in

Flop Poppy Lancar Album Baru RASA

Pada 10 Februari 2010 semalam, jam 3 petang, bertempat di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, band yang ditubuhkan pada 1989, Flop Poppy telah melancarkan album baru berjudul RASA.

RASA adalah simbolik kepada jiwa dan naluri manusia yang sentiasa wujud dalam hati untuk diluahkan. Rasa terpancar dari deria rasa – lidah. Kerana lidah atau mulut, badan binasa. Setiap manusia dikurniakan rasa untuk diluahkan. Album ini adalah luahan perasaan Flop Poppy untuk semua peminat muzik tanahair.

Walaupun lahirnya band indie baru bak cendawan, tidak dinafikan band ini masih gah dan mampu bertahan lama dengan popularitinya yang tersendiri.

Di sebalik populariti yang diraih, mungkin ramai yang tidak tahu, Flop Poppy sebenarnya sudah mula aktif main muzik dalam arena muzik underground sejak tahun 1989 yang mana ketika itu, Andy sebagai pemain gitar utama dan Radhi OAG sebagai vokalis.

Album Circle of Friends yang diterbitkan dalam tahun 1991 telah mula memperkenalkan kumpulan ini kepada khalayak ramai.

Setelah lama menghilang, Flop Poppy tampil dengan single cover Teratai dalam album kompilasi Tribute to Sweet Charity. Kemudian, Flop Poppy melengkapkan ahli baru untuk melahirkan sebuah album yang berjudul A Decade Ago. Menerusi album ini, Flop Poppy menjadi popular dengan lagu-lagu hit Rest of My Life dan Cinta yang menjadi popular pada tahun 2002.

Tahun 2010, band yang dianggotai oleh Andy – vokalis, Cha A – lead gitar, Megat – gitar, Vijay – pemain bass ini kembali bertahan di bawah naungan Floppy Records (M) Sdn Bhd dengan melahirkan album ke 5… RASA!

Untuk pemain drum dan keyboard, Flop Poppy menggunakan pemuzik upahan.

Di majlis sidang media dan pelancaran album ini, Flop Poppy telah mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Kasih Nafas Diri, Dendang Remaja dan Semua Untuk Mu. Juga rangkaian lagu medley iaitu Atas Nama Cinta dan Cinta.

Album ini mengandungi 12 buah lagu terbaru dengan menampilkan single pertama berjudul Kasih Nafas Diri yang ditulis oleh Andy dan lirik oleh Allahyarham Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq.

Manakala single kedua yang kini sedang dimainkan di radio berjudul Dendang Remaja.

Menurut Andy, mulanya beliau mahu buat pelancaran album di atas bumbung lobbi Hotel Concorde. Tapi mungkin masa tak sempat. Jadi terpaksalah dilupakan niat itu. Tapi kalau buat kat situ, memang gempak habis lah sebab Budiey rasa tak pernah lagi orang buat kat situ. Nanti tak takut ke jalan akan lebih jammed sebab orang ramai yang lalu lintas pun nak tengok Flop Poppy perform.

Antara lagu yang terkandung dalam album Rasa ialah:

  1. Dendang Remaja
  2. Kasih Nafas Diri
  3. Impian di Ibukota
  4. Semua Untukmu
  5. Tawan
  6. Lafaz Cinta
  7. Mungkinkah
  8. Pelangi
  9. Jebak
  10. Dedicated to You
  11. Selamanya
  12. Rasa

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sehari Bersama Dato’ Sarimah

BOH Cameronian Arts Awards 2010