in ,

FINAS Tunggu Kerajaan Lulus Sop Penggambaran

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi syarikat produksi dalam menjalankan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, FINAS sedang menunggu kelulusan kerajaan dalam memberi kelonggaran kepada aktiviti penggambaran, sebelum diumumkan kepada semua penggiat industri sebaik kebenaran diperoleh. FINAS dalam kenyataannya menyebut, pihaknya amat prihatin dengan situasi semasa dan mengambil inisiatif merangka SOP untuk dipatuhi syarikat produksi.

“SOP yang dicadangkan adalah untuk memastikan aspek kesihatan diutamakan dan terjamin dalam persekitaran, seterusnya dapat mengurangkan risiko kesihatan bagi mengelak perkhidmatan kesihatan negara dibebani sehingga tahap di luar kawalan,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, selaras pengumuman kerajaan yang melanjutkan tempoh PKPB sehingga 9 Jun ini, FINAS memahami keluhan penggiat industri yang mahu diberi kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh PKPB.

“Ini adalah susulan daripada semua aktiviti membabitkan penggambaran terpaksa diberhentikan serta-merta.

“Ini menyaksikan kesan langsung khususnya kepada penggiat industri daripada aspek ekonomi sepanjang PKP,” katanya.

Dalam perkembangan sama, FINAS melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sudah menyalurkan bantuan kewangan kepada ahli persatuan perfileman yang terjejas akibat wabak COVID-19.

“Objektif utama pemberian sumbangan adalah sebagai inisiatif dan galakan kerajaan untuk membantu meringankan beban penggiat industri dalam aspek pembelian barang keperluan harian.

“FINAS sentiasa menyokong dan bersama-sama pihak industri dalam menangani isu ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab utama FINAS untuk mematuhi keputusan kerajaan demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan semua pihak termasuk penggiat industri kreatif tanah air,” katanya.

Kementerian Kaji SOP Penggambaran

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sedang menimbang permohonan daripada pelbagai persatuan bagi mendapatkan kebenaran menjalankan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Unit Komunikasi Korporat KKMM dalam kenyataan memberitahu, kementerian menerima pelbagai cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti penggambaran daripada persatuan filem tempatan.

“Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah meneliti SOP yang dikemukakan.

“Cadangan SOP itu sudah dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 42 Tahun 2020, hari ini.

“Bagaimanapun, mesyuarat akan memutuskan pelaksanaan SOP dalam masa terdekat, iaitu selepas meneliti impak pelaksanaan PKPB dan kesan pembukaan semula operasi sektor ekonomi,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Kenyataan itu menambah, KKMM akan sentiasa berusaha bagi memastikan industri kreatif terus berkembang pesat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lil J Dari Bandar Ke Kampung Bersama Bunga & Kidd Santhe Dalam KAMPUNG AKU LIT

Celcom To Offer iPhone SE: A Powerful New Smartphone In A Popular Design