disebalik kejutan tersebut, Search turut mengumumkan yang mereka akan disertai gitaris asal Hillary Ang dan EP Empire Garden akan digantikan dengan album penuh, Gothik Malam Edan.

Lebih berat, matang dan bertenaga, album ini menggabungkan yang terbaik dari Search sejak dari album Cinta Buatan Malaysia dan Rampage.

Selepas 25 tahun, Search buktikan yang mereka masih mampu menggegar industri muzik Malaysia dengan lagu-lagu seperti Ying Dan Yang, Nyata Dan Maya dan Gothik Malam Edan. Album ini turut di nobatkan sebagai Album Hard Terbaik di Anugerah Industri Muzik 14 pada tahun berikutnya.

Pada bulan Ogos, 2006, Search membuat pengumuman yang mereka akan bergabung dengan kumpulan rock popular Indonesia, Slank dalam S2 Celebration Concert.

Kini, pada bulan April tahun 2009, Search ingin membuat pengumuman bahawa kumpulan rock terunggul Malaysia akhirnya akan berehat. Inilah noktah perjalanan bagi Search. Sebagai satu ikon muzik rock, Tour Konsert Search Di Awan Biru akan menggegar Malaysia untuk kali terakhir. Hakikatnya legasi Search akan sentiasa hidup untuk tahun-tahun yang kehadapan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Diana Danielle, Alif dan Suki Dalam Project N.S

Gambar Dato’ Siti Nurhaliza di Petang ABP2008