in ,

Dokumentari GADIS DAN GUA Buat Pencinta Alam Semula Jadi

Dokumentari “Gadis Dan Gua” Buat Pencinta Alam Semula Jadi di TV1

Bagi penggemar panorama di dalam gua, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyajikan sebuah dokumentari baharu bertajuk “Gadis Dan Gua” bersiaran mulai 28 April ini, pukul 11.00 malam di TV1.

Dokumentari 13 episod ini membawa penonton meneroka lokasi dan sejarah gua-gua terkenal yang terdapat di seluruh pelusuk tanah air yang menjadi tempat rekreasi dan juga kajian saintifik.

Natasha dalam perjalanan ke Gua Kota Gelanggi

Bersama pengacara Natasha Charmaine dalam episod pengenalan meneroka Gua Gelap dan Gua Damai, Batu Caves, Selangor. Di Gua Gelap, Natasha bersama dengan Cik Nurul Hidayah, Pengurus Gua Gelap. Menurut beliau Gua Gelap merupakan kawasan pemuliharaan. Terdapat lebih kurang sebanyak dua ratus ribu kelawar yang hidup disini. Ramai pengkaji dari dalam dan luar negara datang ke gua ini untuk menjalankan kajian. Faiz Azmi (pengiring gua gelap) menerangkan gua batu kapur mengambil masa jutaan tahun untuk terbentuk. Terdapat tujuh “Chamber” dalam Gua Gelap. “Chamber” yang paling besar ialah “Great Chamber” yang boleh memuatkan sebuah kapal terbang di dalamnya.

Di Gua Damai pula, Natasha bersama Encik Ijam selaku pengurus gua itu. Menurutnya banyak aktiviti sukan lasak disediakan di sini seperti “Wall Climbing” dan “Jungle Tracking”. Untuk mengikuti program di sini, keselamatan adalah diutamakan. Perlu berpakaian lengkap dan sesuai dengan aktiviti sukan yang akan disertai.

Episod seterusnya memaparkan keindahan panorama Gua Kelam, Perlis. Mengikut sejarah, Gua Kelam terjadi apabila ada aktiviti melombong bijih timah disekitar tahun 1829 dan 1830. Perlombongan di bawah Banjaran Nakawan menyebabkan berlaku ruang kosong di bawahnya dan apabila ditinggalkan sekian lama maka terbentuklah sebuah gua yang dianggarkan seluas 2,000 hektar. Gua Kelam mendapat namanya kerana tiada cahaya yang menembusi ruang gua ini. Antara aktiviti yang disediakan di Gua Kelam ialah seperti sukan lasak “Jungle Tracking”, “Rock Climbing” dan sebagainya. Terdapat sungai di bawah Gua Kelam. Di luar gua pula terdapat sebuah taman dinamakan “Secret Garden” dan sebuah galeri yang mempamerkan peralatan perlombongan yang digunakan pada masa dahulu. Gua Kelam telah diwartakan sebagai Taman Negara Negeri Perlis pada tahun 2007.

Di Kedah, penonton dibawa ke Gua Kerbau dan Gua Batu Putih di Kampung Kodiang Lama. Gua Kerbau mempunyai keluasan 5.33 hektar dan telah wujud selama 250 juta tahun. Asal Gua ini menjadi tempat tinggal orang-orang purba. Ianya terbukti dengan penemuan artifak di dalam gua berkenaan. Mengikut sejarah, kawasan sekitar Gua Kerbau dijadikan tempat untuk “Laga Kerbau”. Kerbau yang tewas akan dimasukkan kedalam gua. Terdapat satu bongkah batu yang menyerupai seekor kerbau di dalamnya. Di dalam Gua Kerbau juga terdapat satu lagi gua yang dikenali sebagai Gua Pelamin.

Mengikut En. Ahmad (Ketua Kampung), Gua Batu Putih menjadi tempat penempatan orang-orang purba. Ianya terbukti dengan adanya kesan-kesan tulisan pra sejarah di dinding-dinding gua berkenaan. Tempoh masa sekitar 600 tahun yang lalu. Gua Batu Putih juga menjadi tempat hidupan pelbagai binatang terutamanya kelawar. Terdapat aktiviti mengambil tahi kelawar sebagai baja untuk tanaman. Di kawasan sekitar Gua Batu Putih juga terdapat pokok-pokok yang boleh menjadi sumber rezeki masyarakat setempat. Contohnya pokok Sintok dan pokok Kesinai.

Seterusnya Natasha meneroka Gua Jepun yang terletak di kaki Gunung Baling, Kedah. Gua Jepun adalah gua batu kapur yang terletak lebih kurang satu kilometer dari Bandar Baling. Selain daripada Gua Jepun terdapat banyak gua-gua kecil di kaki Gunung Baling. Gua Jepun digunakan oleh Tentera Jepun pada masa duhulu untuk menyimpan barangan berharga seperti emas dan senjata sebelum Jepun pulang selepas tewas dalam Perang Dunia Kedua. Gua Jepun dipenuhi air sedalam tiga kaki. Pelawat terpaksa mengharungi air untuk masuk ke dalam gua. Terdapat sebuah dataran dihadapan Gua Jepun yang dikenali sebagai Dataran Gua Jepun. Dari dataran ini juga dapat melihat Bandar Baling.

Masih lagi di Kedah, Natasha membawa penonton ke Gua Langsir dan Gua Kelawar di Kampung Kilim. Mengikut En. Zamzuri, Renjer di LADA (Langkawi Development Authority), Gua Langsir terbentuk apabila Stalaktit dan Stalagmit bercantum menjadi sebuah tiang yang besar di hadapan pintu masuk gua seolah-olah seperti langsir atau tirai yang menutupi pintu. Manakala Gua Kelawar pula mendapat namanya kerana terdapat banyak kelawar di dalamnya iaitu tiga hingga empat jenis spesis kelawar.

Saksikan pula paparan mengenai gua-gua yang terdapat di Perak. Antaranya ialah Gua Gunung Runtuh yang merupakan gua batu kapur. Di sini terdapat Taman Warisan Arkeologi Lenggong, Perak. Mengikut En. Sanjay Kumar, Kakitangan Jabatan Warisan Negara, di gua ini terdapat sejarah terjumpanya tulang rangka “Perak Man” pada tahun 1990. Seterusnya Gua Kajang yang juga merupakan tapak arkeologi. Panjangnya ialah 1000 meter. Terdapat banyak bongkah batu yang menyerupai binatang di dalamnya. Manakala Gua Asar yang mendapat nama kerana ditemui semasa Solat Asar. Gua ini mudah untuk masuk ke dalam dan ianya juga menjadi tempat untuk kajian arkeologi.

Episod seterusnya turut memaparkan penerokaan ke gua-gua di Terengganu, Kelantan dan juga Pahang. Saksikan paparan menarik itu hanya di saluran TV1.

Natasha bersama kru penerbitan

Pintu masuk ke Gua Ikan

Natasha melakukan aktiviti lasak di Air Terjun di Gunung Stong

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hanis Zalikha Akhirnya Dedah Punca Tidak Keluar Mengundi

Manis Berhijab, Netizen Doa Fazura Istiqamah