in ,

Gambar Kahwin Catriona Ross

PERASAAN gemuruh dan segan bercampur baur saat majlis pernikahan aktres Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 29, dengan penerbit dan pengarah rancangan televisyen Astro, Shaharuddin Mokhtaruddin, 30, malam kelmarin.

Cerita Catriona atau Cat, saat dia dibawa ke luar sambil menutup muka dengan kain layah mengikut adab perkahwinan Inggeris, ramai mata yang tertumpu kepadanya sehingga membuahkan rasa segan.

Cat kini sah bergelar isteri Shahruddin. – foto Shutterspeak Studio

“Majlis nikah semalam berlangsung dengan begitu meriah. Kebetulan ibu saya meminta untuk saya memakai ‘veil’ seperti perkahwinan orang putih dulu-dulu. Apabila saya turun, ramai yang bersorak kecil hingga saya malu nak bertentang mata dengan semua. Ada yang memanggil saya untuk mengambil gambar, memberikan ucapan ‘good luck’ dan bergembira ketika saat itu,” kata Cat ketika menggambarkan suasana majlis pernikahannya.

Dengan sekali lafaz, Cat sah bergelar isteri Shaharuddin selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Paya Rambai, Mohd. Alwi Mohd. Zain berwalikan bapa Cat, Bahrin Ross Abdullah di kediaman keluarganya di Kota Bharu, Kelantan.

“Bila nikah kami dah sah, terus saya rasa terharu dan gembira kerana dah selamat jadi seorang isteri. Saya juga bersyukur kerana kejadian yang tak diingini tidak berlaku dan keluarga kedua belak pihak turut sama gembira.

Cat dan Shaharuddin mengayakan persalinan mengikut adat Minang ketika upacara merenjis.

“Sebelum ini saya rasakan saat bertunang merupakan saat paling sukar bagi kami kerana merasakan ia antara selamat atau tidak. Waktu tu tiada saksi yang boleh mengesahkan hubungan kami tetapi apabila nikah kita ada saksi, tandatangani dokumen dan lafaz janji dengan Tuhan. Kebetulan masa bertunang tu ada sumber-sumber yang cuba rosakkan hubungan kami sehingga saya perlu bersabar dan berdoa dengan harapan semuanya ‘ok’,” luah Cat dalam nada ceria.

Dalam masa yang sama, pelakon drama ‘Sephia’ dan ‘Mek Salmah Dari Scotland’ ini meluahkan rasa syukur dikurniakan seorang suami seperti Shaharuddin.

“Dia merupakan seorang yang memahami, lemah-lembut, sepanjang mengenalinya dia tak pernah mengasari saya, cukup ‘gentleman’, romantik dan menerima saya dalam keadaan bertongkat dua dan tidak malu mendekati saya,” kata Cat.

Begitu juga dengan Shaharuddin yang bertuah memiliki Cat yang boleh menguruskannya, memberi idea dan memanjakannya. Bercerita mengenai perancangan selepas berkahwin, Cat berkata dia dan Shaharuddin akan tinggal di rumah sendiri di ibu kota.

“Dia tak halang saya berlakon sebab dia kenal saya semasa saya bergelar pelakon. Cuma dia nasihatkan saya supaya pandai menguruskan masa.

Mereka juga mengenakan persalinan Che Siti Wan Kembang.

“Saya rasa tiada masalah sebab kami bekerja dalam satu bidang. Tentang anak, saya dan suami tengok pada rezeki. Kalau kami sepatutnya dapat awal (anak), kami terima sebab kami memang tak letak syarat dan merancang. Saya suka kalau dapat empat orang anak tetapi dia nak tiga orang sahaja,” ujar Cat sambil tergelak.

Ditanya tentang berbulan madu, Cat dan Shaharuddin akan menghabiskan masa bersama di dua lokasi dalam Malaysia sebelum ke Itali.

“Kami sudah berbincang untuk berbulan madu ke Itali tetapi memandangkan wabak H1N1 (Selesema Babi) masih aktif, jadi kami terpaksa tangguh dulu sehingga lepas Raya nanti. Dalam masa terdekat ini, kami akan ke Pangkor Laut Resort dan yang kedua kami akan ke puncak Gunung Jerai.

“Bulan madu kami di Gunung Jerai Resort ditaja oleh Regency Hotel, Alor Star melalui syarikat yang merunding perkahwinan saya, YSA Wedding Consultant. Saya rasa berbesar hati dengan hadiah percutian ini dan terima kasih juga kepada Amir Firdaus dari YSA yang banyak membantu. Saya berharap perkahwinan kami kekal sampai ke hujung nyawa,” kata Cat penuh bersemangat.

Dalam majlis pernikahannya, Cat menerima cek wang hantaran berjumlah RM22,000 beserta sembilan dulang hantaran berupa sirih junjung, cincin, cermin mata Marc Jacobs, jam Emporio Armani, set penjagaan kulit SKII, sejadah, beg Sulgato Re Serragamo, kasut Cole Haan dan gelang tangan Tiffany.

Sementara pengantin lelaki pula menerima 11 dulang hantaran iaitu persalinan baju, dua manisan, cermin mata Furla, game PS3, set penjagaan kulit Biotherm, snickers Adidas Limited Edition, sejadah, persalinan baju kerja dan tali pinggang, telefon bimbit Blackberry, cincin dan sirih junjung.

Majlis itu dihadiri oleh 200 tetamu termasuk keluarga kedua belah pihak. Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan berlangsung di rumah Cat di Kota Bharu, hari ini dengan tema klasik kombinasi ‘east meet west’ dan warna tema hijau dan maroon. Sementara majlis resepsi sebelah lelaki akan diadakan pada 4 Julai ini di Wangsamaju dengan tema ‘English lavender’ dan warna tema ungu. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Photo Wedding Nikki & Audy Mok

Amy Mastura dan Shamsul Ghau-Ghau Dalam Apa-Apa Aje Musim Baru